Memiliki rambut lurus sememangnya banyak kelebihan antaranya ianya mudah untuk diuruskan. Selain itu ia tidak mengambil masa yang lama untuk anda berdandan berbanding rambut kerinting.

Wanita yang berambut kerinting biasanya memilih untuk melakukan teknik ‘rebonding’ atau meluruskan semula rambut kerana menganggap gaya seperti itu mudah diuruskan. Walau bagaimanapun dalam pada sibuk untuk meluruskan rambut, jangan pula sampai terlepas pandang soal hukum agama.

Hukum ‘Rebonding’ Rambut; Ini Penerangan Padu Ustazah Asma’ Harun
Photo by -jean-alves from Pexels.

Berikut huraian lengkap daripada Ustazah Asma’ Harun tentang perbuatan meluruskan rambut.

SOALAN:
“Assalamualaikum ustazah, izinkan saya bertanya tentang hukum meluruskan rambut atau lebih dikenali sebagai rebonding. Adakah Islam melarang untuk kita melakukannya? Kerana saya sangat suka sekiranya rambut saya sentiasa kelihatan lurus dan cantik.”

JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt. SubhanAllah, bagus soalan puan. Sememangnya Allah menjadikan fitrah wanita menyukai kecantikan. Lebih-lebih lagi tatkala melihat diri di cermin.

Bahkan kadang-kadang apabila melihat iklan di televisyen, majalah mahupun media sosial, kita mula terdetik di hati, “Teringin nak buat rebonding” atau “Cantiknya rambut dia, lurus je. Nak buat rebonding jugaklah”.

Dalam masa yang sama, hati kita tertanya-tanya juga, “Adakah ia dibolehkan dalam Islam atau tidak?”, “Sekiranya kita melakukannya, adakah ia dikira sebagai mengubah ciptaan Allah SWT?”

Hukum ‘Rebonding’ Rambut; Ini Penerangan Padu Ustazah Asma’ Harun
Photo by cottonbro from Pexels.

Alhamdulillah. Allah SWT masih menjentik hati dan iman kita supaya sentiasa berhati-hati dan beringat dalam melakukan sesuatu agar ia mendapat keredhaan bukan kemurkaan daripada-Nya.

ISLAM AGAMA YANG MENCINTAI KECANTIKAN DAN KEKEMASAN
Islam sangat menyarankan umatnya supaya kelihatan bersih dan kemas. Terdapat sebuah hadis yang menjelaskan bahawa Allah SWT bersih dan menyukai kebersihan.

Justeru, orang yang sentiasa menjaga kebersihan dan kekemasan, insya-Allah akan semula jadi kelihatan cantik.

Hadis Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ، فَنَظِّفُوا، أُرَاهُ قَالَ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan, Dia menyukai kedermawanan. Maka, bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” (HR al-Tirmizi, hadis dhaif)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Ads

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan”. (HR Muslim, hadis sahih)

Hukum ‘Rebonding’ Rambut; Ini Penerangan Padu Ustazah Asma’ Harun
Photo by cottonbro from Pexels.

ASAS KECANTIKAN DALAM ISLAM
Hukum mencantikkan diri adalah harus pada asalnya. Walau bagaimanapun, keharusan ini boleh berubah menjadi haram apabila terdapat dalil pengharamannya sepertimana disebutkan dalam kaedah fiqh:
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءَ الْإِبَاحَة حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil yang menunjukkannya haram.”

REBONDING (MELURUSKAN) RAMBUT: BOLEH ATAU TIDAK?

Terdapat dua pendapat yang dibincangkan oleh ulama berkenaan hal ini.

1. HARUS
Sebahagian ulama berpendapat adalah harus melakukan rebonding mahupun mengerintingkan rambut sekiranya tanpa menggunakan bahan kimia yang boleh mengubah struktur protein rambut secara kekal, iaitu hanya melalui rawatan fizikal seperti menggunakan alat penggulung plastik dan yang sejenisnya.

Hal ini kerana, ia tidak mengubah struktur dan fungsi rambut yang asal, malah masih dalam konteks tidak kekal serta sangat berkait dengan kaedah dan tatacara menguruskan rambut.

Perkara ini dapat dilihat berdasarkan penjelasan daripada Imam Nawawi iaitu:
وَقَالَ النَّوَوِيُّ: يُسْتَثْنَىٰ مِنَ النَّمَاصِ مَا إِذَا نَبَتَ لِلْمَرْأَةِ لِحْيَةٌ أَوْ شَارِبٌ أَوْ عُنْفَقَةٌ فَلَا يُحْرَمُ عَلَيْهَا إِزَالَتُهَا بَلْ يُسْتَحَبُّ. قُلْتُ: وَإِطْلَاقُهُ مُقَيَّدٌ بِإِذْنِ الزَّوْجِ وَعِلْمِهِ وَقَالَ بَعْضُ الْحَنَابِلَةُ: إِنْ كَانَ النَّمْصُ أَشْهَرُ شِعَارًا لِلْفَوَاجِرِ امْتَنَعَ وَ إلَّا فَيَكُونُ تَنزِيهًا ، وَفِي رِوَايَةٍ يَجُوزُ بِإِذْنِ الزَّوْجِ إِلَّا إِنْ وَقَعَ بِهِ تَدْلِيسٌ فَيَحْرُمُ

