Kecil-kecil cili padi! Itulah ungkapan yang sesuai buat adik Saidatul Zakirah,11. Minat sukan permotoran sejak dari kecil lagi telah mendorongnya untuk menceburi seterusnya aktif dalam sukan tersebut.
Menurut gadis kecil molek yang menetap di Qatar ini, dia sememangnya menggemari aktiviti sukan lasak. Sebaik sahaja Qatar Motor Sports Academy ditubuhkan pada tahun lepas, ibu bapanya terus mendaftarkannya di bawah akademi tersebut.
Sebelum ini, dia yang mesra disapa Zakirah ini telah menyertai QMMF Children Academy kerana minatnya yang mendalam sejak usia 5 tahun lagi. Ujarnya, seluruh ahli keluarganya juga berkongsi minat yang sama terhadap sukan lasak dan permotoran.
Bukan itu sahaja, rupa-rupanya Zakirah juga merupakan pemainn bola sepak mewakili sekolahnya. Selain itu, gadis kelahiran Brunei ini turut meminati bidang lakonan dan juga peragaan. Dia juga pernah ke Amerika Syarikat pada Disember tahun lalu bagi menyertai ujibakat di sana. Wah, memang serba boleh ya adik Zakirah ini!
Ujar Zakirah, menjadi rider Malaysia yang berjaya merupakan impiannya suatu hari nanti.
“Zakirah mahu jadi seperti Khairul Idham Pawi dan Hafizh Syahrin yang mewakili Malaysia di MotoGP. Di samping itu, Zakirah juga mahu menadi seorang pemain violin yang professional.
Bagi mencapai cita-cita tersebut, Zakirah kena belajar bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam pelajaran. Jika tidak, Zakirah pasti tidak dibenarkan mengikuti latihan permotoran lagi,” jelasnya.
Teruja Hijabista mendengar kisah adik Zakirah ini. Menarik sekali apabila melihat kaum Hawa menyertai sukan sebegini dan tidak menjadikan hijab sebagai halangan untuk dia terus mara dalam bidang yang diceburinya. Buat adik Zakirah, moga terus maju ke hadapan dan dapat harumkan nama Malaysia suatu hari nanti. You go girl!
kredit: instagram @s_z_kirah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI