Inspirasi

“Jaga Niat Untuk Setiap Yang Kita Paparkan Di Media Sosial” Pesan USTAZAH NORHAFIZAH MUSA

Share

Dalam hidup ini segalanya perlu bersederhana dan berpada-pada. Tak semua hal peribadi kita perlu ‘dicanang’ terutama di media sosial semata-mata nak semua orang tahu.

Sedarlah, tak semua orang gembira melihat kebahagiaan dan kejayaan kita dan tak semua orang akan merasa sedih dengan kedukaan kita.

Pendakwah terkenal tanahair, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa memuat naik satu hantaran di Instagram peribadinya di mana beliau berpesan kepada semua termasuklah dirinya sendiri agar menjaga niat untuk setiap posting di media sosial.

“Perhalusi niat kita untuk setiap yang kita paparkan di media sosial. Kita boleh namakan dengan pelbagai perkataan “saja nak share”, “nak bagi inspirasi” dan sebagainya, namun niat kita adalah titik yg paling dekat dengan diri kita.

“Kejayaan dan keberhasilan boleh dikongsikan dengan cara yang lebih profesional dan beradab. Menjaga hati kita dan hati orang lain juga agar selamat. Bukan sebarangan.

“Kedukaan dan kesusahan kita juga bukanlah sesuatu yang wajar untuk dipaparkan tanpa mengambil kira banyak perkara.

‘”Percayalah, sesuatu yang sudah menjadi hak ‘orang ramai’ (kerana kita membuka dan menyerahkan peluang itu) sudah tidak menjadi ‘hak peribadi’ kita lagi.

“Hormatilah keluarga yang kita ada, anak-anak, ibu ayah dan lingkungan kita. JANGAN suka bercerita apa bentuk pun kisah peribadi di media sosial.

“Urusan kita lebih besar daripada semua ini wahai anak-anakku, wahai diriku. Hasbunallah.”

Ustazah Norhafizah turut berkongsi doa mudah mudahan aib kita terjaga.

“Andai ada apa jua tanggapan yang tidak baik sesiapa jua kepada kita, ustazah ajar diri untuk menjawab: –

فصبر جميل والله المستعان على ما تصفون

Maka sabar itu lebih baik. Dan Allah lah Yang Maha Menolong atas apa yang mereka dakwakan.

Ia tidak memancing kita untuk membuka kisah peribadi apatah lagi membuka aib orang lain.”

اللهم استر عوراتي وآمن روعاتي
Ya Allah tutuplah keaibanku dan amankan ku dari apa yang ku takuti.

Semoga kita semua sentiasa di dalam rahmatNya dan diteguhkan iman.

Kredit Foto: Instagram Ustazah Norhafizah Musa

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini

Published by
Amy Mohd