Isi Kandungan
ToggleBaru-baru ini dunia digemparkan dengan pemain bola wanita dari Pakistan yang dilihat begitu lincah dipadang bola, sambil menunjukkan aksi menanduk dan menyepak bola dengan begitu mengujakan meskipun dirinya berhijab.
Hijabi muda berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Amina Hanif itu mendedahkan bahawa beliau menceburi percubaan bola sepak pertamanya ketika berusia 14 tahun.
Pernah Rasa Tak Sesuai Jadi Pemain Bola Berhijab, Hilang Keyakinan Diri
Menurut Amina, dilahirkan dalam keluarga British-Pakistan dan membesar serta bermain dengan hijab, dirinya pernah merasa kurang yakin dan tidak selesa menjadi pemain bola sepak berhijab.
Ini kerana, semua tingkah laku dan gerak gerinya sering menjadi perhatian dan menjadi tumpuan ramai. Sehingga dia sering merasa tidak sesuai untuk kekal berada dalam sukan itu.
Artikel berkaitan: Modal Tak Sampai 1K, Ubahsuai Myvi Jadi ‘Campercar’ Pusing Malaysia! Hijabi Ini Cetus Inspirasi
“Saya pernah fikir saya sangat menyerlah ketika memakai tudung, dan itu membuatkan keyakinan saya menurun dan tidak yakin dengan kebolehan permainan saya.
“Namun, apabila diamati saya melihat pemerhatian dan tumpuan yang berlebihan yang diberikan kepada saya itu membuatkan saya ‘istimewa’ dan lebih menyerlah daripada pemain lain dalam kumpulan sendiri mahupun pihak lawan,” katanya.
Hijab Membuatkan Saya ‘Istimewa’ Dan Berbeza!
Sehubungan itu, hari ini, Amina bertudung dengan rasa bangga dan berazam mahu menjadi inspirasi untuk gadis muda sepertinya sebagai pemain bola sepak berhijab di peringkat keempat bola sepak Inggeris.
“Selepas beberapa ketika, sesuatu berlaku dan saya berhenti untuk terlalu memikirkan segala-galanya. Ia berasa sangat baik apabila tiada apa-apa yang menjejaskan kehidupan dengan pemikiran negatif.
“Saya suka menjadi berbeza! Berijab bermakna saya lebih menonjol di atas padang!,” tegasnya.
Tambah Amina lagi, satu-satunya cabaran yang dihadapinya kini ialah bagaimana untuk membetulkan semula tudung selepas beliau menanduk bola atau membetulkan pin tudung yang tercabut sebelum pengadil menamatkan perlawanan.
“Saya telah ditawarkan tajaan daripada tudung Nike, tetapi saya mengharapkan diri saya sendiri menjadi seorang yang ikonik,” kata Amina.
Artikel berkaitan: Hijabi Hafaz Quran Cetus Inspirasi! Raih Tempat Kedua Peperiksaan Acca Dunia!
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nad Zainal Letak Soal ‘Rezeki’ Di Tangan Allah! Tak Pernah Gusar Yakin Jika Berusaha Pasti Berjaya!
Pelakon popular Farah Nadia Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Nad Zainal berkata, dirinya tidak risau jika rezekinya ‘sempit’ setelah memutuskan untuk berhijab dan menutup aurat dahulu.
Jelas Nad lagi, dia mahu mencontohi Norkhiriah Ahmad Shapie sebagai ‘role model’ terdekat. Malah dirinya yakin bahawa dengan penghijrahan ini, dia mampu berjaya dalam karier lakonan dengan melakonkan pelbagai watak termasuk watak antagonis.
Nad Zainal Azam Mahu Contohi Noorkhiriah
Nad Zainal, 34 menjadikan pelakon, Norkhiriah Ahmad Shapie sebagai contoh terbaik untuk selebriti bertudung yang terus berjaya dalam karier lakonan dengan pelbagai watak termasuk antagonis atau jahat.
“Pada awal penghijrahan dahulu, saya sebenarnya memang dah lama berhasrat untuk bertudung, cuma saya tidak tahu bila. Ketika itu, saya perlukan masa, berharap di berikan ruang,” katanya.
Mengulas berkenaan mengapa dia memilih Noorkhiriah sebagai contoh, Nad menyatakan bahawa dia amat mengagumi keperibadian dan perwatakkan yang ditunjukkan oleh aktres itu. Tegasnya lagi keperibadian Norkhiriah wajar dicontohi oleh selebriti wanita bertudung lain.
“Lagipun saya yakin walaupun sudah tampil bertudung, namun masih boleh membawakan apa saja watak dalam lakonan.
“Saya juga melihat kak Noorkhiriah sebagai contoh kerana dia tetap berjaya membawakan watak jahat dengan imej bertudung,” katanya.
Artikel berkaitan: Tampil Manis Berhijab, Nad Zainal Akui Sedang Berusaha, Mohon Doa Semua
Sehubungan itu, bertepatan dengan keputusan ini, Nad memohon agar para peminat mendoakan agar dirinya kekal istiqomah dengan penampilan berhijab. Tambahan pula, masih banyak perkara yng perlu dipelajarinya.
“Saya tidak mahu cakap banyak atau bercerita mengenai penghijrahan. Saya masih lagi belajar. Mohon doakan saja yang terbaik untuk saya,” katanya.
Untuk rekod, Nad dan Ungku Ismai selamat diijabkabulkan dengan mas kahwin sebanyak RM 1,000 pada tanggal 1 Rejab pada 23 Januari 2023. Hasil perkongsian hidup selama setahun lebih itu diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki.
Nad sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin pada 18 Disember 2015 sebelum bercerai pada September 2022.
Hasil perkongsian hidup bersama Muhammad Faliq, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 7 dan Budi Kalsom, 3 tahun.
Sumber Gambar: Instagram Nad Zainal & Noorkhiriah
Artikel berkaitan: Hanya Guna Panadol, Kini Seterika Yang Ada Kesan Hangus Nampak Seperti Baharu!
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tiga Tahun Hidup Sebagai Ibu Tunggal, Farah Lee Tak Pernah Salahkan Takdir
Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah. Sebenarnya, ujian dapat mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Allah SWT. Tidak ada tempat selayaknya diharapkan pertolongan selain kepada Allah SWT.
Selain itu, apabila dihadirkan ujian, antara perkara yang perlu disematkan dalam diri ialah perlunya untuk bersabar. Mungkin ia mudah untuk diungkap, namun sukar untuk dipraktikkan sekiranya tanpa adanya iman.
Rasulullah SAW pernah menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam menghadapi urusan kehidupan dunia.
Baginda bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apabila melalui ujian dalam hidup, selain daripada perlunya bersabar, setiap Muslim juga perlu berikhtiar dan berusaha supaya ujian yang dihadapi itu berlalu dengan lancar.
Berikut perkongsian penuh makna Farah Lee.
Pejam celik dah genap 3 tahun rupanya Farah & Maream hidup berdua. Alhamdulillah. Bukan perjalanan yang mudah tetapi penuh dengan hikmah.
Tak pernah sekali pun Farah menyesal dengan apa yang berlaku. Sebaliknya, Farah bersyukur dengan setiap liku dan bucu. Farah hargai mereka yang hadir dan pergi sepanjang itu.
What had happened has crafted who I am today. My history will always be a part of me. I won’t forget, what more regret. I do glimpse back sometimes, to avoid stepping into the same shit. Because that’s life; we learn and be better.
Jangan sesekali pandang dugaan sebagai ujian, tetapi pandang ia sebagai pengajaran. Pengajaran yang didatangkan dengan hadiah. Hadiah Syurga berkat kesabaran.
Kita tidak boleh rasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian dalam kehidupan. Jauh sekali menyalahkan takdir Ilahi. Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya.
Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah. Tidak mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan.
Yang membezakan antara manusia adalah bentuk ujian yang diterima. Mungkin bagi sesetengah orang melihat ujian yang menimpa orang lain itu tidaklah dianggap ujian besar, namun orang yang melalui ujian itu yang lebih mengetahui.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Ayat al-Quran itu menjelaskan fitrah orang beriman pasti akan diuji Allah SWT. Bagi memastikan iman seseorang hamba benar-benar kukuh kepada Allah SWT, maka ujianlah yang dapat menentukannya.
Sumber kredit: Farah Lee
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hukum ‘Rebonding’ Rambut; Ini Penerangan Padu Ustazah Asma’ Harun
Memiliki rambut lurus sememangnya banyak kelebihan antaranya ianya mudah untuk diuruskan. Selain itu ia tidak mengambil masa yang lama untuk anda berdandan berbanding rambut kerinting.
Wanita yang berambut kerinting biasanya memilih untuk melakukan teknik ‘rebonding’ atau meluruskan semula rambut kerana menganggap gaya seperti itu mudah diuruskan. Walau bagaimanapun dalam pada sibuk untuk meluruskan rambut, jangan pula sampai terlepas pandang soal hukum agama.
Berikut huraian lengkap daripada Ustazah Asma’ Harun tentang perbuatan meluruskan rambut.
SOALAN:
“Assalamualaikum ustazah, izinkan saya bertanya tentang hukum meluruskan rambut atau lebih dikenali sebagai rebonding. Adakah Islam melarang untuk kita melakukannya? Kerana saya sangat suka sekiranya rambut saya sentiasa kelihatan lurus dan cantik.”
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt. SubhanAllah, bagus soalan puan. Sememangnya Allah menjadikan fitrah wanita menyukai kecantikan. Lebih-lebih lagi tatkala melihat diri di cermin.
Bahkan kadang-kadang apabila melihat iklan di televisyen, majalah mahupun media sosial, kita mula terdetik di hati, “Teringin nak buat rebonding” atau “Cantiknya rambut dia, lurus je. Nak buat rebonding jugaklah”.
Dalam masa yang sama, hati kita tertanya-tanya juga, “Adakah ia dibolehkan dalam Islam atau tidak?”, “Sekiranya kita melakukannya, adakah ia dikira sebagai mengubah ciptaan Allah SWT?”
Alhamdulillah. Allah SWT masih menjentik hati dan iman kita supaya sentiasa berhati-hati dan beringat dalam melakukan sesuatu agar ia mendapat keredhaan bukan kemurkaan daripada-Nya.
ISLAM AGAMA YANG MENCINTAI KECANTIKAN DAN KEKEMASAN
Islam sangat menyarankan umatnya supaya kelihatan bersih dan kemas. Terdapat sebuah hadis yang menjelaskan bahawa Allah SWT bersih dan menyukai kebersihan.
Justeru, orang yang sentiasa menjaga kebersihan dan kekemasan, insya-Allah akan semula jadi kelihatan cantik.
Hadis Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ، فَنَظِّفُوا، أُرَاهُ قَالَ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan, Dia menyukai kedermawanan. Maka, bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” (HR al-Tirmizi, hadis dhaif)
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan”. (HR Muslim, hadis sahih)
ASAS KECANTIKAN DALAM ISLAM
Hukum mencantikkan diri adalah harus pada asalnya. Walau bagaimanapun, keharusan ini boleh berubah menjadi haram apabila terdapat dalil pengharamannya sepertimana disebutkan dalam kaedah fiqh:
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءَ الْإِبَاحَة حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil yang menunjukkannya haram.”
REBONDING (MELURUSKAN) RAMBUT: BOLEH ATAU TIDAK?
Terdapat dua pendapat yang dibincangkan oleh ulama berkenaan hal ini.
1. HARUS
Sebahagian ulama berpendapat adalah harus melakukan rebonding mahupun mengerintingkan rambut sekiranya tanpa menggunakan bahan kimia yang boleh mengubah struktur protein rambut secara kekal, iaitu hanya melalui rawatan fizikal seperti menggunakan alat penggulung plastik dan yang sejenisnya.
Hal ini kerana, ia tidak mengubah struktur dan fungsi rambut yang asal, malah masih dalam konteks tidak kekal serta sangat berkait dengan kaedah dan tatacara menguruskan rambut.
Perkara ini dapat dilihat berdasarkan penjelasan daripada Imam Nawawi iaitu:
وَقَالَ النَّوَوِيُّ: يُسْتَثْنَىٰ مِنَ النَّمَاصِ مَا إِذَا نَبَتَ لِلْمَرْأَةِ لِحْيَةٌ أَوْ شَارِبٌ أَوْ عُنْفَقَةٌ فَلَا يُحْرَمُ عَلَيْهَا إِزَالَتُهَا بَلْ يُسْتَحَبُّ. قُلْتُ: وَإِطْلَاقُهُ مُقَيَّدٌ بِإِذْنِ الزَّوْجِ وَعِلْمِهِ وَقَالَ بَعْضُ الْحَنَابِلَةُ: إِنْ كَانَ النَّمْصُ أَشْهَرُ شِعَارًا لِلْفَوَاجِرِ امْتَنَعَ وَ إلَّا فَيَكُونُ تَنزِيهًا ، وَفِي رِوَايَةٍ يَجُوزُ بِإِذْنِ الزَّوْجِ إِلَّا إِنْ وَقَعَ بِهِ تَدْلِيسٌ فَيَحْرُمُ
Maksudnya: “Berkata Imam Nawawi: meluruskan rambut yang kerinting dalam Islam itu dibolehkan selama mana dengan izin suaminya. Jika sebaliknya, maka pembolehannya itu tertolak. Sementara dalam pandangan sebahagian ulama Hanbali, jika mengubah rambut dengan bertujuan seperti orang Fajir (sejenis fasiq), maka dilarang sama sekali. Dan jika tujuannya kerana izin suami, maka dibenarkan dan dibolehkan.” (Kitab Fathul Bari)
Antara tujuan dibenarkan syarak adalah seperti:
a. Bukan mencantikkan rambut dengan bertujuan untuk melakukan maksiat.
b. Mencantikkan dan menghias diri untuk keselesaan suami bagi wanita yang telah bernikah dengan mendapatkan keizinan suaminya atau atas permintaan suaminya sendiri.
c. Melakukan dengan tujuan untuk mencantikkan dirinya sendiri sahaja bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
Syarat-syarat sekiranya melakukan proses meluruskan rambut:
a. Aurat dijaga dengan rapi dan sempurna daripada pandangan lelaki ajnabi dan wanita bukan Islam sama ada sebelum, semasa dan selepas proses rebonding dilakukan.
b. Rebonding tersebut tidak menyerupai budaya orang kafir dan fasiq.
c. Menggunakan bahan yang suci dan bersih serta tidak menghalang air untuk sampai ke bahagian tersebut ketika bersuci seperti mengambil wudhuk atau mandi wajib.
d. Tidak menggunakan bahan kimia yang boleh mengubah struktur protein rambut secara kekal.
e. Tidak menggunakan peralatan yang boleh mendatangkan kemudharatan dan kerosakan pada rambut dan diri sendiri.
Ini adalah pendapat yang membolehkan meluruskan rambut dengan tidak menjadikan ia sebagai mengubah ciptaan Allah SWT.
Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ
Maksudnya: “Barang siapa yang memiliki rambut, maka hendaklah dia memuliakannya.” (HR Abu Daud, hadis hasan)
2. HARAM
Sebahagian ulama mengharamkan perbuatan rebonding ini kerana diqiyaskan (menyamakan hukum) kepada hukum mengubah ciptaan Allah SWT berikutan terdapatnya bahan kimia yang digunakan bagi meluruskan rambut secara kekal.
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ ، وَالنَّامِصَاتِ وَالمُتَنَّمِصَاتِ ، وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ
Maksudnya: “Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT”. (HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Syeikh Hani bin Abdullah al-Jubair menyebutkan dalam kitabnya, ad-Dhawabith asy-Syariyah fi Umliyati at-Tajmiliyah:
وَتَغْيِيرُ خَلْقَ اللّٰهُ هُوَ تَحْوِيلُ الشَّيئِ عَنْ صِفَاتِهِ حَتَّى كَأَنَّهُ شَيْئٌ آخَرَ أَوْ إِزَالَتُهُ عَنْهَا
Maksudnya: “Mengubah ciptaan Allah ialah melakukan perubahan sesuatu dari sifatnya sehingga menghilangkan keadaan asalnya.”
Imam Thabari juga menyatakan bahawa adalah dilarang bagi wanita yang mengubah ciptaan Allah SWT:
قَالَ الطَّبَرِي: لَا يَجُوزُ لِلْمَرْأَةِ تَغْيِيْرُ شَيْءٌ مِنْ خَلْقَتِهَا الَّتِي خَلَقَهَا اللّٰهُ عَلَيْهَا بِزِيَادَةٍ أَوْ نَقْصٍ التِمَاسِ الْحَسَنِ لَا لِلْزَّوجِ وَلَا لِغَيْرِهِ
Maksudnya: “Berkata Imam Thabari bahawa tidak disunatkan bagi wanita untuk mengubah ciptaan Allah SWT dengan cara menambah atau mengurangi anggota badannya, baik untuk alasan (menyenangkan suami) atau alasan lain.” (Kitab Fathul Bari)
RUMUSAN
Berbalik kepada soalan puan, hukum meluruskan rambut atau lebih dikenali sebagai rebonding adalah bergantung kepada niat atau tujuan ia dilakukan.
Pada asalnya, ia adalah harus berdasarkan syarat-syarat yang dibenarkan oleh syarak namun terdapat juga ulama yang berpegang kepada pendapat haram sepertimana yang telah dijelaskan sebelumnya.
Wallahu a’lam. Semoga bermanfaat buat semua.
RUJUKAN
1. Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, “Al-Kafi #1340: Hukum Melakukan Rebonding atau Meluruskan Rambut.”
2. Laman web Majlis Ulama ISMA, “Hukum Melakukan Rebonding.”
3. Laman web Hizbut Tahrir Malaysia, “Rebonding Rambut – Apakah Hukumnya Menurut Syarak?”
4. Laman web Dalamislam.com, “Hukum Meluruskan Rambut Menurut Islam.”
5. Laman web Pecihitam.org, “Hukum Meluruskan Rambut dalam Islam; apakah Dalil dan Contohnya Pada Masa Nabi?”
Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by pixabay from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI