Membaca doa di malam hari antara waktu yang disarankan kerana Allah SWT suka dengan hambanya yang terjaga di malam hari dan membaca doa kepada-Nya. InsyaAllah doa akan dimakbulkan.
Tahukah kamu jenis doa yang sesuai dibacakan ketika di malam hari? Jom amalkan barisan doa dan zikir mudah ini untuk mendapat ganjaran pahala dan kebaikan dari-Nya.
Dari Ubadah bin Shamit Radhiallahu’anhu, dari Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam beliau bersabda:
“Barangsiapa yang terjaga di malam hari, kemudian dia membaca:
لا إله إلا الله, وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد, وهو على كل شيء قدير, الحمد لله, وسبحان الله, ولا إله إلا الله, والله أكبر, ولا حول ولا قوة إلا بالله
Laa ilaaha illallaah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku wa lahul hamd, wa huwa ‘alaa kulli syai-in qodiir, Alhamdulillaah, wa Subhaanallaah, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, wa laa haula wa laa quwwata illaa billaah.
Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya;
Atau dengan mengucap kalimah;
اللهم اغفر لي
Allaahummaghfir lii.
Ya Allah, ampunilah dosa saya.
Atau dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya, jika dia berwudhu dan melaksanakan solat, maka akan diterima solatnya – al-Bukhari 1103, Abu Dawud 5060, Tirmidzi 3414 dan Ibnu Majah 3878.
Tidak susah kan untuk mendapat pahala di malam hari? Apa yang penting, kita haruslah sentiasa mengingati Allah S.W.T setiap masa kerana sesungguhnya Allah S.W.T ialah Maha Pencipta kita. Selamat beramal!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Urus Jenazah Semasa Banjir Satu Kewajipan! Ini 4 Cara Yang Perlu Dilakukan Menurut Ustazah Asma’
Pengurusan jenazah bukanlah suatu perkara baharu. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan. Bahkan dalam anutan lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia.
Semua orang bakal berdepan situasi ini jika ada ahli keluarga, saudara-mara mahupun tetangga yang meninggal dunia. Namun begitu, dalam musim banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di seluruh negara, situasi pengurusan jenazah ini agak sukar untuk disempurnakan.
Bencana banjir yang melanda beberapa tempat di negara kita baru-baru ini memang meruntun hati pelbagai pihak. Ramai mangsa banjir yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah kerana bencana alam tersebut. Bukan sahaja diuji dengan kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda, malah ada antara mereka yang diuji dengan pemergian insan tersayang.
Ketika berada dalam situasi ini, satu perkara yang sering menjadi tanda tanya adalah bagaimana cara mahu menguruskan jenazah di kawasan yang masih dilanda banjir.
Salah seorang penceramah bebas iaitu Ustazah Asma Harun, yang banyak berkongsi kemusykilan soal jawab agama tidak terlepas untuk mengulas mengenai isu ini. Ustazah Asma’ telah tampil memberikan pencerahan menerusi satu perkongsian di Facebook baru-baru ini.
Fardu kifayah
Memetik coretan Ustazah Asma’, menguruskan jenazah semasa banjir adalah satu kewajipan dan ia termasuk dalam fardhu kifayah bagi masyarakat di sesuatu tempat. Kewajipan itu hanya akan terangkat apabila ada sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.
Ijma’ Ulama bersepakat bahawa setiap individu yang TIDAK mati dalam keadaan syahid atau berada dalam ihram WAJIB bagi mereka diuruskan dengan empat perkara ini:
- Dimandikan
- Dikafankan
- Disolatkan
- Dikebumikan
Artikel berkaitan: Bergaul Bukan Mahram Dan Bertudung, Pesta Halloween Disambut Baik Negara Islam. Ustazah Asma Harun bimbang…
4 cara pengurusan jenazah ketika banjir
Berikut adalah penjelasan dan huraian Ustazah’ Asma mengenai empat perkara tersebut:
#1 Memandikan jenazah
Dalam situasi banjir, dibolehkan bagi seseorang menggunakan air banjir untuk memandikan jenazah. Urusan memandikan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya, jika tidak ada maka diharuskan yang berlainan jantina menguruskannya.
Sekiranya pusat penempatan banjir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi atau air hanya cukup untuk keperluan asas sahaja seperti air minum, jenazah boleh ditayamumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah. Orang yang menguruskan jenazah tersebut perlulah menekap atau menepuk tanah dengan tangannya, kemudian menyapu ke bahagian muka dan kedua tangan jenazah tersebut.
Tambahnya, keadaan darurat dan situasi sulit seperti banjir yang menyebabkan simpanan air bersih perlu digunakan untuk keperluan-keperluan asas yang lain seperti air minum menjadikan tayammum dijadikan rukhsah atau keringanan oleh syara’.
Firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu).” (Surah al-Maidah: 6)
#2 Mengkafankan jenazah
Kafan yang dituntut oleh syarak adalah kain putih yang mencukupi untuk menutup aurat jenazah. Sunat tiga lapis kain putih bagi jenazah lelaki dan lima lapis kain putih bagi wanita. Sekiranya menghadapi kesukaran menyediakan kain kafan yang mencukupi atau yang bewarna putih ketika di dalam situasi banjir, dibolehkan untuk mengkafankan jenazah sekadar untuk menutup jenazah sahaja.
Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ
Maksudnya: “Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian dan kafankanlah yang mati di kalangan kamu dengannya.” (HR Tirmizi, hadis Sahih)
#3 Sembahyang jenazah
Jenazah yang telah dikafankan, wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan.
Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى لِلنَّاسِ النَّجَاشِيَ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ فَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى وَكَبَّرَ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda atas kematian al-Najasyi lalu baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali takbir.”
(HR Muslim, Hadis Sahih)
#4 Mengebumikan jenazah
Jenazah yang sudah disolatkan wajib dikebumikan di kawasan perkuburan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tidak dapat diuruskan, dinasihatkan untuk menghubungi pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskannya. Sekiranya tidak berjaya, maka perlu dilakukan perkara-perkara berikut:
- Dikebumikan di mana-mana kawasan atau tanah yang boleh didapati. Setelah banjir surut, jenazah tersebut perlu dipindahkan oleh pihak berkuasa agama negeri ke tanah perkuburan yang disediakan sekiranya diperlukan. Atau;
- Menyimpan jenazah di tempat yang sesuai dalam suatu tempoh yang dirasakan tidak akan membusuk sehingga banjir reda dan dikebumikan setelah itu. Atau;
- Menghanyutkan jenazah dengan harapan agar ada orang yang menguruskan jenazah itu ketika menemuinya. Atau;
- Melakukan apa-apa alternatif lain untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan dan memudaratkan orang awam.
Artikel berkaitan: Supaya Konsisten Buat Kebaikan, Amalkan Tip Yang Ustazah Asma’ Harun Kongsi
MasyaAllah, semoga perkongsian Ustazah Asma’ ini dapat dimanfaatkan oleh semua. Buat yang sedang diuji dengan musibah banjir, semoga diberi kekuatan dan dimudahkan segala urusan. Amin.
Sumber: Facebook
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Cara Ini Hindar Rasa Bosan & Bersemangat Sepanjang Hari Di Pejabat. Ingatan Penting Untuk Graduan Baru Kerja!
Anda ‘9-to-5er’? Suasana di ofis pasti menyekat kebebasan idea dan memberikan impak kepada ‘mood’ bekerja, lebih-lebih lagi graduan yang baru kerja. Darah muda cepat rasa bosan dengan suasana baru yang belum tahu situasinya. Semangat hambar dan fokus juga barangkali menjunam jatuh. Maka untuk mengelakkan daripada situasi yang menjemukan ini, anda harus bangkit dan hindarkan ia daripada terus terjadi. HIJABISTA kongsi rahsia bukan calang-calang untuk kekal bersemangat sekali gus memacu produktiviti sepanjang hari.
1) KRISIS DIRI
Masalah peribadi adalah penyebab utama anda tidak boleh berasa bahagia yang amat pabila berada di tempat kerja. Oleh itu, pastikan anda meninggalkan masalah peribadi anda tersorok di rumah dan usah membawanya ke ofis. Kawal perasaan dan tetaplah ceria. Jadi seorang yang profesional dan konsisten dalam lapangan pekerjaan. Kala berada di tempat kerja, tetapkan laras fokus dan tumpukan perhatian sewaktu bekerja agar tidak tersasar. Kebiasaan ini mampu membantu anda memperoleh kebahagiaan di tempat kerja.
2) ITEM DEKORATIF
Agar tidak berasakan hambar ketika berada di kotak kubikel, ciptakan suatu suasana yang selesa untuk diri anda sendiri. Jika famili penyumbang kepada semangat untuk bekerja, maka, usah teragak-agak untuk meletakkan bingkai gambar terhias indah di atas meja kerja anda. Hiasi meja kerja atau ruang kerja anda agar berasa seselesa mungkin dan seindah mampu. Terbitkan suasana santai. Namun perlu diingat, apabila merias ruang legar kerja, anda juga harus peka kepada peraturan yang ditetapkan oleh syarikat dan usahlah terlalu keterlaluan.
