Pemimpin muda berjiwa rakyat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat sering menyantuni ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan dianggap antara anak yang paling rapat.
Terserlah ciri-ciri ‘anak ibu’ dalam diri Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) yang juga Ahli Parlimen Muar ini.
Tidak hairanlah pemimpin berusia 29 tahun ini seorang yang berjiwa rakyat kerana acuan didikan ibu bapanya yang sangat baik.
Mendengar suara anak muda, serta golongan terpinggir dan tidak berkemampuan menjadi perjuangan utama bekas Menteri Belia dan Sukan ini.
Saddiq sentiasa mengutamakan ibu bapa dalam segala hal kerana mereka inilah yang telah banyak berkorban dalam perjuangan politiknya.
“Kami bukanlah datang dari keluarga yang berkemampuan atau dikenali ramai. Ibu saya seorang pesara guru, ayah pula buat banyak kerja.
“Ibu tetap menjadi sumber kekuatan keluarga kami. Saya masih ingat semasa negara dilanda kegawatan ekonomi, ayah tiada kerja. Tetapi ibu tidak pernah mengeluh.
“Ibu berusaha mencari jalan untuk memulihkan semula keluarga ke posisi yang lebih baik. Ibu seorang yang tidak mudah mengalah, tidak mudah untuk kibarkan bendera putih walau apa pun rintangan.”
PENGORBANAN IBU
“Kalau nak diceritakan satu persatu pengorbanan ibu memang agak panjang tetapi saya tidak akan lupa apabila saya melalui pelbagai cabaran, ibu sentiasa berada di sisi.
“Beliaulah superwoman. Kalau cakap budaya berkhidmat itu memang sudah tersemat di hatinya kerana beliau dah mengajar lebih 30 tahun sampailah saat bersara.
“Kalau ada anak-anak muridnya yang datang dari keluarga susah, ibu akan usahakan untuk ajar tuisyen secara percuma kepada mereka pada setiap minggu. Kesimpulannya, ibu akan sentiasa mencari jalan untuk berkhidmat.”
Hijabista kagum dengan semangat kental ibu kepada empat anak ini kerana tabah mengharungi ujian sebagai seorang pejuang kanser payudara.
Semoga terus kuat mendepani hari-hari mendatang. Kecekalannya berjuang menentang kanser payudara pastinya memberi inspirasi kepada seluruh wanita.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI