Walaupun kes Influenza A masih terkawal namun itu bukan bermakna kita menganggapnya soal remeh. Janganlah kita sesekali leka sebaliknya terus mengamalkan norma baharu seperti yang dilakukan ketika pandemik Covid-19.
Pakailah pelitup muka, cecair pembasmi kuman, mencuci tangan dan elak berada di tempat sesak adalah amalan yang dapat menghindari daripada jangkitan virus influenza. Kita perlu ada sikap berjaga-jaga kerana ‘ledakan’ penyakit ini tidak boleh dijangka.
Ini fakta tentang Influenza A seperti yang dikongsikan oleh Dr. Erna Nadia
APAKAH INFLUENZA A
Ianya adalah sejenis penyakit yang sangat mudah berjangkit dari satu individu ke individu yang lain melalui cecair di udara ( melalui batuk, selsema) yang disebabkan oleh sejenis kuman virus yang bernama influenza.
Influenza ini ada 4 jenis: A,B,C,D. Dan yang paling serius jangkitannya adalah jenis A. Ianya bukan sahaja boleh menjangkiti manusia, tetapi juga boleh menjangkiti haiwan seperti burung dan khinzir. Tempoh jangkitan adalah 7-21 hari. Jadi, bertabahlah jika dijangkiti.
TANDA-TANDA DAN RAWATAN INFLUENZA A
Jika suhu badan melebihi 38 darjah selsius, tolong ke klinik atau hospital untuk dapatkan pemeriksaan dan rawatan yang betul. Ianya penting sama ada untuk tengok anda dijangkiti kuman virus atau bakteria.
Dengan cuaca sekarang yang agak sejuk dan lembab, banyak kuman bersuka ria di udara persekitaran kita. Influenza pun bermaharajalela, denggi pun berkenduri sama dan radang paru-paru pun nak turut serta. Jangan biarkan dah melarat baru hendak berjumpa doktor.
Adakah supplemen yang boleh merawat influenza? Tidak ada. Hal ini kerana rawatannya adalah berdasarkan simptom sahaja. Kalau hendak makan vitamin C, silakan tapi dapatkan di farmasi berdaftar sahaja bukan dibeli online.
Elok lagi ambil natural produk yang mengandungi tinggi vitamin c seperti buah oren, kiwi, dan buah naga. Akhir sekali ingat satu sahaja, sakit itu penghapus dosa.
Nota kaki: Jaga diri dan kesihatan. Nak tahu tentang kesihatan, tanya ahli kesihatan yang beretika bukan yang jual produk buatan sendiri.
Jika anak anak tidak sihat atau anda sendiri tidak sihat, tolong jangan keluar jalan merata-rata. Jangan sebarkan virus dan hentikan penyakit.
Sumber kredit: Dr. Erna Nadia Top image: Photo by sorapong-chaipanya from Pexels
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.