Sebagai seorang wanita, secara normalnya akan mengalami beberapa keadaan yang melibatkan keluarnya darah dari bahagian faraj. Namun begitu, ada 3 kategori darah yang perlu diketahui kerana terdapat perbezaan dari segi hukumnya.
Apakah perbezaan antara darah Darah Haid, Istihadah, & Nifas. Panduan ini perkongsian dari lamanAku Islam yang merujuk pada (Ahkam ‘Ibadah al-Mar’ah, ‘Umdah al-Qari jilid 3 halaman 217. Al-Haid wa Ahkamuhu, Dr. Kamil Musa Halaman 20. As-Syarkawi ‘ala Syarh at-Tahrir jilid 1 halaman 217. Ahkam al-Haid wal Istihadhah. Abdul Hajjaj halaman 100) menerangkan asas berkaitan darah haid, nifas dan istihadah. Juga akan menerangkan hukum perkara berkaitan:
Haid ialah darah kotor yang keluar dari rahim perempuan yang bukan darah penyakit. Dari segi rupa, darah haid berwarna gelap, kelihatan lebih kental dan berbau hanyir Perempuan yang berada dalam keadaan haid atau nifas diharamkan solat dalam tempoh berkenaan. Mereka juga tidak perlu menggantikan semula solat yang ditinggalkan itu.
Tempoh haid berlaku sekurang-kurangnya sehari semalam iaitu 24 jam. Tempoh paling lama adalah lima belas hari. Kebiasaannya tempoh haid pada kebanyakkan wanita berlaku selama enam atau tujuh hari.
Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda kepada Hamnah binti Jahsin r.ha. yang bermaksud:
Kamu didatangi haid enam atau tujuh hari dalam pengetahuan Allah, kemudian mandilah.
— Hadis riwayat Ahmad
Haid berwarna merah kehitaman, kuning tua atau berwarna coklat. Sekiranya yang keluar itu berwarna putih, maka tidaklah dipanggil haid dan perempuan itu bukannya mengandung.
Nabi Muhammad SAW telah menyifatkan darah haid dengan beberapa sifat tertentu:
Tempoh haid paling sekejap ialah satu hari, dan tempoh yang paling lama ialah 15 hari. Manakala tempoh pada kebiasaan adalah enam atau tujuh hari. Sekurang-kurangnya tempoh suci itu, mesti 15 hari 15 malam – ertinya antara dua haid mestilah 15 hari paling kurang tetapi tidak ada batasan tentang tempoh maksimumnya.
Nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan selepas melahirkan anak (bersalin). Tetapi sekiranya bayi masih belum keluar kesemuanya, maka belum lagi dikatakan darah nifas tetapi darah yang keluar itu dikira darah penyakit. Darah daripada rahim perempuan yang keguguran anak juga dipanggil darah nifas. Tempoh sekurang-kurangnya satu lahzah (iaitu sedetik). Kebiasaannya 40 hari dan tempoh maksimum 60 hari. Maka tidaklah wujud 44 hari sebagaimana kepercayaan orang melayu.
Bagaimana dengan perempuan yang melahirkan anak kembar? Sekiranya seseorang perempuan melahirkan anak kembar, dua atau lebih, tempoh nifasnya dikira bermula daripada kelahiran anak yang terakhir dan bukannya anak yang pertama. Ini bererti, walaupun selang masa kelahiran anak pertama dan terakhir adalah lama, namun masa nifas tetap dihitung sejak kelahiran anak yang terakhir.
Darah yang keluar pada kelahiran yang pertama dianggap darah haid (sekiranya kebiasaan haidnya tepat dengan ciri, dan tempoh biasa berlakunya haid). Jika tidak, ia dianggap sebagai darah istihadah.
Terdapat beberapa perkara yang diharamkan dilakukan ketika seseorang itu dalam tempoh haid atau nifas.
Antaranya adalah:
Orang yang sedang haid atau nifas boleh membaca sedikit ayat al-Quran seperti basmalah dengan niat zikir. Begitu juga beberapa ayat dalam kategori pendinding diri seperti ayat kursi dan surah-surah 3 Qul. Selain itu, tidak haram bagi seorang wanita yang haid melintasi masjid. Ini sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan lainya:
Daripada Aisyah r.ha. bahawa dia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda kepadaku:”Ambilkan untukku sejadah di masjid”. Lalu aku berkata: “Sesungguhnya aku dalam keadaan haid”.
Sabda Rasulullah:”Sesungguhnya haidmu itu bukannya di tangan kamu”
— Hadis riwayat al-Bukhari (245) dan Muslim (316)
An-Nasa’i pula meriwayatkan daripada Maimunah r.ha. bahawa dia berkata:
Salah seorang daripada kami bangun membawa sejadah ke masjid, lalu dia menghamparkannya sedangkan di dalam keadaan haid”
Sekiranya darah yang keluar melebihi daripada kebiasaan, contohnya melebihi maksimum haid seperti 15 hari maka darah yang lebih itu dikira istihadah atau darah penyakit. Orang yang berdarah penyakit wajib menunaikan solat dan amalan-amalan lain sebagaimana orang biasa juga. Istihadah ialah darah yang keluar dari faraj perempuan bukan semasa haid atau nifas.
Ia disifatkan sebagai darah penyakit. Tiap-tiap darah yang keluar dari rahim yang melebihi atau kurang dari haid atau nifas, maka darah itu dikira sebagai istihadah. Perlu diingatkan bahawa perempuan yang darahnya keluar sebagaimana yang tersebut, tidak dikenakan sebarang larangan seperti orang haid dan nifas. Mereka hanya perlu sentiasa memperbaharui wuduk tatkala hendak mengerjakan ibadah solat dan lain-lain yang diwajibkan berwuduk.
Orang yang beristihadah jika hendak mengerjakan solat perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
Semoga kekeliruan antara 3 jenis darah ini terungkai. Oleh itu, jika masih terdapat kekeliruan, ajukanlah soalan kepada yang pakar kesihatan mahupun pakar agama untuk mendapat kepastian.
SUMBER: Aku Islam