Walaupun telah berkahwin, Islam tidak pernah memutuskan hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak malah anak-anak masih boleh menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap ibubapanya.
Seperti yang semua sudah sedia maklum, syurga seorang perempuan yang belum berkahwin terletak di bawah tapak kaki ibunya, tetapi bagi seorang wanita yang sudah bergelar isteri, syurganya terletak di bawah kaki suami.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (an-Nisaa’: 34).
Dalam ayat tersebut Allah SWT telah menghimpunkan beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah SWT dan kepada suaminya dalam perkara yang baik, lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Akan tetapi, seorang wanita walaupun telah berkahwin masih tetap perlu mengingati dan menghargai jasa kedua ibu bapanya
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14).
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15).
Ini antara kewajipan anak perempuan terhadap Ibu Bapa walaupun sudah berumahtangga:
1. Berbakti selagi ada
Selagi ibu bapa masih ada, teruskan berbakti kepada mereka dengan mengambil peluang untuk membalas budi yang telah dicurahkan selama ini. Kebanyakan ibu bapa tidak memandang harta yang dimiliki oleh anak-anak mereka.
Cukup sekadar mencurahkan kasih sayang dan perhatian terhadap mereka kerana pada usia ini, mereka lebih memerlukan sentuhan kasih sayang dari seorang anak.
Namun begitu, sering kali kita berhadapan dengan anak-anak yang sudah berkahwin, sama ada kita sebagai suami atau isteri yang menghadapi dilema untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua atau sakit tidak bermaya.
Ingatlah bagi seorang lelaki yang telah berkahwin, tanggungjawabnya yang pertama, mengasihi Allah, kedua Rasulullah, ketiga ibu bapanya dan selepas itu baharulah isterinya. Bagi seorang wanita yang bergelar isteri pula, tanggungjawabnya pertama mengasihi Allah, kedua Rasulullah, ketiga suami dan selepas itu barulah ibu bapanya.
2. Cari bekalan pahala
Walau bagaimanapun, sebagai suami, jadilah suami yang beriman, baik dan bertanggungjawab dan suka memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita. Bantulah isteri untuk menjaga dan mengambil tanggungjawab terhadap ibu bapanya. Untuk mencari bekalan pahala yang banyak di akhirat nanti, jagalah ibu bapa, terutama ibu bapa yang sakit, kerana di situlah letaknya ladang pahala.
3. Tak jaga tak dapat rahmat
Orang yang mempunyai ibu bapa yang tua tetapi tidak menjaga ibu bapanya, tidak akan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Alangkah ruginya kalau kita termasuk dalam golongan itu.
Oleh sebab itu jadikan, menjaga ibu bapa sebagai satu aktiviti merapatkan hubungan keluarga. Isteri akan lebih menghargai suami yang boleh menerima ibu bapanya.
Janganlah membuatkan isteri berada dalam dilema; antara menjaga kebajikan suami dengan menjaga kebajikan ibu bapanya, terutama bagi ibu bapa yang sudah tua dan sakit pula. Ingatlah apa-apa yang kita sebagai ibu bapa lakukan, akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak kita.
Kunci utama ke syurga itu ialah mendapat reda Ilahi dan untuk mendapat reda Ilahi, ia bergantung kepada reda ibu bapa.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI