Hijrah & Pengorbanan Kecil Rico Rinaldi, Tolak Tempahan Busana Yang Tiada ‘Full lining’ & Yang Terdedah

Share

Pereka fesyen terkenal, Rico Rinaldi sentiasa menjadi perhatian ramai. Tampil dengan idea kreatif dan memukau maka tidak hairanlah setiap kali muncul dengan busana baru, rekaannya sentiasa menjadi buruan.

Tahun ini Rico berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah menunaikan haji. Rico membuat pengakuan bahawa dia bakal berhijrah dan melakukan satu pengorbanan kecil dalam kerjayanya. Pereka terkenal yang peramah dan murah dengan senyuman ini mahu mengurangkan penghasilan busana seksi.

Semuanya bermula selepas pencerahan daripada penceramah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang mengulas soalan yang ditujukan oleh Rico. Ia mengenai persoalan adakah dia tergolong dalam ‘Syubhah’ dan dikira bersubahat dalam menghasilkan pakaian-pakaian seksi.

Menerusi video yang dimuatnaik di Instagramnya, Rico ada bertanya bagaimana sumber pendapatan yang bercampur-campur dengan sesuatu yang syubhah.

 

Penjelasan yang diberikan oleh Ustazah Asma’ Harun itu seakan telah menyedarkan Rico untuk berusaha mengubah rekaan busana khususnya pada golongan wanita.

Rico berkata dia tidak dapat mengambil tempahan pakaian yang tidak mempunyai full lining, dipercayai mahu mengelak aurat wanita terus terdedah.

InsyaAllah aku cuba perbaiki. Terima Kasih @ustazahasmaharun atas pencerahan yang terbuku selama ini. Aku perlukan doa dan dorongan semua customer saya. Untuk pengetahuan aku tak dapat nak buat (tempahan) baju yang tidak ada full lining. InsyaAllah slowly2 ya. Tapi tiada diskriminasi untuk mereka yang tidak berhijab, insyaAllah ini hijrah dan pengorbanan kecil saya.

Dalam pada itu, Rico mengakui bahawa apabila dia membuat keputusan sebaik sahaja mendapat penjelasan dari Ustazah Asma’ Harun, hampir 10 orang pelanggan meminta semula ‘deposit booking.’ Ia satu satu tamparan hebat yang pernah Rico alami.

“Bayangkan satu customer kau boleh dapat paling busuk RM3500-RM5000 tu paling basic untuk baju nikah. Tapi semua minta cancel. Time hantar text dekat manager aku tentang ‘hijrah kecil’ aku, hati aku sangat kuat dan yakin. Tapi tak sangka rezeki tu terus ‘hilang’ sekelip mata..

“Tapi tak, aku percaya seperti mana yang ustazah cakap, rezeki yang berkat tu bukan manusia yang bagi, tapi Allah. Rezeki berkat tu luas, dia bukan banyak tapi dia boleh bawa ke syurga.

“Kau bayangkan rezeki tak berkat tu macam mana? Ok kau banyak duit, then kau beli rumah, kereta, bagi asnaf bagi sedekah tapi semua tu tak berkat. Benda yang patut jadi pahala ke alam barzah mungkin boleh jadi sebaliknya. Takut memang takut. Aku cuba istiqomah dan aku amat mengharapkan doa dan sokongan korang.

“Benda ni kita tak tau kan? Bahkan kalau aku dah akad dengan customer tu pun (contoh: saya buat baju seksi awak ni tapi saya taknak tanggung dosa ya) tapi sebenarnya aku jugak yang buat baju tu..

“Takpe slow2 aku belajar dan slow customer akan faham. Korang boleh tengok video pencerahan ustazah ni kat IG aku (tengok kat feed). Semoga kita semua dapat masuk syurga sama2 ok.

Dalam pada itu, perkongsian yang dibuat oleh Rico tentang hijrah yang dilakukannya itu mendapat respon daripada Ustazah Asma’ Harun.

Tuan Puan sahabat yang saya hormati, kami dan Tuan Rico Rinaldi ditaqdirkan Allah SWT satu jemaah dalam menunaikan Ibadah Haji baru ini, rupanya beliau merupakan salah seorang pereka fesyen yang dikenali dan punya kedudukan yang tersendiri.

Allahu Akbar, bukan mudah keputusan dan tindakan yang dilakukan, begitu juga dengan ramai lagi sahabat kita yang sedang menempuh jalan hijrah yang payah. Mari bersama menyokong beliau dan sesiapa sahaja dengan apa cara yang ada, insyaAllah kita akan turut mendapat bahagian pahala dalam perjuangan mereka ini.

Banyak persoalan Tuan Rico bertanya kepada kami suami isteri, saya cuba menjawab dengan berhati-hati berdasarkan syariat Ilahi. Bukan ada kepentingan sendiri untuk dijaga, melainkan amanah diri yang akan ditanya nanti.

Jemaah kami termasuk abang kandung kepada Tuan Rico iaitu Tuan @Reduan Shah Putra dan kakak iparnya Puan @Ernaayanee Nur Julaimi dan adik iparnya Tuan @Safwan Ismail. Mereka ini pengasas kepada Dexandra.

Saya mendoakan buat semua yang sedang menempuh jalan sukar dalam hijrah, terus melangkah demi langkah walau payah, kerana hujungnya pasti Indah. Pasti indah tanpa ragu. Tidak di dunia, insyaAllah di Syurga. Sahabatmu yang sedang berjuang bersamamu..

Cerita Rico lagi, ketika menunaikan haji, dia banyak bertemu dengan ilmuan agama.

Sepanjang buat haji, Allah banyak jumpakan aku dengan orang2 ilmuan agama antaranya dengan @ustaz_johari_abdul_wahab secara dekat (ye la nak pergi kuliah dia selalu x pergi). So banyak peluang untuk aku bertanya macam2 soalan berkaitan dengan kerja aku, hukum dan sebagainya. Dan aku videokan agar semua soalan2 aku terjawab dan boleh juga dishare oleh korang sebagai panduan bersama.

HIJABISTA: Kita doakan moga urusan Rico memulakan ‘hijrahnya’ dipermudahkan. Semoga Allah mengurniakan rezeki yang lebih baik buat Rico. 

Sumber kredit: Facebook Rico Rinaldi, Instagram Rico Rinaldi dan Facebook Ustazah Asma’ Harun

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

Published by
Norhasliza