Hidayah, betapa mahalnya ‘rahmat’ ini jika hendak dibicarakan. Lebih istimewa jika hidayah itu datang secara tiba-tiba, tanpa ada sebarang petanda. Hidayah Allah SWT itu diberikan kepada orang yang dikehendaki olehNya dan berhak untuk menerimanya. Hidayah Allah itu dianugerahkan kepada insan yang memang ingin mencarinya.
Bagi Wan Sharmila, pelakon yang berbakat besar dalam dunia lakonan, keputusannya memakai hijab sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh para peminatnya. Ketika bercuti di Osaka Jepun, Wan Sharmila atau lebih mesra dengan sapaan Lala telah memuat naik gambarnya memakai hijab. Akuinya pelakon kecil molek ini, dia sebenarnya sudah lama memasang niat untuk berhijab. Niat itu akhirnya terlaksana ketika ulangtahun kelahirannya pada 12 Oktober yang lalu.
“Hajat hendak berhijab itu sudah lama iaitu sejak lebih setahun yang lalu. Keberanian untuk berhijab itu hanya ‘datang’ sekarang maka inilah saya yang sudah berhijab. Sebelum ini saya agak ‘takut-takut’ kerana bagi saya kalau sudah berhijab, biarlah saya terus istiqamah berhijab” ujar Wan Sharmila sambil tersenyum manis.
MINTA PAKAI HIJAB KETIKA BERLAKON
Jelas Wan Sharmila dia banyak kali meminta untuk memakai hijab ketika membawakan watak yang dilakonkannya walaupun sebenarnya watak itu tidak memerlukan dia berhijab. Lama-kelamaan dia rasa seronok pula berhijab.
“Sebab utama saya minta berhijab ketika berlakon kerana hanya dalam lakonan sahaja saya boleh berhijab selain pakai hijab lebih senang bersiap kerana tidak perlu ‘buat rambut.’ Ia juga sebagai Lagi pun saya rasa seronok tengok wanita-wanita yang kelihatan cantik dan manis apabila memakai hijab.
“Apabila tengok diri sendiri tidak menyarungkan hijab di kepala terasa tidak lengkap penampilan dan adakalanya rasa ‘semak. Perasaan untuk berhijab itu datang secara perlahan-lahan dalam diri saya.Alhamdulillah urusan saya untuk memakai hijab dipermudahkan,”ujar Wan Sharmila.
Tambah Wan Sharmila lagi, dia pernah terfikir, sampai bila dia harus menangguhkan hasrat untuk berhijab. Apabila benar-benar sudah bersedia maka dia dengan rasa penuh berkeyakinan menyarungkan hijab di kepala.
“Mula-mula berhijab saya rasa malu. Bila pergi tempat yang ramai orang saya rasa segan. Mungkin sebab saya masih belum yakin dengan penampilan diri saya agaknya. Saya pakai hijab pun ketika saya bercuti di Osaka, Jepun jadi bila balik ke tanahair saya rasa agak kekok. In Shaa Allah saya dalam proses menyesuaikan diri dengan ‘diri saya yang baharu.
“Tentang gambar-gambar saya yang tidak berhijab di media sosial seperti di Facebook dan Instagram saya ada cuba untuk memadamkannya namun ada yang berjaya dipadam dan ada yang tidak. Jadi apa yang boleh saya lakukan ialah memadamkan gambar-gambar tersebut sekadar yang termampu,” jelas Wan Sharmila.
MAHU TERUS ISTIQAMAH BERHIJAB
Bercerita lebih lanjut tentang hijrah hijabnya, akui Wan Sharmila dia hanya berkongsi niat itu dengan seorang rakan baiknya. Ketika itu kata Wan Sharmila, dia sedang menyiapkan kelengkapan untuk pergi bercuti ke Osaka, Jepun.
“Apabila saya sudah mula berhijab, semua ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sangat gembira dan terharu. Famili saya memang tidak tahu niat saya hendak berhijab. Mungkin inilah saat-saat yang mereka tunggu-tunggu selama ini. Ramai menyuarakan perasaan terharu apabila lihat gambar-gambar saya berhijab ketika di Osaka, Jepun.
“Bagi saya apabila sudah mula berhijab, saya perlu berusaha untuk kekal dengan imej sekarang. Koleksi hijab saya pun masih tidak banyak lagi. Gaya hijab pun ikut keselesaan diri saya sahaja tapi saya lebih sukakan gaya yang ringkas. Doakan saya agar saya terus istiqamah untuk berhijab,”ungkap Wan Sharmila penuh makna.
Diminta mengulas tentang ada sebilangan rakan artis yang membuka kembali hijab, ujar Wan Sharmila ia bergantung kepada diri individu itu sendiri. Mungkin ini adalah salah satu bentuk ujian buat mereka dan kita tidak berhak untuk menilai sehingga menjatuhkan hukum.
“Pada saya masing-masing punya alasan yang tersendiri. Namun apa yang boleh saya katakan bahawa penerimaan orang sekeliling lebih terbuka apabila saya berhijab. Jujur saya akui, keputusan saya untuk berhijab tidak mengurangkan tawaran untuk saya berlakon memandangkan sebelum ini pun saya banyak membawakan watak-watak yang memerlukan saya berhijab atas permintaan saya sendiri.
“Lagi pun kalau kita lihat hari ini, ramai sahaja pelakon-pelakon yang berhijab seperti Mira Filzah dan Norkhiriah. Malah Norkhiriah boleh bawa watak antagonis walaupun dia berhijab. Jadi pada saya tidak timbul persoalan memakai hijab boleh membataskan tawaran untuk berlakon,” ujar Wan Sharmila.
TIDAK PERNAH MENYESAL
Tatkala ditanya, tidakkah dia menyesal kerana lambat menyarungkan hijab menutup mahkotanya, ini jawapan padu Wan Sharmila.
“Saya tidak pernah menyesal. Bagi saya apa yang terjadi semuanya ada hikmah. Sebelum kita berhijab, kita belajar apa yang perlu kita ubah, apa yang baik dan apa yang tidak baik. Ia jadi satu kenangan dan boleh buat kita senyum dan boleh mengingatkan kita memori ketika tidak berhijab dahulu.
“Nasihat saya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia hijab, banyakkan belajar tentang apa yang sesuai dan apa yang tidak sesuai dengan personaliti seorang hijabi. Semoga apa yang kita belajar itu buat kita terus istiqamah untuk berhijab. Jangan paksa diri untuk berubah secara mendadak tapi berubahlah sedikit demi sedikit supaya kita rasa tidak tertekan,” akhiri Wan Sharmila.