Hampir 4 Tahun BERHIJAB, ISTERI Faizal Hussein Akui LEGA Kerana BERJAYA Lakukan SURUHAN Allah

Share

Satu masa dahulu, nama Suhaila Sulaiman sering menjadi sebutan dek kerana lakonannya yang mantap. Tahun demi tahun mencipta nama, akhirnya Suhaila menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini pelakon terkenal tanah air, Faizal Hussein. Selepas berkahwin, namanya kian suram kerana dia memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. Dikurniakan dua orang cahaya mata, Suhaila bertekad untuk terus melupakan dunia lakonan mestipun kadangkala rindu tetap datang menjelma.

“Sejujurnya memang saya rindu bidang lakonan tetapi saya mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga saya dahulu. Semua kerja di rumah saya lakukan sendiri kerana saya tidak menggunakan perkhidmatan pembantu rumah. Bila anak-anak mula bersekolah, lagilah jadual saya bertambah sibuk kerana perlu menguruskan segala urusan mereka. Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak mengambil sebarang tawaran lakonan buat masa ini. Ia merupakan keputusan saya sendiri, bukannya arahan daripada Faizal,” ujar Suhaila sewaktu bertemu di majlis tayangan Eksklusif filem DUKUN di Suria KLCC baru-baru ini.

Suhaila yang kini berusia 42 tahun dilihat tetap tampil cantik dan berseri. Bila ditanya apa rahsia kecantikan dirinya, Suhaila hanya mampu tertawa sahaja kerana menurutnya, dia tidak pernah mengamalkan sebarang petua. Tambahnya, dia hanya mengamalkan pengambilan air suam sejurus selepas dia bangun daripada tidur dan tiada sebarang pantang dalam pemakanan. Dia akan makan apa sahaja yang diingini. Cuma dia akan kurangkan pengambilan makanan yang berminyak. Selain itu, dia turut lakukan beberapa senaman ringan tetapi tidak menjadikan ia sebagai rutin.

Menyentuh soal hijab, kini sudah hampir 4 tahun dia mengenakan hijab di atas kemahuan dirinya sendiri. Menurutnya, sudah tiba masanya untuk berhijab dan mahu menjadi contoh yang terbaik kepada kedua-dua anaknya itu. Keputusan ini disokong oleh Faizal sendiri dan Faizal sendiri tidak pernah memaksa Suhaila untuk berhijab. Cuma katanya, jika sudah bertudung, jangan buka-buka lagi. Mungkin, itulah waktu yang tepat untuk dia berubah ke arah kebaikan.

Suhaila memilih 1 Ramadan untuk berhijab dan alhamdulillah, dia semakin selesa mengenakan hijab di kepala. Pertama kali memakai hijab, Suhaila akui berasa lega kerana sudah menunaikan suruhan Allah dan bukan bertudung disebabkan fesyen semata-mata. Tambah Suhaila lagi, dia tidak mahu memaksa anaknya untuk bertudung dan mahu anaknya bertudung dengan kerelaan hatinya sendiri. Cuma, dia akan sering mengingatkan anaknya tentang baik dan buruk sesuatu perkara. Sebelum mengakhiri perbualan, Suhaila bersyukur dan selesa dengan kehidupan yang diperolehinya sekarang.

Foto: Instagram Suhaila Sulaiman

Published by
Naqiyatul Uzma