Ads

Maksudnya: “Berkata Imam Nawawi: meluruskan rambut yang kerinting dalam Islam itu dibolehkan selama mana dengan izin suaminya. Jika sebaliknya, maka pembolehannya itu tertolak. Sementara dalam pandangan sebahagian ulama Hanbali, jika mengubah rambut dengan bertujuan seperti orang Fajir (sejenis fasiq), maka dilarang sama sekali. Dan jika tujuannya kerana izin suami, maka dibenarkan dan dibolehkan.” (Kitab Fathul Bari)

Antara tujuan dibenarkan syarak adalah seperti:
a. Bukan mencantikkan rambut dengan bertujuan untuk melakukan maksiat.
b. Mencantikkan dan menghias diri untuk keselesaan suami bagi wanita yang telah bernikah dengan mendapatkan keizinan suaminya atau atas permintaan suaminya sendiri.
c. Melakukan dengan tujuan untuk mencantikkan dirinya sendiri sahaja bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
Syarat-syarat sekiranya melakukan proses meluruskan rambut:
a. Aurat dijaga dengan rapi dan sempurna daripada pandangan lelaki ajnabi dan wanita bukan Islam sama ada sebelum, semasa dan selepas proses rebonding dilakukan.
b. Rebonding tersebut tidak menyerupai budaya orang kafir dan fasiq.
c. Menggunakan bahan yang suci dan bersih serta tidak menghalang air untuk sampai ke bahagian tersebut ketika bersuci seperti mengambil wudhuk atau mandi wajib.
d. Tidak menggunakan bahan kimia yang boleh mengubah struktur protein rambut secara kekal.
e. Tidak menggunakan peralatan yang boleh mendatangkan kemudharatan dan kerosakan pada rambut dan diri sendiri.

Hukum ‘Rebonding’ Rambut; Ini Penerangan Padu Ustazah Asma’ Harun
Photo by cottonbro from Pexels.

Ini adalah pendapat yang membolehkan meluruskan rambut dengan tidak menjadikan ia sebagai mengubah ciptaan Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

Maksudnya: “Barang siapa yang memiliki rambut, maka hendaklah dia memuliakannya.” (HR Abu Daud, hadis hasan)

2. HARAM
Sebahagian ulama mengharamkan perbuatan rebonding ini kerana diqiyaskan (menyamakan hukum) kepada hukum mengubah ciptaan Allah SWT berikutan terdapatnya bahan kimia yang digunakan bagi meluruskan rambut secara kekal.

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ ، وَالنَّامِصَاتِ وَالمُتَنَّمِصَاتِ ، وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ

Ads

Maksudnya: “Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT”. (HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

Syeikh Hani bin Abdullah al-Jubair menyebutkan dalam kitabnya, ad-Dhawabith asy-Syariyah fi Umliyati at-Tajmiliyah:
وَتَغْيِيرُ خَلْقَ اللّٰهُ هُوَ تَحْوِيلُ الشَّيئِ عَنْ صِفَاتِهِ حَتَّى كَأَنَّهُ شَيْئٌ آخَرَ أَوْ إِزَالَتُهُ عَنْهَا

Maksudnya: “Mengubah ciptaan Allah ialah melakukan perubahan sesuatu dari sifatnya sehingga menghilangkan keadaan asalnya.”

Imam Thabari juga menyatakan bahawa adalah dilarang bagi wanita yang mengubah ciptaan Allah SWT:
قَالَ الطَّبَرِي: لَا يَجُوزُ لِلْمَرْأَةِ تَغْيِيْرُ شَيْءٌ مِنْ خَلْقَتِهَا الَّتِي خَلَقَهَا اللّٰهُ عَلَيْهَا بِزِيَادَةٍ أَوْ نَقْصٍ التِمَاسِ الْحَسَنِ لَا لِلْزَّوجِ وَلَا لِغَيْرِهِ

Maksudnya: “Berkata Imam Thabari bahawa tidak disunatkan bagi wanita untuk mengubah ciptaan Allah SWT dengan cara menambah atau mengurangi anggota badannya, baik untuk alasan (menyenangkan suami) atau alasan lain.” (Kitab Fathul Bari)

Hukum ‘Rebonding’ Rambut; Ini Penerangan Padu Ustazah Asma’ Harun
Photo by karolina-grabowska from Pexels.

RUMUSAN
Berbalik kepada soalan puan, hukum meluruskan rambut atau lebih dikenali sebagai rebonding adalah bergantung kepada niat atau tujuan ia dilakukan.

Pada asalnya, ia adalah harus berdasarkan syarat-syarat yang dibenarkan oleh syarak namun terdapat juga ulama yang berpegang kepada pendapat haram sepertimana yang telah dijelaskan sebelumnya.

Wallahu a’lam. Semoga bermanfaat buat semua.

RUJUKAN
1. Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, “Al-Kafi #1340: Hukum Melakukan Rebonding atau Meluruskan Rambut.”
2. Laman web Majlis Ulama ISMA, “Hukum Melakukan Rebonding.”
3. Laman web Hizbut Tahrir Malaysia, “Rebonding Rambut – Apakah Hukumnya Menurut Syarak?”
4. Laman web Dalamislam.com, “Hukum Meluruskan Rambut Menurut Islam.”
5. Laman web Pecihitam.org, “Hukum Meluruskan Rambut dalam Islam; apakah Dalil dan Contohnya Pada Masa Nabi?”

Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by pixabay from Pexels.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

https://youtu.be/oNhFqV_vqVs

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI