Proses menjadi seorang peguam tidaklah semudah yang disangkakan. Perjalanannya yang berliku itu sering membuatkan seseorang itu rasa mahu mengalah dan berundur daripada mencapai impian yang dihajati.
Berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada Oktober 2019, Nursyahirah Mohammad Jubri,25, bersyukur akhirnya berjaya menamatkan latihan dalam kamar (chambering) iaitu latihan wajib selama sembilan bulan di firma guaman sebelum didaftarkan sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya biarpun diuji dengan pelbagai dugaan pada awalnya.
Di firma guaman pertama, saya banyak didedahkan dengan undang-undang berkaitan conveyancing.
Namun setelah lima bulan menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma guaman, saya terpaksa menarik balik petisyen penerimaan masuk sebagai Peguambela & Peguamcara kerana perlu mengambil cuti yang panjang untuk pembedahan appendiks dan menjalani proses pemulihan setelah pembedahan.
Hal tersebut tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha mencapai cita-cita untuk bergelar seorang peguam. Saya sekali lagi menjalankan latihan dalam kamar di firma guaman yang kedua.
Sepanjang tempoh latihan dalam kamar, saya telah mempelajari selok-belok perundangan Malaysia dengan lebih mendalam terutama dalam bidang korporat dan litigasi sivil.
Saya turut menyertai Program ‘Dock Brief and Legal Aid Training’ dan menimba banyak pengalaman berharga selain didedahkan dengan pelbagai skop undang-undang termasuk undang-undang berkaitan jenayah, famili dan lain -lain.
Saya diberi peluang untuk mewakili orang kena tuduh (OKT) dalam prosedur mitigasi selain diberi peluang untuk menemubual klien sendiri.
Saya kemudian mengikut Pengajar (Master) berpindah ke firma guaman lain (firma guama ketiga) dan menamatkan tempoh latihan dalam kamar disitu. Perjalanan yang sangat panjang dan berliku namun saya percaya ada hikmah disebalik kejadian dan bersyukur atas segala ilmu dan pengalaman yang ditimba.
Cabaran pada waktu itu ialah saya terpaksa menarik balik petisyen setelah 5 bulan menjalani latihan dalam kamar dan berbaki 4 bulan lagi untuk tamat. Kemudian, saya terpaksa memulakan latihan dalam kamar selama 9 bulan sekali lagi dari awal di firma guaman kedua.
Selain itu, agak mencabar juga apabila perlu menjalani latihan dalam kamar sewaktu pandemik dimana pejabat perlu ditutup untuk jangka masa yang agak panjang dan memberi kesan kepada elaun yang diterima serta lain-lain kesukaran.
Bukan itu sahaja, saya juga sering ditertawakan oleh kawan-kawan kerana terpaksa menarik balik petisyen setelah 5 bulan dan terpaksa mula dari awal sekali lagi dan pindah pula buat kali yang ketiga ke firma guaman lain. Memang sukar namun alhamdulillah saya berjaya lalui semua itu!
Rezeki ada di mana mana jangan pernah berhenti berusaha dan berharap. Bila rasa penat, belajar untuk berehat, bukan berhenti sebab setiap usaha kita, tanpa kita sedar kita sebenarnya satu langkah kehadapan dalam mencapai impian atau cita-cita kita.