Satu berita baik telah dimaklumkan iaitu jenama hijab sukan pertama di dunia, Capsters kini telah diambil alih oleh syarikat Malaysia.
Pada tahun 1999, pereka Belanda iaitu Cindy van de Bremen telah menghasilkan hijab sukan pertama sewaktu masih di kolej. Ia terjadi apabila terdapat suatu kes murid di Belanda yang tidak dibenarkan bersukan menggunakan hijab yang dikatakan tidak selamat.
Timbulnya perasaan kasihan, Cindy telah mereka satu hijab khas dengan menggunakan fabrik yang sesuai dan tidak berpin bagi menghasilkan thesis akademik beliau di Design Academy Eindhoven.
Pencapaian ini telah mendapat perhatian ramai dan pesanan khas mula masuk dari serata dunia hinggalah pengkomersilan dilakukan pada tahun 2001 dan terciptalah jenama Capsters.
Banyak pencapaian yang telah diraih Capsters antaranya ialah memenangi Good Design Award di Jepun pada tahun 2002 dan dipamerkan sebagai koleksi tetap di Museum of Modern Art (MoMA), New York sejak tahun 2005.
Capsters juga telah berkolaborasi bersama Putera Jordan, Ali bin Al Hussein bagi membatalkan larangan hijab oleh FIFA dan ternyata ia merupakan satu kejayaan buat mereka.
Produk Capsters kini dijual di 16 negara di seluruh dunia termasuklah di Eropah, Asia Tenggara, Amerika Utara, Afrika dan Australia.
Baru sahaja diambil alih oleh Innovacia Sdn Bhd pada penghujung tahun 2019 yang lalu, pasaran hijab ini dijangka akan terus berkembang disamping mempromosikan gaya hidup yang sihat pada masyarakat.
Selain itu, Capsters juga berharap melalui pengambilalihan oleh suatu syarikat berasaskan teknologi ini mereka dapat terus menghasilkan produk inovatif dan menjadikan jenama Malaysia berkembang lagi di taraf antarabangsa.
kredit: Jom Kita Lari