‘Kau Hitam Ingat Ada Orang Nak Ke?’- Biar Diperlekehkan, Jaja Talib Tak Mengalah Dalam Modelling

Share

Kehidupan berumah tangga tidak menghalang Jaja Talib, 27, untuk terus aktif dalam bidang peragaan dan juga fesyen. Terkenal dengan keunikan tona kulitnya yang berbeza dengan stereotaip gadis Asia, Jaja atau nama sebenarnya Nur Rafiza Talib ini mempunyai kisahnya yang tersendiri dalam bidang peragaan.

DULU SUKA BERANGAN DEPAN CERMIN

Sudah terbiasa ke kelas peragaan sejak dari kecil, Jaja tidak menyangkakan peluangnya dalam bidang fesyen ini hadir tatkala dia sedang mengikuti pengajian diploma di Terengganu.

“Sejak kecil lagi Jaja sudah suka melihat rancangan America’s Next Top Model kerana keunikan model-modelnya. Tak sangka pula sewaktu zaman belajar ada pensyarah yang mengatakan Jaja ada potensi dalam bidang peragaan sebab dia melihat Jaja berjalan masa lalu di hadapan kelas.

“Jaja memang tak sangka kerana biasalah kita hanya suka berangan di rumah dan hadapan cermin sahaja. Dia mengajak Jaja untuk mengikuti casting dan alhamdulillah Jaja terpilih dan dari situlah bermulanya kerjaya Jaja sebagai seorang model.

“Dahulunya memang kalau kita melakukan peragaan tidak dapat bayaran kerana waktu itu Jaja lakukan hanyalah untuk keseronokan dan juga pengalaman. Benda yang Jaja belajar ialah benda first time begini kita tidak boleh meletakkan demand yang terlalu tinggi.

‘REJECTION’ ITU BIASA

“Sewaktu mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Jaja berazam untuk teruskan kerjaya dalam bidang ini. Bayangkanlah waktu itu Jaja tiada kereta dan di situ pula susah untuk dapatkan bas. Namun, Jaja tetap gigihkan diri untuk menghadiri casting.

“Waktu itu Jaja bertukar-tukar menaiki LRT di KL Sentral untuk ke Bangi dari Puncak Alam. Memang Jaja berasa sedih pada waktu itu kerana ditolak waktu casting kerana mereka mahukan kulit yang cerah.

“Kali kedua mereka telefon dan mengatakan ada klien dari Russia mahukan model yang berkulit gelap. Alhamdulillah rezeki Jaja dan mereka juga turut suka dengan hasilnya. Dari situlah mereka mula perasan bakat Jaja dan jenama hijab Radiusite turut approach kerana kata mereka Jaja nampak lain daripada yang lain.”

ABAIKAN KATA-KATA NEGATIF

Walaupun dulu dia pernah kecewa kerana warna kulitnya diperlekehkan, namun kini Jaja tidak lagi berasa begitu malah berbangga kerana tona kulit sepertinya makin dihargai dari hari ke hari.

“Jaja ingat lagi dahulu ada jurufoto ini dia cakap ‘kau hitam ingat ada orang nak ke?’ Walaupun dia bergurau namun kita memang tetap akan terasa dengan kata-katanya itu. Dulu memang akan nangis tapi sekarang sudah menjadi lebih kuat dari hari ke hari.

“Yang penting kita jangan dengar apa yang orang cakap. Sentiasalah positifkan diri. Lagipun, permintaan terhadap tona kulit gelap ini sudah semakin baik dan terbuka walaupun di luar negara sana mereka sudah menerimanya dari awal lagi.

“Kita jangan terlalu mendengar apa yang orang kata kerana dalam hidup ini banyak yang perlu kita fikirkan dan kecapi. Kalau kita ikut kata mereka, sampai bila pun kita tidak boleh pergi jauh,” jelas isteri kepada Nabil Suhaib ini.

Nak baca lebih lanjut mengenai Jaja? Langganilah majalah digital Hijabista sekarang!

Published by
Qistina