Hukum Jual Beli Kucing Dalam Islam, Pencinta Kucing Harus Ambil Tahu

Share

Islam mewajibkan berbuat ihsan kepada kesemua makhluk meliputi manusia, tumbuhan, dan juga haiwan. Berbuat ihsan kepada haiwan seperti kucing adalah wajib hukumnya dalam erti kata tidak menyakiti dan menzalimi haiwan tersebut.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu. Riwayat Muslim (1955)

Photo by Tomas Ryant from Pexels

HUKUM JUAL BELI KUCING

SOALAN:

Saya ada satu soalan iaitu apakah hukumnya jual beli kucing untuk dipelihara di dalam rumah?

JAWAPAN:

Hukum jual beli haiwan yang tidak boleh dimakan seperti kucing ada perincian padanya.
Jika kucing itu kucing liar yang tidak boleh diambil manfaat dengannya maka pendapat yang kuat ialah dilarang jual belinya kerana dilarang memeliharanya.

Dan jika kucing itu boleh diambil manfaat seperti kucing jinak yang biasa dipelihara di dalam rumah orang Islam maka hukum jual belinya ada dua pendapat.

Jumhur ulamak mengharuskan jual belinya dari kerana harus memeliharanya manakala pendapat sebahagian ulamak melarang jual belinya.

Berkata Imam Ibnu Quddamah:

وأما الهر فقال الخرقي يجوز بيعها وبه قال ابن عباس والحسن وابن سيرين والحكم وحماد والثوري ومالك والشافعي وإسحاق وأصحاب الرأي . وعن أحمد أنه كره ثمنها . وروي ذلك عن أبي هريرة وطاوس ومجاهد وجابر بن زي

Ertinya: “Dan adapun kucing itu maka telah berkata oleh Imam Al-Kharqi harus jual belinya dan dengannyalah berkata oleh Ibnu Abbas r.a. dan Al-Hasan dan Ibnu Sirrin dan Al-Hakam dan At-Tsauri dan Malik dan Syafie dan Ishaq dan Ashab Ar-Ra’yi. Dan daripada Imam Ahmad sungguhnya beliau memakruhkan harganya. Dan diriwayatkan akan yang demikian itu dari Abu Hurairah r.a. dan Thawus dan Mujahid dan Jabir bin Zaid.” (Kitab Al-Mughni)

Dan dalil yang menjadi sandaran mereka yang melarang jual belinya ialah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Az-Zubair katanya:

سَأَلْتُ جَابِرًا، عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ؟ قَالَ: «زَجَرَ النَّبِيُّ ﷺ عَنْ ذَلِكَ

Ertinya: “Aku telah bertanya akan Jabir r.a. dari harga anjing dan kucing. Jawab beliau : Telah melarang oleh Nabi saw daripada yang demikian itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Imam Nawawi :

بيع الهرة الأهلية جائز بلا خلاف عندنا إلا ما حكاه البغوي في كتابه في شرح مختصر المزني عن ابن القاص لا يجوز وهذا شاذ باطل مردود والمشهور جوازه وبه قال جماهير العلماء نقله القاضي عياض عن الجمهور وقال ابن المنذر أجمعت الأمة على أن اتخاذه جائز

Ertinya: “Bermula jual beli kucing peliharaan dalam rumah itu harus tanpa khilaf di sisi kami melainkan apa yang telah diriwayatkan oleh Al-Baghawi pada kitabnya pada mensyarahkan Mukhtasar Al-Muzani daripada Ibnu Al-Qas tiada harus itu ialah syaz dan batal dan ditolak. Dan yang masyhur ialah harusnya. Dan denganyalah telah berkata oleh majoriti ulamak yang telah memindahkannya oleh Al-Qadhi ‘Iyadh daripada jumhur. Dan berkata Ibnu Al-Munzir telah ijmak sekelian umat atas harus memeliharanya.” (Kitab Al-Majmu’)

KESIMPULAN
Harus memelihara kucing dengan ijmak ulamak. Harus jual beli kucing jinak kerana boleh diambil manfaat dengannya disisi jumhur ulamak manakala sebahagian ulamak memakruhkan jual belinya.

Tersebut pada Majlis Fatwa Negeri Mesir:

فإنه يجوز لك شرعًا بيع قطتك، ويحل لك الانتفاع بثمنها وفقًا لما ذهب إليه جماهير العلماء والفقهاء

Ertinya: “Maka sungguhnya harus bagimu pada syarak jual beli kucingmu dan halal mengambil menafaat dengan harga jual belinya kerana menikut pandangan jumhur ulamak dan fuqahak.” (Darul Ifta Mesir)

Kucing yang tidak dapat diambil manfaat dengannya seperti kucing liar, kucing yang tinggal dihutan dilarang jual belinya dengan larangan makruh atau haram. Wallahua’lam.

Menzalimi kucing boleh membawa seseorang itu ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa

Rasulullah S.A.W bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah. Riwayat Al-Bukhari (2365)

Sumber kredit: Ustaz Azhar Idrus  Laman web Pejabat Mufti Wilayah Top image: Photo by Vadim B from Pexels

Published by
Norhasliza