Kenal Pasti Jenis Tudung Sebelum Mengosoknya Untuk Elak Jadi Berlubang Atau Rosak. Hijabi Patut Tahu!

Share

Untuk memastikan hijab yang dipakai sentiasa kemas dan ‘on point’ anda perlu rajin menggosoknya. Lebih-lebih lagi jika menggayakan hijab satin yang mudah kedut. Namun sebelum menggosok sesuatu tudung, iron yang digunakan mestilah sesuai dengan tekstur tudung yang ingin digosok.

Ini adalah untuk mengelakkan kerosakan pada tudung tersebut. Kenal pasti jenis fabrik terlebih dahulu supaya kerja menggosok jadi lebih mudah dan menyeronokkan.

TUDUNG BAWAL

Hanya perlu mengawal suhu seterika supaya tidak terlalu panas. Jangan lupa gunakan semburan air bercampur pelembut untuk memudahkan lagi gosokan.Untuk yang mempunyai manik atau sulaman, hanya perlu digosok di bahagian belakang sulaman.

TUDUNG LYCRA

Antara tudung yang terbaru dan paling mudah untuk digunakan. Tudung ini hanya perlu digosok dengan menggunakan suhu yang sederhana. Ini kerana, struktur kainnya yang mudah digosok dan sukar berkedut.

SELENDANG KAPAS SPANDEX

Selendang ini agak keras sedikit kainnya tetapi sangat mudah dipakai dan dibentuk. Gunakan suhu empat atau lima semasa menggosok selendang ini kerana jenis kain yang kasar dan tahan kepanasan.

SELENDANG JOJET

Selendang yang mendapat perhatian dan sambutan para gadis Muslimah. Ia mudah dipakai bersama anak tudung jenis kapas kerana struktur selendang ini yang agak licin. Gunakan suhu tiga atau empat walaupun ia bersifat sukar berkedut. Tetapi kalau selendang ini berkedut, gunakan semburan air pada bahagian yang berkedut.

TUDUNG AWNING BERMANIK

Ia sama dengan tudung awning yang lain. Cuma bezanya ia mempunyai manik pada bahagian awning dan menyukarkan proses menggosok. Cara menggosok iaitu gosok pada bahagian dalam awning tetapi jangan terlalu kuat kerana ia bakal meninggalkan kesan pada tudung  Kaedah dry clean adalah sangat baik. Guna suhu yang rendah dan sederhana.

TUDUNG AWNING

Tudung yang paling digemari kerana mudah dipakai. Penjagaan yang rapi pada bahagian awning tudung agar tidak patah atau rosak. Cara menggosoknya sangat mudah dan ringkas dan hari perlu digosok di bahagian dalam awning dengan suhu rendah antara dua atau tiga. Tetapi perlu diingat, semasa membeli tudung, perlu mengambil tahu adakah awning nya perlu digosok atau tidak?

Jika jenis awning yang tidak boleh digosok hingga menyebabkabkertasnya mengecut, kamu gunakan pelapik seperti kain kapas dan diletakkan di bahagian dalam awning. Jangan sesekali menyembur air pada bahagian awning tudung kerana dikhuatiri akan merosakkan awning tudung tersebut.

SELENDANG LICIN

Corak pada selendang ini sememangnya cantik dan menarik tetapi agak sukar dipakai kerana strukturnya yang terlalu licin. Ia sesuai dipakai bersama anak tudung jenis kain yang kasar. Selendang ini bersifat sejuk dan sukar berkedut. Suhu yang sesuai digunakan ialah dua dan tiga, ia bagi mengelakkan kain selendang mengecut akibat panas.

Harap tip di atas dapat membantu anda semua dalam menggosok tudung untuk digayakan Syawal nanti.

Published by
Siti Zurina