Hijrah Sebenar Ialah Tinggalkan Dosa, Tanam Azam Ubah Diri Jadi Lebih Baik

Share

Hijrah bukan sahaja dari sudut material, malah menyeluruh meliputi fizikal dan rohani. Orang yang berjaya ialah mereka yang sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan diri untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Photo by thirdman from Pexels.

HIJRAH SEBENAR MENINGGALKAN DOSA

1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW memberikan definisi yang menarik tentang pengertian hijrah. Hijrah bukan sekadar perpindahan secara fizikal semata tetapi perubahan jiwa ke arah yang baik, menjauhkan diri dari perkara yang ditegah oleh Allah.

Sabda Rasulullah SAW:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang. (HR al-Bukhari)

Photo by vjapratama from Pexels.

2. Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah SAW memperincikan lagi maksud ini kepada meninggalkan dosa dan maksiat.

Sabda Rasulullah:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ

“Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.”

(HR Ahmad)

3. Jelas di sini bahawa definisi hijrah bukan sekadar pepindahan berbentuk fizikal tetapi adalah proses peralihan ke arah sesuatu yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, konsep hijrah merangkumi perubahan jiwa ke arah yang lebih baik.

4. Ketika menghuraikan hadis ini, Mulla Ali al-Qari menjelaskan:

لِأَنَّ الْحِكْمَةَ مِنَ الْهِجْرَةِ التَّمَكُّنُ مِنَ الطَّاعَةِ بِلَا مَانِعٍ، وَالتَّبَرُّؤُ عَنْ صُحْبَةِ الْأَشْرَارِ الْمُؤَثِّرَةِ فِي اكْتِسَابِ الْخَطَايَا

“Ini adalah kerana, hikmah hijrah adalah memperkukuh ketaatan dan melepaskan diri manusia daripada sebarang pengaruh jahat yang memberikan kesan kepada jiwa manusia sehingga menyebabkan diri mereka terjerumus ke dalam kancah dosa.” (Mirqah al-Mafatih)

5. Oleh yang demikian, sempena Maal Hijrah tahun ini, mari bersama tanamkan azam untuk melaksanakan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Bukan sekadar laungan dan nyanyian yang mengiringi sambutan peristiwa penting ini malah disertai dengan azam kebaikan. Semoga Allah membimbing kita.

Sumber kredit: Dr. Ahmad Sanusi Azmi Top image: Photo by thirdman from Pexels.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Norhasliza