Heliza Kongsi Pengalaman Kali Pertama Menyambut Ramadan Sebagai Isteri!

Share

Penyanyi, pelakon dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi menyambut Ramadan kali ini bersama suami tercinta, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman. Ini merupakan kali pertama Heliza menyambutnya sebagai seorang isteri dan pastinya ia memberi sedikit perbezaan dari tahun sebelumnya.

Berbicara perihal ini, Hijabista menemu-bual secara eksklusif Heliza untuk bertanyakan soal pengalamannya berpuasa bersama pasangan. 

Menurut Heliza, sambutan kali ini agak berbeza kerana dirinya sudah berpasangan dan dapat meraikan Ramadan bersama-sama dengan keluarga 

mentua. Lebih besar dan meriah!

“Alhamdulillah sambutan kali ini amat bermakna kerana berpeluang menunaikan Ramadan pertama di tanah suci Mekah bersama-sama dengan suami. Malah, jadual semakin padat apabila saya dan suami sibuk dengan urusan kerja. Jika dahulu saya seorang sahaja, tetapi kali ini programnya menjadi dua,” ujarnya.

“Semuanya kami buat bersama-sama…”

Tambahnya lagi, selepas berpasangan, kebanyakkan aktiviti dilakukan bersama-sama seperti berbuka puasa, bersahur juga bertarawih.

“Selalunya memang kami akan menghabiskan masa bersama-sama. Apabila ada majlis atau program yang dianjurkan, saya dan suami akan turut serta untuk memeriahkan majlis tersebut.

Jujurnya, banyak perkara baru yang saya lakukan bersama suami. Tambahan pula, jumlah keluarga semakin bertambah dengan kehadiran keluarga mentua. Jadi kemeriahannya lebih dirasai.

Suami memiliki sebuah keluarga yang besar dan dia memang rapat dengan mereka. Ia turut membuatkan saya menjadi rapat dengan keluarganya. Ada juga yang tidak putus-putus memberikan hadiah seperti baju kepada kami. Alhamdulillah,” kongsinya gembira.

Pulang beraya di mana?

Pastinya persoalan ‘raya pertama di mana?” menjadi soalan wajib apabila sudah berpasangan. Bagi Heliza, dia dan pasangan tidak terlalu berdiskusi soal ini kerana ia bukanlah isu yang besar. Keluarga Heliza juga memahami sekiranya dia menyambut raya pertamanya di kampung halaman suami iaitu di Pulau Pinang.

“Keluarga saya sendiri membenarkan saya untuk saya beraya di kampung halaman suami terlebih dahulu. Ibubapa saya benar-benar memahami konsep bersuami-isteri ini dan tidak memandangnya sebagai sebuah isu yang serius,” kongsinya.

Sumber gambar: Heliza Helmi & Mahadi Badrul

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

Published by
Putra