Sebut sahaja tentang hutang, ingatan penulis terarah kepada kisah pada zaman Rasulullah SAW yang mana baginda enggan menyempurnakan solat jenazah bagi orang yang tidak melunaskan hutangnya.
Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya, “Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?” Mereka menjawab, “Ya.”
Lalu baginda bersabda: “Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.” (Riwayat at-Tabarani)
Berdasarkan hadis itu, perkara berkaitan hutang tidak boleh dibuat ‘main’. Ia tetap perlu dijelaskan meskipun ketika itu kita sudah tiada lagi di dunia yang fana ini.
Apakah hukum berhutang? Benarkah roh orang yang tidak melunaskan hutang akan tergantung? Adakah hutang itu akan dituntut di akhirat kelak?
Ikuti penjelasan daripada pendakwah Dr Mohd Farid Ravi Abdullah
Ujar beliau, tindakan itu sebenarnya ‘menjebakkan’ diri jauh daripada syurga ALLAH. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmidzi disebut bahawa apabila manusia meninggal dunia, dia bebas untuk masuk syurga selagi mana tiada tiga perkara yang mengikatnya iaitu bongkak, hutang dan mencuri harta awam.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Riwayat at-Tirmidzi)
LARI BAYAR HUTANG SEMPITKAN REZEKI
Justeru, Dr Mohd Farid mengingatkan kita agar jangan ‘bermain’ dengan hutang.
“Kalau seseorang itu berhutang, dia kerja dan bayar balik, ia sebenarnya jadi ibadah. Malah, ALLAH SWT akan murahkan lagi rezekinya untuk dia membayar hutang berkenaan.
“Namun, jika seseorang ‘lari’ itu daripada hutang itu, maka kita akan lihat ALLAH akan menyempitkan lagi rezekinya dan pelbagai musibah akan menimpanya. Dia juga menjadi manusia yang tidak pandai berterima kasih dengan satu kelonggaran yang Islam beri.
.
“Secara asasnya, orang (yang memberi hutang) boleh sahaja memilih untuk tidak membantu sebab itu ialah harta dia. Namun, atas dasar kemanusiaan, silaturahim dan persaudaraan, dia hulur (bantuan hutang) juga,” katanya.
Benarkah si pemberi hutang akan mencari semula peminjam di akhirat untuk menuntut semula hutangnya jika tidak dibayar? Kata Dr Mohd Farid: “Betul. Untuk melunaskan hutang orang yang berhutang tadi, barangkali dia ada beberapa amalan (kebaikan) yang dibawanya. Jadi, dengan amalan itulah ia akan ‘dipindahkan’ kepada orang yang dia berhutang tadi. Maka, muflislah amalan orang yang gagal melunaskan hutang berkenaan.”
USAHA BAYAR HUTANG
Apapun jelas Dr Mohd Farid, kita perlu ada usaha untuk membayar hutang berkenaan. Ujar Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu, jika tidak dapat diselesaikan dalam tempoh dijanjikan, maklumkan kepada si pemberi hutang tadi tentang kekangan tersebut.
“Katakan kita berhutang RM1,000 dan berjanji untuk membayarnya pada bulan depan selepas mendapat gaji. Namun, apabila tiba masanya, mungkin kita ada komitmen lain seperti kereta terlibat kemalangan atau anak sakit yang memaksa duit berkenaan didahulukan untuk komitmen tersebut, berundinglah dengan pemberi hutang.
“Sebaiknya, berlaku jujurlah kepada pemberi hutang dalam membayar balik hutang berkenaan. Bagaimapun, orang yang berhutang itu tadi kena rasa itu ialah hutang, bukan duit orang dan sebagainya. Jika dia perlu kerja sampingan, dia perlu lakukan untuk cari duit dan bayar hutang berkenaan.
.
“Sebab itu, selepas solat jenazah, imam ataupun ahli waris arwah akan beritahu, jika ada sesiapa yang mahu menuntut hutang arwah, boleh menuntutnya pada waris,” katanya.
Seperkara lagi, Dr Mohd Farid turut menegur sikap masyarakat yang lazimnya membuat pengumuman berkenaan tuntutan hutang tersebut selepas solat jenazah ditunaikan.
“Sepatutnya ia ditanya atau diberitahu sebelum solat jenazah. Nabi Muhammad SAW juga tanya sebelum solat jenazah. Ini kerana, orang yang hendak solatkan jenazah itu perlu memastikan hati mereka tiada apa-apa (yang terpendam) dengan arwah,” jelasnya.
Kepada satu soalan, agamawan itu turut mengingatkan kita agar jangan langsung terlintas enggan membayar hutang sekalipun si pemberi hutang tadi orang yang kaya.
“Jangan sekalipun dalam kepala terlintas “Alah, RM1,000 je pun pinjam, kalau tak bayar, dia (pemberi hutang) bukannya miskin”.
“Ingat! Dia kaya, jutawan mahupun hartawan sekalipun, itu bukan soal kita. Soal kita yang berhutang ialah cari jalan (bagaimana) hendak bayar hutang. Itu saja. Jangankan RM1,000 saja. Sekalipun nilainya hanya RM1 (kita hutang), itu tetap hak dia (pemberi hutang). Dia berhak tuntut balik. Jadi jangan cari alasan untuk tidak bayar hutang atau melengah-lengahkannya,” jelas beliau.
ELAK HUTANG KALAU TAK MAMPU BAYAR
Pinjaman bank juga termasuk dalam hutang yang wajib dibayar dan ‘diancam’ dengan ancaman berat sepertimana disebutkan dalam beberapa hadis jika ia sengaja tidak dibayar.
Antara ancaman berkenaan ialah jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagi ia tidak melunaskan hutangnya, selain hutang tersebut akan dibayar kepada pemiutang dengan pahala amal kebajikan si penghutang di akhirat kelak.
Sumber kredit: Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI