Jangkitan kulat pada kulit kepala biasanya dikenali sebagai ‘Tinea Capitis’ yang merujuk kepada sejenis jangkitan kulat yang boleh menyebabkan keguguran rambut bertompok-tompok, kerana ianya akan menjangkiti folikel- folikel rambut.
Menurut Dr. Bob John, Pakar Perubatan dan Estetik dari Clique Clinic, keadaan ini secara tidak langsung akan mengganggu kesihatan emosi, mental dan sosial penghidap.
Gejala yang akan dialami termasuk keguguran rambut bertompok-tompok, dan radang kulit akan berlaku di kawasan yang terlibat hingga menyebabkan kulit bersisik. Kesan dari keguguran rambut itu juga akan menjejaskan rupa paras seseorang sekaligus mengurangkan keyakinan diri.
Tambahnya lagi, jangkitan kulat di kulit kepala ini adalah sejenis penyakit berjangkit. Ia kerap menjangkiti golongan yang berkongsi penggunaan peralatan seperti alat mainan, sikat rambut dan sebagainya. Sekiranya dijangkiti, saya sarankan kepada mereka untuk membuat rawatan kepada seluruh isi keluarga kerana ia mungkin boleh berlaku lagi.
Sumber gambar: Power of Positivity
“Sekiranya anda disyaki mengalami Tinea Capitis, adalah penting untuk anda berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian dan rawatan yang sepatutnya. Rawatan termasuklah ubat sapu pada kulit kepala dan juga ubat untuk dimakan. Jika dibiarkan tanpa rawatan, jangkitan kulat pada kulit kepala ini mungkin boleh merebak ke bahagian lain. Jangkitan berterusan juga membuka jalan kepada ‘pathogen’ lain seperti bakteria untuk memasuki kesan luka pada kulit kepala, menyebabkan jangkitan yang serius sehingga bernanah dan bengkak kelenjar.”
Menurut Dr.Bob,beliau menyarankan agar mengamalkan kebersihan diri, memastikan sikat, tuala, sarung bantal dan pakaian dibasuh dengan bersih untuk merawat spora-spora kulat yang mungkin terperangkap. Ini boleh mengurangkan kebarangkalian jangkitan semula. Sekiranya anda mempunyai haiwan peliharaan, adalah penting untuk membawa haiwan tersebut untuk pemeriksaan veterinar bagi mengenal pasti sekiranya mereka dijangkiti oleh kulat Microsporum Canis.