Ella satu nama yang tidak asing lagi hingga mendapat jolokan Ratu Rock. Mula berhijab sejak Ramadan 2016, penampilan berhijab tidak sedikit pun menghalang Ella untuk beraksi lincah seperti biasa dan mengekalkan identitinya sebagai ratu rock negara.
Sejak berhijab, Ella dilihat sering menampilkan fesyen yang mengikut syariat. Atas alasan itu, jenama pakaian Muslimah nombor satu tanpa gosok, Sabella, tidak teragak -agak memilih Ratu Rock Negara, Ella sebagai duta pertamanya selama setahun kontrak.
Malah tanpa diduga kerjasama ini memberikan simbolik tersendiri kerana nama Sabella sendiri mempunyai bunyi nama Ella. Semuanya bagaikan sudah tertulis kerana sejak tahun 2016 jenama Sabella mula mengorak langkah hingga dikenali.
Pasangan suami isteri, Mohd Sufian Sulaiman (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Siti Fatimah Abd Samat (turut dikenali sebagai Siti Sabella dan juga sebagai pengasas) memilih untuk bermula dari bawah tanpa menggunakan pengaruh popular termasuk di kalangan artis. Nama Sabella sebenarnya diambil dan diilhamkan daripada nama anak kedua Sufian dan Siti Fatimah, Faiqa Salsabila.
DAKWAH KECIL
Ella atau nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 53, sendiri yang ditemui pada sidang media Sabella x Ella di The Love @ Matic, KL sendiri cukup optimis dengan kerjasama terjalin.
“Saya sendiri menyokong apa yang diusulkan Sabella yang bertujuan membantu masyarakat menceburi perniagaan sekali gus memberi variasi dalam pakaian muslimah dengan harga berpatutan dan mampu milik.
“Proses berjalan dengan mudah kerana mengambil masa yang singkat. Ia bagaikan dirahmati dan dipermudahkan. Jika selama ini mereka tular dengan baju tanpa gosok ingat Sabella, lepas ini ingat Sabella… jangan lupa mimpi Ella sekali okey,” seloroh isteri kepada Azhar Ghazali yang dinikahinya sejak Julai 2012.
Diusik dengan persoalan apakah beliau menerima bayaran lumayan untuk tugas sebagai duta jenama itu, Ella hanya tersenyum manja.
“Macam saya katakan tadi, matlamat dan visi Sabella cukup jelas dan itu sendiri sudah menjadi tarikan magnet untuk berlaku kerjasama ini. Melihat anak muda yang ingin membantu masyarakat dan berdakwah dengan penghasilan baju Muslimah, ia sememangnya harus dicontohi oleh semua usahawan lain. Apatah saya sendiri juga menceburi dunia perniagaan.
”Banyak perkara sebenarnya yang buat saya sendiri jatuh hati dengan Sabella. Namanya pun sudah dekat dengan nama Ella. Rekaan yang dikeluarkan juga sangat cantik dan kemas, selain mampu dibeli buat semua golongan termasuk pelajar universiti. Pendek kata sesuai untuk semua peringkat usia.
“Bab bayaran itu, saya rasa tak perlu untuk dikongsi umum. Cuma jumlah yang dipersetujui membuatkan kedua dua belah pihak gembira,” katanya.
ELLA KEKAL RELEVAN WALAU SUDAH TIGA DEKAD
Sementara itu, Mohd Sufian Sulaiman pula melihat pemilihan Ella seiring dengan penyanyi itu yang masih relevan hingga kini biarpun sudah lebih tiga dekad mewarnai pentas seni.
“Jenama Sabella juga mahu menjadi pilihan yang relevan sampai bila bila seperti Ella. Kelompok peminat Ella sendiri bukan hanya daripada golongan dewasa, malah generasi muda turut mengaguminya.
“Begitu juga impian kami supaya dapat terus diterima dalam tempoh yang panjang. Kontrak Ella bermula Februari lalu untuk tempoh setahun. Insya-Allah kerjasama ini akan diteruskan dari tahun ke tahun.
“Kami mensasarkan dengan memilih Ella sebagai duta dapat terus membakar semangat serta membantu rakyat Malaysia khususnya wanita untuk memakai pakaian Muslimah yang berkualiti dan berpatutan,” kata Mohd Sufian.