Gemar Makan Hidangan Mewah Perancis ‘Escargot’, Larangan Dalam Islam Kerana Hukumnya …

Share

Sebut sahaja aplikasi Tiktok, pasti ramai yang teruja dan memberi pelbagai reaksi terutamanya golongan muda. Sekarang ini, TikTok telah menjadi platform untuk melakukan pelbagai ‘trend’ ataupun ‘content’ tarian, fesyen, hiburan dan juga mukbang. 

Sedang anda ‘scroll’ Tiktok, pasti akan terjumpa dengan beberapa jenis influencer berasal dari luar negara yang gemar untuk makan makanan yang unik dan pelik. Dalam kebingungan melihat video tersebut pasti anda pernah tertanya-tanya adakah ia halal di makan dalam aspek agama Islam kan?

Seperti yang tular baru-baru ini apabila ada seorang ‘pak arab’ yang dilihat makan siput babi atau escargot dan telah menimbulkan tanda tanya ramai. Sehingga ada yang meminta pandangan dan pencerahan daripada Ahli Dewan Negara, yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di laman Twitter.

@emirati_chefحلزون مشوي هالطريقه الفرنسيه🐌🔥😋♬ Calm Down – Rema

 ARTIKEL BERKAITAN: Telur Balut Enak Di Makan? Ketahui Hukum Memakan Makanan Eksotik Ini

Definasi siput babi?

Sumber gambar dari Google

Sebelum membahas lebih lanjut, mari kita fahami dahulu definasi siput babi. Siput babi atau nama saintifiknya Achatina fulica merupakan sejenis siput daratan. Di Malaysia, masyarakat menggelarnya siput babi, dalam Bahasa Perancis ia digelar Escargot dan dalam bahasa arab dikenali sebagai Halazun

Kebiasaannya, masakan ini sering dihidangkan di restoran Perancis sebagai pembuka selera dan biasanya dimasak dalam sos mentega yang kaya dan berbau bawang putih.

Perbezaan siput babi dan siput sedut

Suber gambar dari Google

Menurut Pejabat Mufti Persekutuan, siput babi merupakan sejenis siput daratan. Ia adalah haiwan moluska dari kelas gastropoda (berjalan dengan perut). Berbeza dengan siput akuatik yang menggunakan insang, siput babi yang menggunakan paru paru untuk bernafas (pulmonata). Ia mempunyai cengkerang yang agak besar, padat dan berbentuk piramid dengan spira.

Siput sedut atau nama saintifiknya pula ialah Cerithidea obtuse; salah satu spesies siput air dari kelas gastropoda  yang termasuk dalam famili Potamididae. Siput sedut adalah antara haiwan yang hidup di kawasan hutan bakau (mangrove ecosystem) dan ianya halal untuk dimakan sepertimana yang diriwayatkan dalam surah al-Maidah ayat 96:

هو الطهور ماؤه الحل ميتته

Maksudnya : “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”

Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasaie (59)

Imam al-Nawawi juga telah menyatakan bahawa pendapat yang paling sahih menurut mazhab Syafie bagi mana-mana hidupan air yang tidak menyerupai ikan ialah semuanya halal dimakan tanpa perlu disembelih. Ia adalah sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam Syafie di dalam al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/31-32 dan al-Mu’tamad di al-Fiqh al-Syafie, 2/548)

Hukum makan escargot (siput babi)

Sepertimana yang dinyatakan (di atas), siput terbahagi kepada dua iaitu siput darat dan siput akuatik. Siput akuatik iaitu siput sedut halal untuk dimakan tapi bagaimana pula dengan siput babi atau Escargot ini? Untuk pengetahuan anda, para ulama sendiri mempunyai dua pandangan yang berbeza.  

#1 Pendapat pertama: Haram untuk dimakan

Pendapat yang pertama ialah siput darat HARAM dimakan kerana ia termasuk dalam kategori serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti lalat, semut, cicak dan seumpamanya.

Pengharamannya adalah disebabkan oleh ia dianggap jijik (kotor) dan tabiat semulajadi manusia menjauhinya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh

, 4/2793) Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa:

مَذْهَبُنَا أَنَّهَا حَرَامٌ وَبِهِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد

Maksudnya : “Menurut mazhab kami (Syafie) ia adalah haram (dimakan). Ini juga adalah merupakan pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Daud.” (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16)

Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Tambahan itu, Ibn Hazm al-Zahiri juga ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa TIDAK HALAL untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam kategorinya kerana haiwan-haiwan tersebut tidak boleh disembelih.

Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada (haiwan tersebut) sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram (dimakan) kerana terdapatnya halangan untuk memakannya (tidak boleh disembelih) kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (al-Muhalla, 6/77)

#2 Pendapat kedua: Halal untuk dimakan

Pendapat kedua daripada Imam Malik seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi; menyatakan bahawa semua hasyarat atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti siput daratan adalah halal dimakan. Terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).

Tambahan lagi, Imam Malik pernah ditanya berkenaan sejenis haiwan yang disebut sebagai siput (halazun) yang terdapat di padang pasir dan melekat di pokok-pokok. Adakah ia boleh dimakan? Beliau menjawab dengan berpendapat bahawa hukumnya adalah seperti belalang.

Sekiranya ia masih hidup, kemudian ia dimatikan dengan cara direbus atau dipanggang, maka tidak mengapa memakannya. Sekiranya ia telah mati (yakni mati dengan sendirinya), maka ia tidak boleh dimakan — kerana dianggap menjadi bangkai

Selain itu juga, Abu al-Walid al-Baji turut menyebutkan:

فَحُكْمُ الْحَلَزُونِ حُكْمُ الْجَرَادِ قَالَ مَالِكٌ: ذَكَاتُهُ بِالسَّلْقِ أَوْ يُغْرَزُ بِالشَّوْكِ وَالْإِبَرِ حَتَّى يَمُوتَ مِنْ ذَلِكَ وَيُسَمَّى اللَّهُ تَعَالَى عِنْدَ ذَلِكَ كَمَا يُسَمَّى عِنْدَ قَطْفِ رُءُوسِ الْجَرَادِ

Maksudnya: “Hukum siput adalah sebagaimana hukum belalang. Imam Malik berkata: ‘Sembelihannya adalah dengan cara merebusnya atau mencucuknya dengan duri atau jarum sehingga ia mati disebabkan perkara tersebut, sambil disebutkan nama Allah — yakni basmalah — seperti mana disebutkan juga basmalah ketika mencabut kepala belalang.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan Tiram Mentah-mentah Tanpa Perlu Dimasak? Ketahui Hukumnya

Sebagai kesimpulan, Hijabista cenderung untuk mengikuti pendapat Mazhab Syafie serta majoriti ulama termasuklah padangan daripada Dr. Zulkifli sendiri bahawa escargot ini haram dimakan kerana ia bukan haiwan yang disembelih dan jika ia mati, ia tergolong sebagai bangkai. Sebagaimana jumhur ulama yang menganggap ia sebagai jijik dan kotor, kita haruslah menjauhi perkara-perkara tersebut. Wallahua’alam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah 

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira