Sebut sahaja medial sosial TikTok, pasti ramai yang sudah arif untuk menggunakannya. Bukan sahaja digunakan sebagai platform untuk hiburan semata-mata, malah TikTok hari ini dilihat sebagai sebuah media sosial untuk perniagaan, pendidikan serta lain-lain lagi. Barisan artis dari dalam dan luar negara juga menjadikannya sebagai kaedah utama untuk berhubung dengan peminat mereka.
Salah seorang artis yang kerap dan aktif memuat naik di TikTok ialah penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza ataupun lebih mesra dengan panggilan Tok Ti! Ha, jangan tak percaya ya! Tok Ti juga suka ber-TikTok! Baru-baru ini, menerusi laman TikTok nya, Tok Ti memuat naik sebuah video transisinya ‘before and after’. Video yang ringkas itu ternyata mendapat perhatian ramai apabila penyuntingan video kelihatan begitu ‘smooth’ dan sempurna!
@toktitiktok Before and after 😘 #fyp #fypシ ♬ original sound – Sai Datinguinoo
Ya Allah dia punya transition lagi padu dari kita semua!
Video yang mendapat tontonan mencecah 1.3 juta itu menarik perhatian ramai kerana teruja melihat Tok Ti yang dilihat begitu santai dan bersahaja di dalam video itu.
Biar betul tok ti ni..hafal step betul ni!
Ada juga yang turut bergurau mengatakan selepas ini video itu akan menyebabkan pengguna TikTok yang lain akan menghadapi masalah jumlah tontonan video mereka berkurang! Wah! Sampai macam tu sekali ya!
Habislah budak-budak TikTok, Tak boleh cari makan nanti..
Apa-apapun, Team Hijabista juga turut terhibur dengan video dari penyanyi kesayangan ramai ini!
Sumber: TikTok Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ucapan Sempena Hari Raya Aidilfitri, Apakah Hukumnya, Ketahui Kesilapan Adab Ketika Hari Raya
Menyambut Aidilfitri dalam suasana normal kembali menjadi impian setiap insan. Aktiviti solat sunat hari raya di masjid, ziarah-menziarahi, dibenarkan namun perlu ada kesedaran untuk menjaga satu sama lain.
Kita menyambut lebaran mengikut kesuaian dengan normal baharu. Merayakan Aidilfitri ibarat meraikan hadiah daripada Allah SWT. Maka kita raikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan kesederhanaan.
Hukum memberikan ucapan Aidilfitri adalah harus pada hukum syarak. Jelasnya, ia bukan sunnah ataupun termasuk dalam perkara bid‘ah. Namun, ucapan sempena Aidilfitri sebahagian daripada bentuk atau konsep ucapan tahniah yang pernah berlaku di dalam sirah.
Diriwayatkan apabila Nabi saw memberitahu para sahabat bahawa taubat Ka‘ab bin Malik diterima oleh Allah swt setelah tidak menyertai peperangan Tabuk, maka Talhah bin ‘Ubaydillah bangun memberikan ucapan tahniah kepada beliau.
Justeru, amalan tahniah adalah harus pada perkara-perkara yang baik dan tidak bertentangan dengan syarak. Sebagai contoh, ucapan tahniah di atas kejayaan dalam sesuatu peperiksaan, ujian dan seumpamanya.
Perkara-Perkara Sunat Pada Hari Raya Aidilfitri
1. Sunat memakai haruman bagi lelaki, manakala wanita tidak disunatkan kerana takut timbul fitnah. Sunat melalui jalan yang jauh ketika menuju ke masjid dan pulang melalui jalan yang dekat ketika pulang ke rumah.
2. Sunat menghidupkan malam Aidilfitri. Ambil peluang untuk menambah pahala dengan membaca al-Quran dan berzikir.
3. Sunat mandi berdasarkan hadis Ibnu Majah daripada Ibnu ‘Abbas ra.[2] Waktunya bermula apabila masuk separuh malam hari raya. Namun, sunat mandi selepas solat Subuh menurut Mazhab Shafi‘i, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Selepas mandi sunat memakai haruman dan pakaian yang baik, membersihkan dan menghilangkan bau badan serta memotong kuku. Individu yang tidak bercadang ke masjid untuk menunaikan Solat Hari Raya Aidilfitri juga turut sunat mandi kerana ia merupakan hari untuk bercantik-cantik dan berhias-hiasan.
3. Makmun disunatkan datang awal ke masjid dengan berjalan kaki, iaitu selepas solat Subuh sebelum terbit matahari jika tiada uzur. Hal ini berdasarkan kata-kata ‘Ali ra yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi. Manakala imam sunat datang lewat ketika solat hampir didirikan.
