Allah menjanjikan kelebihan dan pahala yang amat besar kepada orang-orang yang membaca Al-Quran. Tentunya pahala lebih besar jika anda menjadikan Al-Quran sebagai bacaan utama di dalam kehidupan seharian.
Di dalam Al-Quran, terkandung surah Al-Mulk iaitu surah ke-67 di dalam Al-Quran dan mempunyai 30 ayat. Al-Mulk bererti kuasa pemerintahan. Secara umumnya, surah ini mengisahkan tentang kekuasaan Allah terhadap makhluk ciptaanNya.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sebahagian daripada Al-Quran ada satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah “al-Mulk”.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi katanya bahawa hadis hasan)
Sumber: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia
Surah Al-Mulk ternyata punya manfaat dan kelebihan bagi individu yang mengamalkannya. Antaranya ialah:
Rasullullah bersabda yang bermaksud:
“Surah Al-Mulk itu memelihara dan melindungi pembacanya daripada azab kubur.”
Rasullullah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, diselamatkannya daripada azab kubur.”
Rasullullah bersabda yang bermaksud:
“Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al-Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.”
Sayyidina Ali berkata:
“Barangsiapa mengamalkan surah Al-Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.“
Ulama berkata:
“Sesungguhnya surah yasin dan surah Al-Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.”
Allahuakbar, begitu banyak manfaat yang diperoleh sekiranya kita mengamalkannya. Jadi mulai hari ini, jom kita rebut pahala dengan membacanya sebelum tidur.