Stesen televisyen AlHijrah dikecam hebat selepas mereka menjemput Kak Long 7E yang tular baru-baru ini kerana memarahi pekerja 7 Eleven ke salah satu rancangan terbitan mereka.
Rata-rata netizen mengkritik tindakan tersebut kerana ia seolah-olah menggalakkan lagi orang ramai untuk bersikap biadap bagi mendapat populariti dalam sekelip mata.
Akur dengan kemarahan warganet, TV AlHijrah telah memberikan penjelasan mengenai isu tersebut dan mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu tayangan episod rancangan tersebut.
Jelas mereka, kehadiran Kak Long 7E ke program rakaman tersebut adalah bagi memberi pengajaran dan teguran buatnya agar lebih peka sebelum bertindak melulu dengan berkongsi segala-galanya di laman sosial.
Ekoran daripada kenyataan itu, akaun Facebook Tv AlHijrah menerima pelbagai maklum balas daripada warganet yang berpendapat bahawa adalah lebih baik jika mereka menjemput pekerja 7 Eleven yang dimarahi oleh Kak Long tersebut kerana miliki budi bahasa yang tinggi.
Selain itu, mereka juga berasa teguran kepada Kak Long tersebut tidak perlu dilakukan oleh ustaz dan ustazah secara siaran langsung dan memadailah ditegur secara peribadi tanpa liputan media.