Isu Dera Kera Hanya Salah Faham, Bapa Mohon Netizen Berhenti Kecam Anak Gadisnya

Share

Baru-baru ini telah tular video di laman sosial mengenai seorang gadis yang dikatakan mendera seekor kera yang dibelanya. Gadis tersebut mendapat pelbagai kecaman daripada netizen apabila video itu tersebar sehingga memberikan tekanan buat dirinya.

Tampil bagi menjernihkan keadaan, bapa kepada Nur Hazwany Saffa iaitu Shagul Harmany, 47, mengatakan anaknya bukan mencari publisiti murahan dan meminta orang ramai berhenti mengecam anaknya itu.

Dia ternyata kecewa dengan reaksi netizen terhadap kejadian yang berlaku dan menganggap mereka telah menyalah tafsirkan perlakuan anaknya itu.

Jelasnya, anaknya bukan mendera kera yang dibelanya itu yang dikenali sebagai Acha berry kerana dia hanya bergurau sambil disaksikan 12 mata termasuk neneknya sekali pada ketika itu.

Tambahnya, Acha berry amat nakal sehingga membuatkan rasa geram dan geram yang dilihat dalam video itu bukanlah geram marah tetapi geram sayang.

“Dia suka usik mata saya termasuk (mata) tiga beruk lain. Dia memang suka menyakat,” katanya yang turut memelihara tiga ekor beruk dikenali sebagai Atan, Enot dan Ngat di kediamannya di Kajang, Selangor.

Shagul juga menganggap bahawa dakwaan netizen yang mengatakan perbuatan tersebut sebagai mendera haiwan adalah tidak berasas kerana mereka sekeluarga merupakan pencinta haiwan.

“Kami semua sayang Acha berry termasuk Atan, Enot dan Ngat. Dalam banyak-banyak, Acha berry paling disayangi kerana dia dipelihara sejak dari lahir lagi.

“Cara dia diambil sebagai haiwan peliharaan amat unik kerana dia berjaya diselamatkan daripada dibunuh di sebuah ladang di Raub, Pahang. Ketika itu saiznya lebih kecil daripada smart tag,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu mengatakan dia membelanjakan sekitar RM500 untuk membeli pampers dan makanan empat haiwan peliharaannya itu.

“Acha berry, Atan, Enot dan Ngat semua pakai pampers kalau mereka dalam rumah. Saya takut mereka kencing merata-rata.

Kos bagi pampers dan tisu basah sekitar RM100 sebulan dan setiap minggu juga RM 100 dilaburkan untuk buah-buahan segar dan itu belum termasuk makanan segera McD dan pizza kerana kera-kera peliharaannya gemar akan makanan barat.

Mengenai reaksi anak sulungnya itu selepas menerima cemuhan daripada netizen, Shagul mendedahkan anaknya itu mengalami tekanan dan menangis sehinggakan majikan anaknya mengarahkan untuk mengambil cuti akibat kecaman netizen.

Antara kecaman daripada netizen di laman Twitter.

Walaupun Shagul berasa sakit hati apabila membaca komen yang dilemparkan terhadap anaknya, namun dia tidak mahu melayan perkara tersebut kerana jika dilayan ia akan makin menjadi-jadi.

Sementara itu, gadis berusia 21 tahun itu yang bekerja sebagai perunding kecantikan berkata video tersebut dikongsi salah seorang rakannya di InstaStory dengan niat untuk bergurau.

Dia juga berharap agar netizen tidak menghukum dirinya tanpa mengetahui perkara sebenar. Jelasnya, kawannya itu ‘tersalah gurau’ dengan memuat naik video di ‘instastory’ miliknya, dan pengikutnya terus tersalah anggapa selepas menonton video tersebut. Kawannya juga telah memohon maaf pada dirinya kerana tiada niat untuk menularkan video itu.

“Dalam video tu geram bukan marah. Kalau nak tau beza dera dengan gurau anda boleh lihat sendiri. Adakah kera itu menjerit dan meronta? Saya cuma cekak pakai dua jari sahaja, ibu jari dengan jari telunjuk dan automatik kera itu ternganga.

“Acha berry memang kuat berlakon. Dia sangat manja. Jadi saya alu-alukan anda datang ke rumah jika nak tengok cara dia bergurau. Bukan itu sahaja, macam-macam cara dia boleh tunjuk,” katanya yang juga merupakan seorang model sambilan.

SUMBER: MSTAR

Published by
Qistina