Disebabkan gangguan internet, seorang pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi,20, terpaksa mendaki lebih 20meter ke atas bukit bagi menjalani peperiksaannya yang dijalankan secara atas talian di Kampung Bukit Petai Tujuh, Tanah Merah, Kelantan.

Faham dengan keadaannya, bapanya, Mohd Azmi Ahmad,48, telah membina khemah untuknya di atas bukit tersebut bagi memudahkannya menjawab peperiksaan serta mengulang kaji pelajaran.

Bukan hanya perlu mendaki dengan keadaan persekitaran yang becak, pelajar tahun dua jurusan Teknologi Makmal Perubatan itu juga berdepan dengan gangguan nyamuk dan pacat malah kadang-kala terdapat ular yang meyusur di kawasan sekitarnya.

Biarpun sukar, namun Nurlieda merasakan keadaan itu adalah lebih baik daripada belajar di rumahnya tanpa kemudahan internet demi masa depannya meskipun terkena tempiasnya setiap kali hujan.

Katanya kepada Sinar Harian, antara barang wajib yang perlu dibawa ke atas bukit ialah komputer riba, modem WiFi, nota, tripod dan juga ubat nyamuk serta kipas.

IKLAN

“Ayah kasihankan saya, kerana sebelum ini saya perlu ke bandar Tanah Merah Baru yang terletak lebih tiga kilometer dari rumah untuk belajar. Jadi ayah naik ke bukit ini dua hari sebelum peperiksaan saya bermula untuk cari kawasan yang ada internet.

“Ayah tidak mahu saya gagal dalam peperiksaan, jadi dia berikhtiar masuk hutan untuk bina khemah ini dan sambungkan bekalan elektrik dari rumah untuk kegunaan saya di sini.

Setiap kali peperiksaan, Nurlieda pasti akan bimbang jika capaian internet di kawasan itu terputus kerana perlu menjawab semula soalan sekiranya berlaku gangguan dan tiada masa tambahan diberikan.

IKLAN

“Peperiksaan saya bermula 23 November lalu dan setakat ini saya sudah selesai menjawab tiga kertas soalan dan masih berbaki lagi dua lagi kertas peperiksaan yang perlu dijawab,” jelasnya.

Menurut bapanya, Mohd Azmi, masalah yang dihadapi itu bukan hanya dilalui oleh anaknya sahaja tetapi anak-anak penduduk di lima kampung lain iaitu Kampung Mengat, Degong, Che Nakaf, Jerangau Dalam dan Jerangau Luar juga turut melalui masalah yang sama.

“Selain saya, kadang-kala along (Nurlieda Khaleeda) turut ditemani adiknya, Muhammad Addin Aiman, 16, untuk belajar. Saya tidak benarkan along bersendirian kerana kawasan itu juga tidak selamat,” katanya.

IKLAN

Tambahnya, disebabkan masalah dihadapi itu ada segelintir penduduk yang membina pondok di atas pokok dengan ketinggian lebih lima meter di kawasan sama untuk menggunakan internet sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

Oleh itu, dia mengharapkan masalah ini mendapat perhatian pihak berkaitan dan dapat diselesaikan dengan segera.

Selain Nurlieda, seorang lagi anaknya, Muhammad Amien Khalielee, 18, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara Terengganu turut belajar di khemah sama untuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

kredit: Sinar Harian

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI