Hijabi Hebat DATIN ANNE NGASRI Dilantik Sebagai Timbalan Pengerusi GiatMara, Berseri Sarung Jubah Konvo

Share

Nampaknya sejak pulang dari menunaikan ibadah haji, rezeki pelakon cantik Datin Hajah Anne Ngasri kian mencurah-curah.

Julai lalu, Datin Anne dikurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara (K.M.N) sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran berkenaan dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Terbaharu, isteri kepada Datuk Mohd Sumali Reduan ini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GiatMara.

Menerusi perkongsikan di laman Instagram miliknya, pemilik nama penuh Ngasriah Ngasri itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dirinya.

Bagaimanapun, pelakon yang terkenal dengan drama ‘Cili Padi’ ini tidak memperincikan tarikh sebenar pelantikan tersebut.

Pun begitu, difahamkan, majlis berkenaan berlangsung di Duyong Marina & Resort, Terengganu pada 20 September lalu.

“Alhamdulillah, menjadi sebahagian keluarga besar GiatMara Malaysia…kenangan indah bersama melakar sejarah di Majlis Konvokesyen Graduasi GiatMara ke-36 Zon Pantai Timur 2023.

“Syukur Ya ALLAH dan terima kasih pada yang selalu mendoakan saya. Saya juga doakan semua dilindungi dan diberikan yang terbaik sepanjang perjalanan yang mendatang,” katanya.

Jelas terpancar seri di wajah adik kepada pelakon Bell Ngasri dan Darling Ngasri ini pada majlis tersebut.

AKTIF POLITIK
Lebih 30 tahun mencipta nama, figura berusia 38 tahun ini kini aktif di arena politik.

Profesion politik hijabi hebat ini dilihat bermula dan aktif selepas beliau bertemu jodoh kali kedua bersama Datuk Mohd Sumali Reduan pada 2012.

Datin Anne yang juga ibu kepada enam cahaya mata, kini bergelar Exco Wanita UMNO Malaysia.

Kredit Foto: Instagram Datin Anne Ngasri

Published by
Amy Mohd