Kalau Nak Sedekah Bukan Kira Banyak Ke Sikit Yang Penting Kita Ikhlas

Share

Amalan bersedekah sangat berkait rapat dengan iman seorang Muslim. Setiap sedekah yang diterima di sisi Allah SWT, Allah akan balas dan ‘membayarnya’ di dunia lagi. Itu janji Allah dalam al-Quran iaitu sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, Dia akan ganti semula dengan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda pahala manakala paling banyak adalah 700 kali ganda.

Apabila seseorang mendapat nikmat sedekah, dia tidak kisah lagi berapa wang yang dikeluarkan. Justeru, setiap Mukmin perlu yakin amalan bersedekah memiliki keistimewaan yang sangat luar biasa sekiranya ia sentiasa diamalkan dalam hidup mereka.

Setiap Mukmin juga perlu sentiasa ingat, sedekah paling besar pahalanya adalah apabila dia berada dalam keadaan sihat dan berasa sayang terhadap hartanya, maka pada waktu itu jangan bertangguh lagi untuk bersedekah.

Berikut perkongsian Muhammad Yusof

Pengalaman hari pertama aku di sekolah menyedihkan

Ada anak yatim piatu 3 beradik masuk ke asrama sekolah aku. Kesian dorang. Disaat anak-anak membesar dengan kasih sayang mak ayah, dorang 3 beradik diuji dengan kehilangan mak dan ayah pada usia muda. Besar betul dugaan dorang.

Aku saje edarkan sampul surat kat budak-budak asrama untuk membantu seikhlas hati meringankan beban 3 beradik ni. Sape nak derma, derma. Tak nak takpe. Biasanya awal-awal ni mak ayah ada bagi duit lebih sikit buat belanja, tapi itulah aku tahu kebanyakan mak bapak dorang bukannya orang senang. Ada yang kerja kilang, ada yang kerja cleaner. Ada yang jualan kat pasar malam.

Masa aku nak balik ke rumah, ada sorang pelajar panggil aku. ‘ustaz nak derma..’. Aku kenal dia ni sebab aku pernah hantar dia ke rumah. Keluarganya nampak macam orang agak susah. Rumah pun rumah papan biasa-biasa.

‘Ustaz, saya nak derma..’ Dia pun keluar duit syiling masuk dalam sampul surat putih yang aku bawak. Aku tak tahu berapa jumlah dia yang aku tahu duit syiling sebab bunyi keceng, keceng..

Aku tanya awak ada duit tak ni nanti nak gi kantin makan macamana? Aku saje tanya sebab aku tahu latar belakang keluarga dia.

‘Takpe ustaz, bapak saya pesan kalau ada derma untuk anak yatim, orang susah, kena bagi derma. Saya syukur ada mak ayah lagi ustaz. Kesian dorang takde mak ayah dah.’

Sebak aku bila dengar jawapan budak ni. Benar, kita jangan tunggu bila ada duit baru nak sedekah. Bila rasa senang baru nak sedekah.

Allah, Allah, kadang-kadang kita yang dewasa, yang berduit ni pun kadang-kadang tak mampu nak jadi macam budak ni kan?

Aku belajar sesuatu dengan budak ni, kita kalau nak sedekah, sedekah je. Sedekah ni bukan kira banyak ke sikit. Yang penting kita ikhlas. Selagi kita boleh sedekah, sedekahlah. Selagi kita boleh tolong orang, tolonglah.

Sampai masanya nanti, Tuhan akan mudahkan orang lain untuk bantu kita, masa kita susah.

 

Published by
Norhasliza