‘Jangan Cemburu Dengan Rakan Sekerja’-Ini 10 Cara Untuk Hijabi Kekal Ceria Di Pejabat

Share

Setiap individu yang bekerjaya pasti akan resah dan bingung memikirkan kerja yang tergendala mahupun yang akan datang. Hal ini sedikit sebanyak telah memberi impak kepada prestasi kerjaya masing-masing sehingga kita tidak lagi berasa seronok menempuhi alam pekerjaan.

Jom kita lihat 10 tips untuk kekal positif di pejabat menurut Srikumar Rao iaitu penulis buku Happiness at Work.

1. Ketika sesuatu yang buruk terjadi di pejabat, jangan salahkan diri sendiri. Elakkan daripada terlalu memikirkan perkara tersebut dan teruskan kerja untuk mengekalkan ketenangan.

2. Tidak perlu membuang masa untuk menyalahkan orang lain ataupun mencari alasan apabila sebarang masalah berlaku. Segeralah ‘move on’ supaya anda dapat terus beralih ke tugasan yang lebih besar.

3. Jangan simpan perasaan dendam terhadap mana-mana rakan sepejabat. Elakkan daripada melayan perasaan marah. Walaupun kedengaran sulit, anda pasti berjaya dengan latihan.

4. Jangan sesekali mencemburui rakan sepejabat. Percayalah bahawa rezeki atau kejayaan yang diperolehnya juga akan dirasai oleh anda suatu hari nanti.

5. Jangan mengimpikan seandainya anda memperoleh pekerjaan yang lebih baik. Elakkan daripada memikirkan pangkat yang lebih tinggi ataupun gaji yang lebih besar. Sebaliknya, fikirkanlah tentang kebaikan yang dapat anda sumbangkan menerusi jawatan anda.

6. Bayangkan diri anda 10 tahun lalu dan 10 tahun akan datang. Dengan cara ini, anda akan menyedari bahawa kebanyakan masalah yang lalu telahpun berjaya anda atasi dan masalah yang dihadapi kini pasti akan hilang tidak lama lagi.

7. Percayalah bahawa kebahagiaan tidak mempunyai syarat. Sekiranya anda memegang jawatan yang tinggi sekalipun, belum tentu anda akan bahagia. Kebahagiaan datang daripada kesyukuran.

8. Berikan fokus pada proses kerja dan bukannya hasil kerja. Sekiranya anda terlalu mengejar hasil kerja yang berprestasi tinggi, kekecewaan akan menanti anda di kemudian hari.

9. Jangan mementingkan diri sendiri atau memandang remeh terhadap rakan sepejabat. Sekiranya rakan sepejabat anda belum dinaikkan pangkat seperti anda, dia mungkin akan memperoleh pangkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.

10. Elakkan daripada multitasking. Ia dapat menurunkan prestasi kerja anda kerana tidak dapat memberi sepenuh perhatian terhadap setiap tugasan. Matikan gajet elektronik yang mungkin dapat mengalihkan perhatian anda sepanjang bekerja.

Itu sahaja tips untuk kekal positif dan bahagia di pejabat menurut Srikumar Rao. Semoga kita semua dapat terus memberikan yang terbaik dalam pekerjaan tanpa berasa tertekan lagi.

Published by
Qistina