Siapa sangka dilahirkan dengan mempunyai tanda lahir memberi tuah dan keistimewaan pada gadis bernama Syamimi Afrina. Biarpun mempunyai tanda lahir yang agak besar di dahinya, namun dia bertuah dipilih menjadi wajah bagi jenama produk solekan tempatan. Malah sebaik fotonya yang selesai disolek dimuat turut di media sosial, terus dirinya menjadi viral.
Menurut jurusolek yang bertanggung jawab menyolek gadis istimewa ini, Nazira Abidin, 31 tahun berkata dia amat bertuah kerana berpeluang menatarias wajah Syamimi Afrina yang disifatkannya unik berbanding orang lain.
Tambah Nazira, jika jurusolek lain mendapat model biasa yang tiada cacat cela atau kekurangan untuk disembunyikan untuk disolek, tetapi dirinya bertuah kerana dapat menyolek wajah Mimi yang lain daripada lain.
“Saya dapat Mimi yang ada tanda lahir di muka dan memiliki jerawat. Cabaran yang sukar adalah bagaimana saya nak jadikan wajah dia ‘stand out’ (menyerlah) supaya bila orang tengok dia, orang tidak fokus pada tanda lahir tetapi kecantikan semula jadi yang ada padanya.
Menurut Nazira lagi yang juga seorang Jurutera Mekanikal sepenuh masa di Ayer Keroh, Melaka berkata, karakter gadis tersebut yang mesra dan berkeyakinan tinggi sepanjang sesi solekan selama satu jam 15 minit membuatlan dirinya kelihatan bertambah cantik.
“Dia tiada perasaan ‘insecurity’ (tidak yakin diri) langsung, malah sangat peramah dan tidak pernah sekali pun dia menyebut tentang tanda lahir itu.
“Dia juga seorang yang tenang dan disenangi ketika saya menyolek wajahnya. Saya juga tidak menyentuh langsung tanda lahir berkenaan dan hanya fokus solekan untuk menutup jerawat yang ada,” tambahnya yang sudah lapan tahun bergelar jurusolek sambilan.
Rata-rata netizen turut memberi komen positif pada Syamimi dan ramai memuji kecantikan semula jadi yang ada padanya. Malah bagi mereka gadis ini cukup unik kerana mempunyai tanda lahir di dahinya.
SUMBER: TWITTER NAJILAA & MSTAR ONLINE