Setiap insan diuji Allah dengan dugaan yang tersendiri. Bagi gadis kecil molek yang berasal dari Kuala Lumpur, Era Masturah Ramlee, 22 tahun, keputusannya untuk mengenakan niqab pada usia muda sememangnya bukanlah mudah.
Ini kerana jarang sekali remaja seusianya memilih penampilan sebegitu. Walau bagaimanapun, gadis yang mesra disapa Era ini tidak gentar untuk mengambil langkah baru dalam hidupnya sejak tiga tahun lalu.
“Saya sudah mula mengenakan hijab sejak dari zaman tadika lagi dan mula berniqab sewaktu berada dalam semester dua di universiti sejak tiga tahun lepas. Saya memilih untuk berniqab kerana ianya merupakan sunnah isteri-isteri Nabi dan secara tidak langsung mendidik saya untuk menutup aurat dengan sempurna.
“Mengenai cabaran sepanjang berniqab, bagi saya ian ada cabarannya yang tersendiri contohnya apabila saya didiskriminasikan oleh sesetengah masyarakat. Namun, saya tetap positif kerana faham mungkin mereka tidak jelas dengan niat dan tujuan saya bagi mengenakan niqab ini,” ungkapnya memulakan perbualan.
Bagi dirinya, hijab adalah satu tuntutan agama, bukan tanda penindasan dan bukan juga satu trend. Namun begitu, harus diingat agar jangan terus menilai melalui luaran seseorang kerana ia tidak mencerminkan baik dan buruk seseorang individu itu.
Bercerita tentang perkembangan dirinya, Era berkongsi kisah menarik sepanjang bergelar pelajar dan dalam masa sama gemar mengambil gambar menarik. Jika dilihat dalam laman Instagram miliknya, setiap gambar di muat turun mempunyai cerita tersendiri dan menjadikan halaman berkenaan cukup menarik.
“Alhamdulillah, kini saya telah berjaya menamatkan pengajian Diploma dan bergelar siswazah dalam jurusan Rekaan Fesyen dari Management Science of University (MSU) Shah Alam. Lebih menggembirakan saya juga telah diberikan Anugerah Presiden daripada pihak universiti,” ujar hijabi yang senang memilih gaya kasual setiap kali berpenampilan.
Justeru tanpa menoleh ke belakang lagi, gadis manis yang berkaca mata ini kini terus melebarkan sayapnya dan kini telah bergelar usahawan berjaya.
Dia telah mengaplikasikan ilmu yang telah diperolehnya di universiti dengan melancarkan sendiri koleksi pakaian Ready To Eear di bawah syarikat Eralee Design Sendirian Berhad.
Selain itu, dia membuktikan bahawa tidak semestinya stail dan gaya penampilan seseorang hijabi itu menjadi terhad apabila berniqab. Seperti Era, dia mempunyai cita rasanya yang tersendiri, mengutamakan keselesaan pada tubuh dan yang paling penting sekali mengikut syariah.
“Warna-warna monochrome seperti hitam dan putih dengan silhouette oversized yang tidak menarik perhatian ramai menjadi pilihan saya. Stail saya juga banyak terinspirasi daripada seseorang yang saya kagumi dalam arena fesyen ini iaitu Yohji Yamamoto,” tambahnya yang juga begitu gemar melancong ini.
Telah menjelajah ke beberapa buah negara seperti Jepun dan Bangkok, Era merasakan cabaran mengembara ke tempat orang sebagai seorang yang berniqab ini tidaklah terlalu banyak cabarannya. Cuma menurut Era memang sudah menjadi lumrah apabila masyarakat luar memberikan pandangan yang pelik apabila melihat dirinya.
“Apa yang saya dapati, cabarannya tidaklah terlalu besar tetapi biasalah jika mereka asyik pandang-pandang disebabkan saya berniqab. Saya tidak kisah dengan semua itu kerana apa yang penting adalah kita menunjukkan akhlak yang baik dengan penduduk tempatan di sana.
“Kalau di Jepun memang agak sukar untuk mencari tempat solat. Kebiasaannya, saya hanya membawa lapik dan solat di mana-mana tempat yang bersih. Tambah mencabar lagi apabila tiada surau dan jika wuduk terbatal, memang sukar untuk menanggalkan pakaian yang berlapis-lapis lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Namun bagi saya, kesusahan inilah yang menjadikan kemanisan dalam pengalaman sebagai pengembara,” ujarnya dengan nada positif.
Era juga sempat menitipkan beberapa pesanan kepada sesiapa sahaja yang ingin melakukan perubahan positif dalam hidup tetapi takut untuk melakukannya.
“Teruskan berubah dan jangan termakan dengan apa orang kata kerana yakinlah hanya Allah sahaja yang Maha Kuasa dan mengatasi segala makhluk ciptaanNya. Beringatlah kepada Allah sentiasa dan kejarlah syurgaNya kerana segala di dunia ini bersifat sementara.
“Saya juga mengimpikan untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik di sisi Tuhan dan mengajak lebih ramai orang untuk mencintai Allah dan juga mecintai segala perkara kebaikan,” tambah Era sebelum mengakhiri bicara.