Kisah penghijrahan Izara Aishah sebelum ini mengejutkan ramai pihak, tiba-tiba sahaja pelakon wanita popular ini mula memadam gambar tidak berhijabnya di laman sosial dan memuatnaik penampilan terbaharu dirinya yang sudah berhijab.
Disambut baik oleh keluarga, para peminat dan juga seluruh warganet, penghijrahannya mencuri tumpuan. Jika dilihat pada penampilan Izara yang terkini, dia memilih untuk mengenakan tudung labuh yang benar-benar menutup dada dan juga menggayakan busana longgar tanpa mengikut bentuk tubuh. Labuh lengan bajunya juga dimestikan sampai ke pergelangan tangan.
Memetik kata-kata ciapan di laman Twitternya, dia berkata, “Kalau anda tidak boleh bersembahyang dalam pakaian seperti itu, jangan pakai. Jika anda tidak mahu perkataan tersebut menjadi perkataan terakhir anda, jangan ungkapkan.”
Sebuah mesej yang sangat ringkas tetapi sangat mendalam. Sentiasalah kita berpakaian sebagaimana kita hendak bertemu tuhan, dan sentiasalah menjaga lidah dalam percakapan.
HIASI KEMPEN FESYEN
Menarik perhatian warganet baru-baru ini, Izara telah menghiasi kempen sebuah jenama fesyen tempatan, Shawl Publika, yang menampilkan rangkaian rekaan hijab yang sangat cantik. Koleksi yang diberi nama ‘Tudung Zara’ ini menyerlahkan corak rekaan geometri dan juga flora dalam limpahan warna-warna yang menaikkan seri sesiapa sahaja yang memakainya.
Paling penting, penataan gaya hijab yang dikenakan juga mengikut gaya Izara yang mana hijab menutup dada dan busana yang dipadankan juga longgar dan labuh lengan baju menutup sehingga ke pergelangan tangan.
Untuk pada hijabi yang mahukan gaya tudung baharu, mungkin anda boleh mencedok ilham dari stail penataan hijab yang digayakan selebriti popular ini. Tidak perlu penataan yang keterlaluan, cukup ringkas, namun mengikut syariat. Biarkan warna dan rekaan corak hijab yang menaikkan seri wajah.
Sumber: Twitter Izara Aishah
Sumber gambar: Instagram Shawl Publika