Kasih dan pengorbanan seorang insan yang bergelar ibu tiada tolok bandingannya dan tidak akan dibalas. Ibu sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anak tercinta. Sudah menjadi fitrah mereka untuk melunaskan tanggungjawab paling terbaik dan melakukan apa sahaja untuk anak-anak tercinta.
Seorang Ibu pasti akan melakukan pengorbanan buat anak mereka tidak kiralah mereka daripada golongan berada ataupun tidak. Orang kaya dengan cara tersendiri, begitu juga dengan golongan yang kurang berupaya. Mereka akan sentiasa bertanggungjawab atas amanah yang diletakkan di atas bahu sejak hari pertama kelahiran anaknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa OKU Gigih Lindung Anak Dari Hujan, Buat Netizen Tersentuh
Seperti kisah baru-baru ini dimana seorang wanita yang bernama Zahrah Mohd Jamian yang gigih mencari rezeki untuk menampung kos rawatan anaknya yang sakit.
Difahamkan, anak sulungnya Nur Zetty Shazlily,15, menghidap penyakit yang jarang sekali ditemui dan merupakan yang pertama di Malaysia iaitu sindrom Dravet; yang melumpuhkan pergerakan dan sarafnya sejak berusia tiga tahun.
Zahrah menyatakan puterinya dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain namun keadaan berubah selepas menerima suntikan ketika berusia tiga bulan.
“Empat jam selepas terima suntikan, Nur Zetty diserang sawan dan kami bawanya ke hospital untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, ubat diberi tidak serasi menyebabkan sawannya berulang. Sedihnya kerana dia lahir normal malah sempat berjalan dan berlari sehingga berumur tiga tahun. Namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ditemubual oleh Harian Metro.
Sehingga kini, Nur Zetty telah 15 kali dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), jadi Zahra dan suaminya berikhtiar melakukan rawatan alternatif dengan menggunakan rawatan swasta bagi menjalani beberapa terapi tetapi kosnya tidaklah murah.
“Tahun lalu, doktor pakar sahkan tulang belakang Nur Zetty bengkok 60 darjah dan anak kami disyorkan untuk menjalani pembedahan pada bahagian itu (tulang belakang).
“Bagaimanapun, saya dan suami tidak berani ambil risiko kerana ia membabitkan nyawa. Kerana itu kami bawanya menjalani terapi,” katanya.
Disebabkan itu, Zahrah dan suami tidak patah semangat mencari dana demi rawatan puteri tercinta. Katanya, dia hanya mampu mencari dana dengan mengambil tempahan membuat kek dan menjualnya di kaki lima.
Tambahan itu, keuntungan yang diperolehi hasil menjual kek bukan sahaja digunakan untuk kos rawatan anak sulungnya malah disimpan untuk kegunaan lima anak yang masih bersekolah.
“Saya berniaga setiap hari di kaki lima premis sekitar Petaling Jaya daripada jam 6 petang hingga 10 malam dengan ditemani anak.”
“Saya tidak berniaga di tempat sama kerana bukan semua kawasan sesuai malah barangan jualan pernah dirampas pihak berkuasa berikutan aduan orang ramai.”
“Itu antara cabarannya malah pernah juga tiada kek terjual dan saya sedekahkan ia kepada gelandangan,” katanya.
Sementara itu, suaminya; Muhammad Zakri Saimon, 47, yang bekerja sebagai pengawal peribadi serta menguruskan Nur Zetty di rumah sempat berkongsi dan menyatakan bahawa dia telah menerima segala ketentuan Allah SWT.
“Mulanya memang susah untuk menerima ujian ini memandangkan ia menimpa anak sulung.”
“Itu belum lagi cemuhan orang lain kerana Nur Zetty OKU. Bagaimanapun, pengalaman mendewasakan dan mengajar saya untuk terima ketentuan Allah SWT dengan lapang dada,” katanya yang memperoleh pendapatan bulanan RM2,500.
ARTIKEL BERKAITAN: “Duit Boleh Di Cari, Ibu Tiada Ganti” – Chef Wan Tolak Tawaran Travelog Luar Negara, Fokus Jaga Kesihatan Cik Ani
MasyaAllah, Hijabista doakan agar seluruh ahli keluarga ini diberikan kekuatan dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan hendaknya. Bagi anda yang ingin membantu menyalurkan dana, boleh menghubungi Zahrah atau Muhammad Zakri di talian 011-19526330.
Sumber: Harian Metro
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.