Bulan Muharam ialah bulan pertama dalam tahun Hijrah, dan ia merupakan antara bulan yang mulia dalam Islam. Bulan ini dinamakan bulan ‘Haram’ kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang dimuliakan.
Firman Allah SWT:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak dua belas bulan sebagai mana yang terdapat dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.” (Surah at-Taubah: 36)
Umat Islam menyambut Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharram 1444 Hijrah bersamaan 30 Julai 2022. Timbul persoalan, kenapa kita sambut Tahun Baru Hijrah pada bulan Muharram sedangkan Nabi Muhammad SAW berhijrah pada bulan Safar?
Orang pertama yang memerintahkan agar Kalendar Hijrah digunakan secara rasmi ialah Khalifah al-Rashidin Kedua, yakni Saidina ‘Umar al-Khattab.
Pada zaman Saidina ‘Umar ketika Islam tersebar kian meluas, terdapat sekurang-kurangnya 3 riwayat tentang faktor kenapa ia digunakan:
Gabenor di Basrah Iraq iaitu Saidina Abu Musa al-Ash’ari pernah mengutuskan surat kepada Khalifah al-Rashidin Kedua, Saidina ‘Umar al-Khattab yang tertulis: “Kami telah menerima surat dari anda (Saidina ‘Umar al-Khattab) yang tiada padanya tarikh surat.” Jadi, ia sukar untuk melaksanakan arahan khalifah jika tiada tarikh spesifik.
Pendapat lain menyatakan bahawa Saidina ‘Umar telah diberi suatu dokumen kewangan (sokkun) yang tertulis bulan Sha’ban namun tidak diketahui sama ada ia Sha’ban tahun sebelumnya atau tahun semasa atau tahun berikutnya. Maka, Kalender Hijrah perlu dibuat secara rasmi untuk memudahkan masyarakat mengetahuinya.
Pendapat lain menyatakan bahawa seseorang lelaki Yaman memberitahu Saidina ‘Umar tentang amalan orang Yaman dalam penggunaan kalender khusus. Maka, beliau beranggapan amalan ini adalah baik dan Kalender Hijrah rasmi perlu dibuat.
Maka, Saidina ‘Umar mengumpulkan para sahabat untuk berbincang tentang bulan dan tahun bermulanya Kalender Hijrah.
Ada banyak cadangan, antaranya ada cadangan tahun hijrah bermula dengan tahun pengutusan baginda SAW sebagai Nabi yakni pada tahun Nabi SAW terima wahyu di Gua Hira’ iaitu bersamaan tahun 610 Masihi.
Ada yang cadangkan bermula dengan tahun penghijrahan Rasulullah dari Makkah menuju ke Madinah. Akhirnya Saidina ‘Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan antara hak dan batil. Ia bersamaan dengan tahun ke-14 setelah Nabi SAW dilantik menjadi Nabi dan Rasul.
Ya, ini pun ada banyak cadangan, antaranya cadangan ia bermula pada bulan Ramadan atau bermula dengan bulan Nabi SAW berhijrah yakni bulan Safar/Rabi’ul Awwal atau bulan Muharram. Akhirnya Saidina ‘Umar al-Khattab pilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam Kalender Hijrah.
Benar, menurut Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, Nabi SAW mula berhijrah pada sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622M.
Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar berada di gua Jabal Thur terlebih dahulu kemudian pada bulan Rabi’ul Awwal barulah mereka tiba di Madinah. Namun, Saidina ‘Umar lebih memilih bulan Muharram berbanding bulan Safar atau Rabi’ul Awwal sebagai permulaan bulan bagi kiraan Kalender Hijrah kerana jemaah haji pulang pada bulan Muharram dan pandangan ini telah disepakati para sahabat.
Difahami dari pandangan ini bahawa kepulangan dari mengerjakan rukun Islam terakhir itu menjadi permulaan kepada hijrah baru.
Menurut pandangan lain, bulan Muharram dipilih kerana ia berdasarkan peristiwa Bai’ah ‘Aqabah yang berlaku pada bulan Zulhijjah.
Bai’ah tersebut merupakan perjanjian berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh keazaman. Bulan Muharram pula adalah bulan setelah bulan Zulhijjah yang menjadi simbolik kepada permulaan suatu keazaman penghijrahan itu dilaksanakan.
Maka, disebabkan inilah bulan Muharram menjadi pilihan Saidina ‘Umar al-Khattab. Dapat difahami bahawa Kalender Hijrah diawalkan permulaan kiraannya sekitar satu atau dua bulan kerana asalnya adalah bulan Safar atau Rabi’ul Awwal kemudian diawalkan sambutannya pada bulan Muharram.
Kalendar Hijrah mula digunakan secara rasmi sekitar pada tahun ke 17 Hijrah yakni sekitar 4 tahun setelah Saidina ‘Umar dilantik sebagai Khalifah al-Rashidin Kedua. Ini bermakna, dalam sejarah Islam, Kalender Hijrah telah digunakan secara rasmi sejak sekitar 1427 tahun yang lalu.
Antara kitab yang dirujuk dan boleh dirujuk untuk tahu sejarah hijrah Nabi SAW dan sejarah penggunaan Kalendar Hijrah ialah al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn al-Kathir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam al-Munawi dalam kitab Faid al-Qadir dan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum.
Kita boleh ambil ibrah dari sejarah penetapan Kalendar Hijrah ini antaranya, bulan Zulhijjah sepatutnya kita dah bersedia untuk bermuhasabah, menyatakan tekad, azam dan janji peribadi untuk tahun berikutnya.
Manakala bulan Muharram merupakan permulaan kepada pelaksanaan tekad baru tersebut. Atau setelah seseorang itu mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah dan pulang ke tempat-tempat masing-masing pada bulan Muharram, maka bulan itu merupakan permulaan baharu baginya untuk menjadi seseorang Muslim yang lebih baik bagi tahun berikutnya.
Siru ‘ala barakatiLlah (bergeraklah dengan keredaan Allah) untuk melaksanakan azam baru pada Tahun Baru Hijrah 1444H.
***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Sumber kredit: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Top image: Photo by selim-çetin-from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.