Pakaian ataupun outfit ketika menunaikan ibadah umrah perlu diambil perhatian oleh kaum wanita. Pemilihan pakaian sesuai adalah amat penting untuk memudahkan pergerakan dan keselesaan untuk beribadah di sana.
Di samping itu juga ada beberapa perkara penting yang kaum wanita jangan sesekali terlepas pandang dalam soal pemilihan pakaian ketika berada di Tanah Suci. Seeloknya, jubah atau abaya perlulah selesa dipakai, tidak meleret dan tidak terlalu nipis atau tebal.
Berikut perkongsian daripada Masnira Ramli yang menyentuh tentang pemakaian ketika menunaikan umrah.
Datang umrah sudah boleh pakai jubah berwarnakah? Kalau ikutkan dari dahulu, tiada masalah untuk jemaah umrah/ haji wanita untuk pakai jubah berwarna selain dari warna hitam.
Kini, sejak visa pelancong diperkenalkan, etika berpakaian semakin longgar untuk jemaah dan pelancong. Dari segi undang-undang, tidak salah memakai jubah berwarna atau pakaian lain selain dari jubah asalkan sopan.
Cuma menyentuh dari segi budaya, amatlah tidak sesuai memakai jubah yang berwarna terang dan design yang sarat sehingga membuatkan banyak mata memandang atau tertarik. Terutama apabila datang umrah.
Solat di dalam masjid dengan jubah yang berwarna terang, design yang terlalu cantik juga boleh membuatkan jemaah lain terganggu ibadahnya, apatah lagi orang berlainan jantina. Menarik banyak mata untuk memandang.
Kita ulangkaji bab adab-adab wanita untuk ke masjid.
* Keluar dalam keadaan menutup aurat dan berpakaian sopan.
* Tidak bersolek dan memakai bau-bauan.
* Lebih elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan.
Jadi, jika bertanya pendapat saya untuk ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi, lebih baik memilih pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, tidak berwarna terang, design yang simple dan tidak sarat serta kurang hiasannya. Begitulah. Pesanan ini untuk diri saya sendiri juga.
Saya teringat ada suatu masa saya sedang solat terawih di masjid berdekatan rumah, ada seorang wanita menegur saya dengan baik sambil menunjukkan sulaman corak di pergelangan abaya yang saya pakai.
Katanya abaya itu tidak sesuai dipakai untuk ke masjid. Lebih baik pakai yang kurang atau tiada langsung hiasannya. Sejak itu baru saya perasan wanita tempatan memakai abaya kosong sahaja untuk ke masjid hatta ketika solat hari raya.
Kesimpulannya bersederhana itu lebih baik termasuklah dalam soal berpakaian. Pilihlah warna pakaian yang tidak mengundang untuk banyak mata memandang.
Sumber kredit: Masnira Ramli Top image: Photo by rhyan-stark from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.