Khusyuk dalam solat berlaku pada seseorang yang mengosongkan hatinya untuk solat yang dikerjakannya. Hati akan melupakan perkara lain untuk memberi keutamaan kepada solat. Maka, pada masa itulah solat akan menjadi penyejuk hati.
Amat beruntung kepada orang yang mendirikan solat dengan penuh khusyuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminuun ayat 1 dan 2 bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”
Khusyuk dalam solat itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Belajar dan didik diri kita untuk fokus ketika solat agar matlamat untuk kusyuk dalam solat tercapai.
ENAM AMALAN MENDAPATKAN KHUSYUK DALAM SOLAT
Berkata Imam Al-Ghazali ada enam perkara yang hendaklah dikerjakan oleh orang yang sembahyang supaya tergolong ia di dalam kalangan orang-orang khusyuk di dalam solat.
1. Hudhurul Qalbi ertinya hadirkan di dalam hati perasaan sedar dengan kehadiran Allah dalam diri dan merasakan dirinya dekat dengan Allah dan sedang bersamaNya maka jadilah hatinya hidup langsung menuju Allah.
2. At-Tafahhum ertinya mencuba sedayanya memahami setiap perbuatan dalam solat dan cuba memahami sungguh-sungguh segala bacaan dalam solat yang sedang didirikan dan menghayati setiap gerak laku solat dan bacaannya pada zahir dan batin.
3. At-Ta’dzhim ertinya merasakan dalam hati kebesaran Allah dengan cara merasakan diri kita ini sangat kecil lagi hina tidak berdaya apa-apa di hadapan Allah.
4. Al-Haibah iaitu merasakan sangat takut ketika berdiri di hadapan Allah dan takut pada marahNya dan takut untuk melanggar perintahNya.
5. Ar-Roja’ iaitu sangat-sangat berharap kepada Allah agar Allah sudi menerima ibadahnya itu dan sangat mengharapkan Allah perkenankan segala doanya.
6. Al-Haya’ iaitu merasa sangat malu kepada Allah atas segala kekurangan dan ketidak sempurnaan yang terdapat di dalam solatnya. Merasa sangat malu dengan sebab kesilapan dan dosa dan sangat malu pada kelemahan diri dan segala aib diri yang selalu berlaku berulang-ulang.
Dari Kitab Ihya Ulumiddin dengan ringkasan. Wallahua’lam
HIJABISTA: Didik hati kita untuk senang berzikir, suka mendengar nasihat, gemar menghayati Al-Quran serta khusyuk ketika solat. Apabila seseorang berasa berat dan tidak suka solat, membaca al-Quran, berzikir dan mendengar nasihat, hatinya rosak, keras dan tidak sihat.
Sumber kredit: Ustaz Azhar Idrus Top image: Canva