Kaum Wanita Jangan Sedih Bila Period Bulan Ramadan, Ada Banyak Cara Lain Nak Kutip Pahala.

Share

Setiap kali tiba bulan Ramadan, tentunya ramai ingin mengambil kesempatan untuk menambah saham pahala. Oleh kerana bulan Ramadan hanya datang setahun sekali maka ia seharusnya tidak disia-siakan dan digunakan sebaik mungkin untuk amal ibadah.

Namun bagi kaum wanita, ada ketikanya mereka tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan tentunya amalan-amalan ibadah yang lain. Keadaan ini tentunya membuatkan mereka berasa sedih dan kecewa.

Berikut perkongsian penuh makna daripada Ustazah Asma’Harun

WAHAI WANITA YANG KEDATANGAN HAID, USAH BERSEDIH PADA BULAN RAMADAN

“Aduhai, tak boleh pulak nak puasa. Ruginya rasa.”
“Ya Allah, seronoknya tengok orang lain boleh terawih ramai-ramai.”
“Cemburunya…. Semua orang berebut-rebut kumpul pahala bulan Ramadan. Aku tak boleh nak buat apa-apa.”
Sedihnya…

Photo by vjapratama from Pexels

Beginilah antara beberapa keluhan dan luahan yang kadangkala keluar daripada mulut para wanita yang didatangi haid pada bulan Ramadan.

Haid adalah fitrah bagi seorang wanita. Saidatina Aisyah r.a. juga pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji. Rasulullah SAW menenangkan hati

Aisyah dengan berkata,
إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ فَاقْضِي مَا يَقْضِي الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang haji, kecuali tawaf di Kaabah.” [HR Bukhari]

Wanita yang berada dalam keadaan haid semasa Ramadan tidak perlu bersedih, kerana ini adalah ketetapan daripada Allah SWT. Tidak boleh berpuasa bukanlah bermaksud semua ibadah semasa Ramadan tidak dapat dilakukan. Sebenarnya, masih banyak amalan yang boleh diamalkan oleh para wanita yang didatangi haid dalam bulan Ramadan.

AMALAN WANITA HAID SEMASA RAMADAN:

1. MEMPERBANYAKKAN DOA DAN ZIKIR

Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”
[Surah al-Ahzab: 41-42]

Selain itu, Allah juga berfirman:

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ

Maksudnya: Ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur. [Surah al-Baqarah: 152]

2. MENDENGAR ALUNAN AL-QURAN

Ketika sedang didatangi haid, para wanita masih boleh mendengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran. Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid, dan ia membaca al-Quran.” [HR Bukhari]

3. MEMPERBANYAKKAN SELAWAT

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [HR Muslim]

Photo by cottonbro from Pexels

4. MEMPELAJARI ILMU AGAMA

Nabi Muhammad SAW bersabda:
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” [HR Muslim]

5. MELAZIMI SEDEKAH
Wanita yang haid masih boleh melakukan sedekah di bulan Ramadan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a.:
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَأَكْثِرْنَ الْاِسْتِغْفَارَ ، فَإِنِّـيْ رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka.” [HR Muslim]

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda. Jibril a.s. menemui Baginda setiap malam di bulan Ramadan sehinggalah selesai Nabi Muhammad SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya. Ketika Jibril a.s. datang, Baginda memberikan kebaikan melebihi angin mursalah (yang bertiup atau yang dikirimkan).” [HR Bukhari]

6. MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA

Amalan mudah bagi seorang wanita adalah menyediakan juadah berbuka buat orang yang berpuasa.

Photo by mentatdgt from Pexels

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani r.a.:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” [HR Tirmizi, hadis sahih]

KESIMPULAN
Sesungguhnya, wanita yang didatangi haid semasa Ramadan tidak terkecuali dalam merebut pahala. Usahakan melazimi amalan-amalan yang disebutkan di atas supaya kita tidak terlepas daripada merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadan yang mulia.

HIJABISTA: Selain berpuasa dan solat, banyak lagi amalan yang boleh dilakukan ketika dalam keadaan haid. Dalam bulan Ramadan misalnya, menyediakan hidangan untuk bersahur dan berbuka puasa juga salah satu cara untuk mendapat pahala. Jadi, usahlah bersedih wahai wanita…

Sumber kredit: Ustazah Asma’Harun Top image: Photo by khats cassim from Pexels

Published by
Norhasliza