3) TERAPI MESRA
Menjalin hubungan baik dengan rakan kerja adalah langkah seterusnya untuk lebih bahagia di tempat kerja dan pastinya menepis rasa bosan. Bergaul mesra dengan rakan sekerja yang mempunyai latar belakang dan gaya hidup sama, pasti bakal membuatkan hati makin berbunga-bunga. Tidak salah berkongsi cerita pada waktu rehat atau makan tengah hari. Cara mudah ini sedikit-sebanyak dapat meningkatkan hubungan silaturahim dengan rakan sekerja. Hubungan baik dengan rakan kerja juga boleh membantu anda ‘tika berhadapan dengan sebarang permasalahan. Namun, awas, usah juga terlebih ‘manja’ dengan rakan seperjuangan yang berlainan jantina, ya?
4) JADUAL SISTEMATIK
Merancang sistem kerja dengan teratur mampu membantu seseorang untuk menyelesaikan setiap tugasan dalam masa yang ditetapkan, tanpa berlengah-lengah; kerana tertera “tarikh mati” pada jadual tersebut. Keperluan mengatur jadual ke tempat kerja, waktu rehat dan pulang daripada kerja juga amatlah dituntut. Di samping itu, kerja perlulah dilangsaikan mengikut kepentingan dan manfaatkan kemudahan gajet untuk melancarkan urusan kerja. Pendek kata, jika urusan kerja semakin bertimbun, anda pasti boleh menyelesaikannya dengan hasil maksimum dan tepat pada waktunya, kerana ‘practice makes perfect’.
5) IMPAK NUTRISI
Untuk lebih menghargai pekerjaan, hal paling mudah yang boleh dilakukan adalah fokus ketika menyudahkan setiap kerja. Fokuslah pada sesuatu yang positif hingga menimbulkan rasa tenang saat berada di tempat kerja. Selain itu, peliharalah kesihatan tubuh anda. Makan makanan berkhasiat dan gandakan meminum air putih dan cuba untuk mencari peluang untuk beriadah. Elakkan stres berlebihan jika berhadapan dengan masalah kerja.
6) JADUAL 15 MINIT REHAT
Jangan hanya berehat ketika waktu tengah hari sahaja. Peruntukkan sedikit masa untuk meregangkan anggota badan dengan melakukan senaman ringkas.
7) MEMBAWA BEKAL YANG SIHAT & LAZAT
Usahakan untuk sering membawa bekal makanan ringan yang sihat ke pejabat seperti potongan buah atau salad sayur. Makanan ringan ini akan membantu menokok tenaga dan meningkatkan produktiviti anda. Tidak perlu bimbang andai berat badan meningkat memandangkan nutrisi daripada buah dan sayur amat bermanfaat untuk tubuh.
8) BERJALAN-JALAN
Berjalan adalah salah satu cara untuk menguatkan tenaga di pejabat. Berjalanlah pada kadar cepat semasa makan tengah hari atau tika melangkahkan kaki ke ruangan pejabat yang lain untuk mesyuarat. Sedikit berpeluh akan membuatkan anda mencapai keadaan tubuh yang lebih prima.
9) KAWALAN FIKIRAN
Berfikir secara berlebihan membuatkan anda lebih tertekan. Hal ini akan membuatkan anda memilih untuk meminum secangkir kopi, makanan ringan yang berlemak dan tidak berehat dengan secukupnya. Jadi, jika fikiran sedang ‘penat’, pilihlah untuk berehat atau melakukan teknik pernafasan agar lebih santai. Dengan mengaplikasikan tip di atas, kesibukan di pejabat tidak akan mampu membuat keadaan produktiviti badan menurun. Usah lupa, untuk menyediakan air suam di samping anda ya. ‘Happy working ladies!’
ARTIKEL BERKAITAN: 6 Item Wajib Ada Untuk Tampil Stailo & Yakin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Usahawan Wanita B40 Perlu Urus Perniagaan Dengan Bijak, Mudahnya Dengan Aplikasi Ini
Bukan mudah untuk bangkit membina ekonomi keluarga, kebanyakan usahawan wanita B40 adalah daripada golongan terkesan oleh pandemik Covid19 yang ingin kembali. Pasti masih tercari-cari cara untuk menjana pendapatan dengan bijak.
Elak padah ditipu orang sekeliling, mujur platform khas yang disediakan bagi membantu usahawan wanita luar bandar khususnya golongan B40, melindungi dan membantu agar perniagaan mereka selari dengan arus perniagaan semasa yang berasaskan digital.
ARTIKEL BERKAITAN: Berniaga Sejak Usia 14 Tahun, Gadis ‘Tumbler’ RM 1800, Dedah Tak Pernah Minta ‘Wang’…
Cabang baharu bantu kembangkan perniagaan
Pihak Usanita Sdn Bhd (USANITA) berani mengambil langkah untuk mendedahkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negara, ke pasaran lebih luas. Ramai yang masih tidak tahu kewujudannya, dengan mengajak mereka menjadi usahawan perintis USANITA, sekali gus mempromosi dan mengangkat kelebihan IKS di mata dalam dan luar negara.
Justeru itu, terhasilnya Usanita Mall sebagai platform e-dagang atau market place yang mensasarkan peniaga dan pengguna online di seluruh Malaysia dengan objektif utamanya bagi memberi pendedahan perniagaan usahawan B40 dan M40 secara digital.
Kewujudan Usanita Mall adalah salah satu cabang bantuan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dalam satu sessi temubual di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri USANITA di Hotel Pullman, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan menjelaskan, selari dengan arus digitalisasi kini, setiap usahawan perlu mengubah kaedah dan strategi perniagaan sesuai dengan corak pembelian masa kini.
“Kalau nak dihitung market place yang ada hari ini, memang tidak terkira hingga wujudnya persaingan tetapi saya melihat dari aspek positif di mana platform ini telah membuka ruang kepada usahawan-usahawan untuk berdagang dan memperkenalkan produk mereka kepada umum,” kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Generasi Muda Nak Berniaga Perlu Ada Pada Ruangan Betul & Ilmu. Ini Cara Ibu…
Membuka ruang baru
Platform ini dibuka secara percuma kepada semua peniaga yang ingin membuka akaun di Usanita Mall dengan syarat perlu berdaftar sebagai perintis terlebih dahulu. Tambahnya lagi, paparan Usanita Mall yang ringkas dan mudah difahami ini sesuai untuk penggunaan setiap lapisan masyarakat.
“Lebih banyak ruang untuk usahawan berniaga, bermakna lebih besar peluang untuk mereka mendapatkan jualan serta menjana pendapatan yang akhirnya mendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara” katanya.
Menolak dawaan bahawa platform ini seperti lambakan produk di pasar malam, malah menyifatkan perkata itu tidak diketahui secara jelas selagi tidak melayari platform e-dagang berkenaan.
“Di USANITA Mall bukan rojak, tapi kita eksklusif, kita sendiri buat ‘branding’ mereka, kita buat pembukusan baharu, kita tak akan bagi mereka (perintis) lakukan sendiri. Jadi, kita tak akan ada lambakan produk macam di pasar malam.
Pihak USANITA perlu menjaga visual produk mereka supaya nampak kemas dan lebih menarik, memberi tunjuk ajar bagaimana visual yang baik dapat membantu penjenamaan mereka ketika berada di platform dalam talian. Tiada lagi packaging ikat getah!
Rosyan Nor bantu tingkatkan penjualan
Usaha murni ini juga turut membawa Datuk Rosyam Nor sebagai ikon perniagaan yang membantu para usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari segi penjenamaan dan pemasaran produk bagi memastikan ianya mampu menembusi pasaran pada masa kini sekali gus meningkatkan jualan.
“Saya membantu secara percuma kepada lebih 50 produk usahawan IKS sebagai duta tanpa sebarang kos bayaran. Mereka yang berada dibawah program Usanita ini, boleh menggunakan gambar saya di pembungksan produk sebagai duta kepada peroduk mereka sendiri, secara tidak langsung membantu meningkatkan jualan dan ini terbukti sehingga penjualan produk mereka mencapai RM300,000 sebulan” katanya.
Rosyam turut menambah, usaha murni sebagai duta produk secara percuma ini diberikan selama satu tahun. Tarikan utama Usanita Mall ialah senarai ‘VIP Merchants’ yang juga merupakan rakan strategik Usanita Sdn Bhd seperti Rizman Ruzaini, Awal Ashaari, Fiziwoo, Fazs Faozi dan ramai lagi. Dengan adanya senarai ‘VIP Merchants’ ini dapat membantu menarik lebih ramai pengunjung ke platform ini.
Selain itu, Usanita turut keudara dalam program Usahawan Masterclass Buletin FM, melibatkan pengisian khas, Biz Spot di mana usahawan-usahawan daripada Perintis Usanita akan dijemput untuk membuat perkongsian menerusi segmen Santai Siang bersama Marsila Hassan.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI