Personaliti media sosial, Norreen Iman meluahkan rasa terharunya apabila dikurniakan sahabat sebaik Hazeman Huzir. Walaupun mereka tidak begitu rapat, namun tindakan Haze yang memberikannya hadiah istimewa amatlah mengejutkannya.
Mahu menjadi insan yang lebih baik, Hazeman atau lebih mesra disapa Haze yang kini lebih aktif di laman YouTube dengan berkongsikan kisah penghijrahannya dan juga aktiviti kemanusiaan telah menghadiahkan Norreen Al-Quran peribadi yang sering digunakannya.
Berkongsi di laman twitternya, Norreen ternyata tersentuh dengan tindakan Haze itu kerana tidak menyangka akan menerima kejutan sebegitu sewaktu Haze berkunjung ke rumahnya setelah sekian lama tidak berjumpa.
Norreen sendiri tertanya-tanya kenapa dalam ramai-ramai orang, dia yang bertuah menerimanya?
Selain itu, Norreen juga turut mendedahkan beberapa minggu lalu entah mengapa hatinya tergerak untuk mencari kedai yang menjual Al-Quran di Instagram. Tiba-tiba, Haze pula yang menghadiahkannya pada minggu ini.
View this post on InstagramA post shared by Hazeman Huzir (@hazemanhuzir) on
Selepas itu, tanpa disangka pula rezeki Norreen hadir tanpa diduga apabila dia mendapat job baharu. Inilah yang dikatakan rezeki daripada Tuhan.
Percaturan Allah itu memang indah. Jika Dia mahukan sesuatu itu terjadi, maka jadilah ia. Beruntunglah kita jika dikurniakan teman-teman yang baik dalam hidup.
Walaupun tidak rapat, namun kita tahu merekalah yang kita boleh harap disaat memerlukan dan juga menolong kita menuju ke arah kebaikan. Oleh itu, hargailah mereka yang ada di sisi anda dengan sebaiknya.
kredit: twitter @norreen143, instagram @hazemanhuzir
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rezeki Tak Putus-Putus Datang Bila Istiqomah Lakukan Amalan Ini!
Rezeki setiap individu berbeza-beza dan tidak sama. Tentunya setiap individu mahu diri mereka mendapat rezeki yang banyak tetapi itu semua bergantung kepada amalan yang kita lakukan setiap hari. Ada inidividu yang merungut mengapa rezeki terasa begitu susah untuk singgah. Jika ada, pasti akan cepat habis.
Untuk mendapat rezeki yang luas, cuba amalkan beberapa amalan ini kerana ia dikatakan mampu membuka pintu rezeki kita. Semoga Allah membuka pintu rezeki seluasnya buat kita semua. Cuma, anda perlu bersangka baik dengan Allah.
20 AMALAN INI BUATKAN REZEKI BERTAMBAH TANPA DISANGKA-SANGKA
Allah SWT memberikan jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
YAKINLAH REZEKI ITU JAMINAN ALLAH
1. MENYEMPATKAN DIRI BERIBADAH
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah R.A.)
2. MEMPERBANYAKKAN ISTIGHFAR
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. TINGGALKAN PERBUATAN DOSA
Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. SENTIASA INGAT ALLAH
Banyakkan mengingati Allah akan membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah berikan kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. BERBAKTI DAN MENDOAKAN IBU BAPA
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.: “Apabila hambaku itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Artikel berkaitan: Hati Sedih & Berduka, Berdoalah Kepada-Nya Dengan Amalan Pilihan Doa Ini Untuk Ketenangan Jiwa
6. BERBUAT BAIK DAN MENOLONG ORANG YANG LEMAH
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. TUNAIKAN HAJAT ORANG LAIN
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. BANYAK BERSELAWAT
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. BUAT KEBAJIKAN BANYAK-BANYAK
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. BERPAGI-PAGI
Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. MENJALIN SILATURRAHIM
Nabi S.A.W. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Riwayat Bukhari)
12. MELAZIMI KEKAL BERWUDUK
Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda S.A.W. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. BERSEDEKAH
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas R.A.)
14. MELAZIMI SOLAT MALAM (TAHAJUD)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.
15. MELAZIMI SOLAT DHUHA
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. BERSYUKUR KEPADA ALLAH
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. MENGAMALKAN ZIKIR DAN BACAAN AYAT QURAN TERTENTU
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadhilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan kefahaman agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. BERDOA
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. BERIKHTIAR SEHABISNYA
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. BERTAWAKAL
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah .
Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab R.A.)
KESIMPULAN
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah dengan membuat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Selain itu diingatkan… rezeki bukan terhad kepada duit, harta ataupun kekayaan… rezeki iman, hati, Islam, kesihatan dan kebahagiaan serta ilmu yang bermanfaat adalah rezeki yang takde nilainya walaupun harta dan kekayaan menimbun sekalipun.
Sumber kredit: Mohd Ibrahim
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shopee
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tinggalkan Dunia Seni Demi Agama, Inara Rusli Enggan Toleh Ke Belakang Lagi!
Tahun 2023 merupakan titik tolak yang mengubah kehidupanya apabila kisah kecurangan rumahtangga bersama penyanyi tanah seberang, Virgoun hangat diperkatakan di media sosial hingga mendapat liputan meluas hingga ke Malaysia.
Berikutan itu, pada Mei lalu, Virgoun memfailkan cerai terhadap isterinya, Inara Rusli selepas pendedahan tentang kecuranganya diuar-uarkan secara terbuka. Inara berjaya membongkar kecurangan Virgoun yang dikatakan menjalinkan hubungan dengan Tenri Anisa.
Berikutan kes tular berhubung rumah tangganya, nama Inara Rusli kini semakin popular hingga menjadi sorotan warganet dan lensa media. Siapa sebenarnya Inara Rusli ini?
Punyai 2.1 Juta Pengikut Di Instagram Sejak Kisah ‘Kecurangan’ Virgoun Tular!
Memiliki sebanyak 2.1 juta pengikut di Instagram, pemilik nama penuh Ina Idola Rusli lahir pada 19 Februari 1993. Sama seperti suaminya, Inara suatu ketika dahulu memulakan kariernya dalam bidang hiburang sebagai seorang penyanyi, dan menganggotai sebuah kumpulan Bexxa pada tahun 2013.
Bukan sekadar penyanyi, Inara Rusli juga merupakan seorang pelakon di bawah pengurusan SD dan memulakan kariernya membintangi telenovela “Mak Ijah Pengen ke Mekah” terbitan salah sebuah stesen televisyen di sana.
Setelah dua tahun menikah dengan Virgoun, Inara Rusli membuat keputusan untuk berhijrah. Inara khabarnya ingin mendalami ilmu agama dan berhijrah ke arah kebaikan.
Sebelum Berhijrah Inara Bekas Model Seksi
Jika dulu Inara yang merupakan bekas model yang cukup seksi, kini Inara anggun berhijab dan lebih sopan. Namun dahulu Inara pernah membuat keputusan untuk berniqab, namun kini tidak lagi demi kelangsungan kariernya.
Merupakan anak bongsu dari tiga orang adik beradik, Inara sebenarnya lahir dari keluarga berbangsa Cina dari keturunan suku Han di kawasan pegunungan Guangdong, Fujian dan Guangxi di Tiongkok.
Artikel berkaitan: “Jika Ayah Saya Ada, Mungkin Tatu Saya Tidak Sebanyak Ini”-Virgoun Kongsi Kisahnya Bergelar Mualaf
Malah, Inara juga berasal dari keluarga yang berpecah belah (broken family). Orang tuanya bercerai ketika usianya masih sangat muda, sehinggakan Inara terpaksa berhadapan dengan kesulitan tersebut, sekaligus menjadikan Inara seorang ibu yang cukup mementingkan institusi kekeluargaan dan kebajikan anak-anaknya.
Walaupun berhadapan dengan dugaan perkahwinannya, Inara dilihat kekal optimis, positif dan ceria menjalani kehidupannya. HIJABISTA mendoakan semoga Inara terus kuat menghadapi cabaran ini demi anak-anak.
Virgoun dan Inara mendirikan rumah tangga pada 2014 dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Starla Rhea Idola Virgoun, Faithlee As-Sya’ir Virgoun, dan Terang Sharique Virgoun.
Sumber Foto: Instagram Inara Rusli
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Majalah NONA
Artikel berkaitan: Kisah Unik Dalam Perjalanan Rohani Mereka, 12 Selebriti Seberang Memilih Peluk Islam
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Amalkan Doa Ringkas Ini Untuk Mendapat Kebaikan Di Dunia & Akhirat Serta Dipermudahkan Urusan.
Doa untuk mendapat kebaikan di dunia dan diakhirat ini seringkali kita lupa baca walaupun ia sebenarnya ialah doa yang ringkas dan muda untuk diingat. Banyak faedah yang boleh kita miliki apabila membaca doa ini.
Sebagai umat Islam, kita sering diingatkan untuk sentiasa berdoa mendapat keredhaan-Nya supaya proses perjalanan kita di dunia dan juga di akhirat akan berjalan lancar dan mudah. Ramai yang alpa tentang kesibukan di dunia sehinggakan terlupa untuk menyimpan pahala bagi hari akhirat kelak. Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama amalkan doa pendek ini yang banyak mnafaatnya kepada kita semua. Semoga Allah S.W.T merahmati kita semua. InsyaAllah!
Faedah doa Al-Baqarah; 201
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Rabbana aatina fidunya hasanah, wa fil aakhirati hasanah, waqina ‘azabannar
Terjemahan:
Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.
Faedah doa diatas:
- Ini adalah doa yang paling banyak dibacakan oleh Nabi sebagaimana yang disebutkan oleh sahabat Nabi, Anas bin Malik. Sudah tentu ianya doa yang sangat penting, agung dan mencakupi makna yang besar sekali sehingga Nabi berdoa banyak kali dengan doa ini.
- Doa ini ringkas tapi meluas maknanya. Mencakupi aspek keduniaan dan akhirat serta perlindungan daripada azab api neraka. Inilah permintaan yang teragung daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Doa ini uga menunjukkan fiqh dalam berdoa menurut para ulama’ iaitu berdoa dengan doa yang ringkas tetapi mencakupi makna yang meluas di dunia dan akhirat. Sudah tentu doa-doa yang ma’thur (yang datang dari Al-Quran dan As-Sunnah) mempunyai kelebihan ini.
- Perkataan “Al-Hasanah” secara literalnya bermaksud kebaikan. Sebahagian ulama’ mengatakan hasanah di dalam doa ini bermaksud kenikmatan. Maka yang terkandung dalam doa ini ialah segala nikmat yang baik di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang beriman.
- Kata Imam An-Nawawi dalam Al-Azkar, dibolehkan bagi wanita yang haidh untuk berdoa dengan doa ini (dan doa daripada Al-Quran yang lainnya) dengan niat untuk berdoa bukan untuk membaca Al-Quran.
- Imam An-Nawawi dalam Al-Azkar juga menyebutkan bahawa digalakkan juga membaca doa ini pada takbir yang ke 4 dalam solat jenazah menurut pandangan sebahagian ulama’ Mazhab Syafie.
Semoga kita dapat meluangkan sedikit masa kita untuk mengamalkan sentiasa doa ini dan diberi kesempatan untuk mendapat manfaat daripadanya. Moga kita lebih bersemangat untuk mengamalkan doa ini khususnya di tempat yang mustajab seperti ketika sujud dalam solat dan sebagainya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI