Usai berita meruntun jiwa mengenai gempa bumi yang berlaku di Turkiye yang telah melibatkan lebih 41,000 mangsa, ramai pihak daripada pelbagai negara telah berpusu-pusu memberikan bantuan. Pelbagai kisah sayu yang telah didengari. Namun, ada satu lagi berita yang telah menarik perhatian Hijabista.
Berita mengenai seorang lelaki warga emas yang mendermakan kesemua wang yang disimpan untuk menunaikan ibadah umrah kepada Pesatuan Bulan Sabit Merah di Turkiye telah menjadi sorotan ramai apabila ia mula tular di laman Twitter.
Video berdurasi 1minit 23 saat yang dikongsikan oleh @ilmfeed di akaun Twitter menunjukkan momen warga emas terbabit menyerahkan wang simpanannya
untuk membantu mangsa-mangsa gempa.Difahamkan, warga emas yang bernama Mehmet Cakirhan; berusia sekitar 74 tahun tersebut merupakan seorang warganegara Turkiye dan telah menyumbangkan sebanyak USD1.350 atau sekitar RM 5,981.
Untuk pengetahuan hijabi, sehingga kini sudah lebih 41,000 mangsa telah terkorban akibat gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria. Beribu-ribu yang lain telah mengalami kecederaan dan memerlukan bantuan perubatan serta kewangan.
Artikel berkaitan: Kenang Saat Kunjungi ‘Bumi Andana’ Turkiye, Liza Hanim Titip Doa Buat Mangsa Gempa!
Berdasarkan video tersebut, Mehmet sepatutnya menggunakan wang tersebut untuk pergi menunaikan umrah pada tahun ini. Bahkan, dia hanya menanti 10 hari lagi dan telah menyiapkan segala kelengkapan untuk Tanah Suci, namun membatalkan niatnya di saat-saat akhir.
“Semuanya baik-baik sahaja, namun tiba-tiba gempa bumi melanda. Saya serahkan duit saya pada hari ini. Lagi 10 hari tempoh yang tinggal sebelum saya sepatutnya pergi menunaikan umrah.”
“Semua sudah siap sedia. Semuanya. Namun bila gempa bumi berlaku, saya berkata pada diri saya bahawa saya akan serahkan duit itu disini,” kata Mehmet yang berkongsikan ceritanya.
Bukan itu sahaja, pengorbanan yang dilakukan oleh warga emas tersebut turut menarik perhatian para sukarelawan di sana.
“Semua kebajikan itu baik, tetapi kami tidak akan melupakan perbuatan derma daripada pakcik. Kami akan mendoakan agar anda dimurahkan rezeki berlipat kali ganda di dunia mahupun akhirat,” kata seorang sukarelawan kepada Mehmet.
Tindakan Mehmet yang sanggup berkorban demi membantu mangsa-mangsa gempa tersebut telah membuatkan ramai tersentuh dan terharu. Meninjau ke ruangan komen hantaran tersebut, ramai yang mendoakan dan memuji tindakan tersebut.
“Semoga Allah SWT memberatkan timbangan amalnya dan memberi jalan untuk dia pergi umrah”
“Ya ALLAH kurniakanlah kepada ayah ini keberkatan untuk mengerjakan umrah berkali-kali, dan semoga tempat istirehat terakhirmu di Madinah. Aaminn ya rabb”
“Semoga Allah melimpahkan kurnianya dan menambahkan rezekinya agar dapat menziarahi Haramain berkali-kali, Aamiin.
Artikel berkaitan: Ebit Lew ‘Turun Padang’ Ringankan Beban Mangsa Gempa Turkiye, Undang Sebak Netizen!
Sumber: Twitter @ilmfeed
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.