Julai menyaksikan beberapa selebriti serta tokoh kenamaan yang menyambut hari lahir, antaranya Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Mohamad. Jika tahun lalu sambutannya cukup istimewa kerana cukup 100 hari pemerintahan beliau setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh.
Dan hari ini melihat pada usianya beliau tetap aktif dan cergas menjalankan tanggung jawab sebagai Perdana Menteri.
Jika orang lain pada umur begini, mungkin pergerakan tidak begitu aktif, nyanyuk ataupun hanya duduk sahaja di rumah.
Tetapi perwatakan Tun Mahathir jauh berbeza. Beliau kelihatannya masih punya karisma, cukup sihat, aktif dan mempunyai daya fikiran yang sangat tajam.
Agaknya apa rahsia Tun Mahathir kekal begitu biarpun sudah berada di penghujung usia.
Dalam satu temubual bersama Sinar Harian Online, Tun Mahathir berkata tiada rahsia diamalkan cuma harus sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.
Tiga perkara yang diamalkan adalah tidak merokok, tidak minum arak dan jangan makan terlalu banyak.
Selain itu beliau juga turut menjaga soal pemakanannya. Tun Mahathir juga akan pastikan berhenti sebelum kenyang kerana jika tidak beringat maka perut mudah jadi besar.
Selain itu beliau juga turut memberi nasihat agar jaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.
“Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak.
“Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan lebih mudah untk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi, katanya.
Tun Dr Mahathir yang turun padang sekali lagi dalam kancah politik selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke empat sebelum ini, turut berkongsi petua yang diberikan oleh ibunya satu ketika dulu.
“Ibu saya kata ketika tengah seronok makan berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan jadi lebih mudah.
“Oleh sebab itu seluar yang saya beli 40 tahun dahulu masih lagi muat,” tambahnya lagi.
Beliau yang telah memimpin negara selama 22 tahun ini juga berkata satu lagi rahsia kekal sihat adalah dengan sentiasa membaca buku.
Semoga Tun Mahathir terus panjang usia dan kekal sihat untuk terus mentadbir negara kita, Malaysia tercinta.
KREDIT FOTO: TWITTER & INSTAGRAM TUN MAHATHIR