4. Sunat bersarapan sebelum bersolat kerana Rasulullah tidak keluar menunaikan solat kecuali selepas menjamah beberapa biji tamar berdasarkan hadis Anas yang diriwayatkan oleh al-Bukhari.
5. Menzahirkan keceriaan, kemesraan pada wajah apabila bertemu dengan saudara Islam, ziarah-menziarahi demi menguatkan ikatan perpaduan dan ukhwah islamiyah.
6. Sunat menunaikan solat Aidilfitri di tanah terbuka seperti padang sekiranya masjid penuh menurut Mazhab al-Shafi‘i. Majoriti ulamak berpandangan bahawa solat Aidilfitiri sunat diadakan di padang bukan di masjid, kecuali di Makkah, ia sunat diadakan di Masjid al-Haram.
Kesilapan Adab Pada Hari Raya
Ini antara beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara kesilapan adab tersebut ialah:
- Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
2. Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
3. Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
4. Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
5. Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
6. Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
7. Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
8. Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
9. Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.
10. Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
11. Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
12. Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
13. Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
14. Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
15. Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
HIJABISTA: Matlamat utama hari raya ialah supaya kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan.
Sumber kredit: Laman web rasmi Pusat Islam USM dan laman web rasmi pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by Rodnae Productions from Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Acapkali Hantar Rakan Ke Masjid, Akhirnya Lelaki Ini Terima Hidayah Peluk Islam!
Isi Kandungan
ToggleKata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitulah ungkapan yang sering dizahirkan oleh saudara baru tentang Islam. Mereka yang baru memeluk agama Islam ini seperti dilahirkan semula tanpa dosa dan seperti kain putih yang suci bersih.
Alhamdulillah, gembira rasanya setiap kali membaca kisah saudara kita yang baru memeluk agama Islam. Benarlah, hidayah itu datang dalam pelbagai cara. Seperti kisah seorang lelaki berusia 21 tahun ini, yang memilih untuk memeluk Islam selepas tersentuh dengan budi baik yang ditunjukkan oleh rakan-rakan Muslimnya.
Kisah penghijrahan dan pengalaman seorang lelaki yang bernama Muhammad Farhan ini telah turut dikongsikan dalam sebuah buku yang diterbitkan bertajuk A Reverent Journey: Masjid Omar Kampong Melaka: 1820-2020.
Menjadi sukarelawan di masjid
Menurut Berita Harian Singapura, Muhammad Farhan Yoong atau nama sebenarnya Yoong Chun Keat pada awalnya mendapat pendedahan awal mengenai agama Islam apabila sering menumpangkan rakan-rakan Perkhidmatan Negara (NS) daripada anggota polis Singapura ke masjid untuk menunaikan solat.
Ujar Farhan, dia mula mengenali keindahan Islam selepas penyelianya Fadzil Abdul Rahman(yang merupakan Setiausaha Masjid Omar Kampong Melaka pada waktu itu) memperkenalkannya kepada jemaah masjid hingga dia menurut serta menjadi sukarelawan masjid berkenaan.
Jemaah di masjid tersebut telah menerimanya dengan tangan terbuka dan penuh mesra. Semangat ukhuwah inilah yang membuatkan Muhammad Farhan sanggup menjadi sukarelawan masjid berkenaan dan mengembil bahagian dalam kerja kemasyarakatannya yang melibatkan membantu kelas Quran di kawasan perumahan Jalan Kukoh.
“Melihat teman Muslim saya membantu orang lain, saya menyedari melakukan kebaikan adalah sebahagian besar cara kehidupan masyarakat Islam.
“Mereka tidak mengasingkan agama daripada kehidupan, semuanya menjadi satu.
“Terdapat cara yang betul untuk melakukan perkara tertentu dan ia menjadi sebahagian hidup anda. Pendekatan sebegini adalah yang saya cari-cari. Justeru, saya menghadiri kursus agama dan akhirnya memeluk Islam,” memetik kata-katanya dalam buku yang telah diterbitkan.
Tambah Muhammad Farhan, dia tidak merasa kekok apabila dikelilingi oleh masyarakat Islam yang tidak penat menunjukkan kegigihan dalam membantu golongan yang memerlukan di flat perumahan sekitar Jalan Kukoh.
Selain itu, dia turut berkongsi bahawa dia turut membantu mengambil guru agama bagi kelas Al-Quran dari rumah ke masjid beserta membawa makanan untuk pelajar dan sebagainya.
“Kami bukan sahaja membantu orang Muslim. Kami juga mengusahakan agar warga emas daripada semua kaum mendapatkan pemeriksaan perubatan percuma. Kami juga mendidik mereka tentang isu seperti risiko terjatuh.
“Hotel Seacare berdekatan menyediakan lokasi untuk pemeriksaan perubatan ini. Mereka yang hadir termasuk jemaah Masjid Omar Kampong Melaka.
“Saya kini buat lebih daripada setakat kerja kemasyarakatan untuk masjid ini – segala yang saya buat mencorak hidup saya menjadi insan yang lebih baik,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Islam Akhirnya Membuka Jalan Dirinya Bertemu Ketenangan Hidup, Marcell Akui Sudah 12 Tahun Mualaf
Gambarkan diri sebagai seorang yang ‘optimistik’
Berkongsi mengenai latar belakang pendidikan, Farhan terdahulu bersekolah di sekolah swasta dan dibimbing guru-guru daripada latar belakang antarabangsa pada peringkat sekolah menengah dan posmenengah atas keinginan ibu bapanya yang mendapat pendidikan luar negara (bapanya lulusan institusi di United Kingdom manakala ibunya mendapat pendidikan di Australia).
Muhammad Farhan turut menggambarkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai pemikiran terbuka dan seimbang dalam membantu menjadikan dunia tempat yang lebih baik.
“Kalau ada masalah, saya cuba sebaiknya menghuraikannya. Orang kata buat kesilapan itu baik (agar dapat belajar daripada kesilapan).
“Tetapi saya secara peribadi berasakan tidak baik pula kalau saya bikin silap. Jadi saya cuba elakkan kesilapan.
“Saya bersikap optimistik, rasanya. Saya selalu meninjau cara bagaimana perkara tertentu dapat dilakukan dengan lebih baik lagi,” tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Unik Dalam Perjalanan Rohani Mereka, 12 Selebriti Seberang Memilih Peluk Islam
Sekadar info, Farhan merupakan salah seorang belia yang telah menerima watikah pelantikannya sebagai anggota LPM Masjid Omar Kampung Melaka; masjid tertua di Singapura setelah 10 bulan memeluk islam.
Sumber: Berita Harian Singapura
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hutang Dalam Islam, Keliru Dengan Hukum Riba’. Bagaimana Elak Ditindas, Ditekan Dan Dieksploitasi
Isi Kandungan
ToggleKelansungan hidup yang ingin di teruskan bukan semudah yang di jangkakan. Bertapa mudahnya kehidupan ini dengan ada pinjaman bank maka mudah untuk melangsaikan beberapa hutang sehingga ada yang alpa dengan konsep hutang bayar berlebihan boleh jatuh pada riba.
Sebagai orang Islam, kita harus jauhi beberapa jenis riba supaya tidak terjerumus ke lembah dosa. Oleh itu, amat penting untuk tahu berkenaan jenis riba yang ada supaya tidak terlibat dengannya, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Jangan pula keliru antara rasuah dan riba, dan juga antara jual-beli dan riba. Mungkin ada yang kurang tahu berkenaan riba. Terlibat dengan riba adalah satu dosa besar, malah dikatakan seolah-olah berperang dengan Allah.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah dalam ayat 278-279,
“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.”
Pada masa sekarang, banyak produk-produk kewangan yang mempunyai elemen riba terdapat di pasaran, contohnya seperti insurans konvensional, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan kad kredit.
Malah, tanpa kita sedar, perbuatan kita sendiri pun boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah riba jika tidak berjaga-jaga.
Jadi, untuk perkongsian kali ini, saya nak berkongsi serba sedikit berkenaan riba dan hutang dalam islam, supaya kita semua dapat berhati-hati agar tidak terlibat dengan amalan haram ini.
Hutang dalam Islam
Dalam Islam, hutang yang dibenarkan hanyalah pinjaman Al Qard atau turut dikenali dengan nama Al Qardhul Hasan atau pinjaman kebajikan, kepada orang yang sangat memerlukan bantuan tanpa melibatkan bayaran lebih semasa bayaran balik hutang tersebut.
Pinjaman ini baik kerana membantu menyelesaikan masalah kewangan orang lain, bukan untuk mendapatkan keuntungan.
Sebaliknya pula bagi bayaran tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman yang dinamakan sebagai riba’ Ad-Duyuni jenis Al-Qard, iaitu manfaat tambahan yang disyaratkan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam ke atas pemberian jumlah pinjaman asal.
Faedah atau manfaat ini adalah suatu bentuk riba’ dan hukum riba’ itu haram.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 jelas menyatakan “Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’.”
Hadis Rasulullah SAW juga ada menyebut, “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba.”
Definisi riba
Fahami dahulu apakah maksud riba. Dari segi bahasanya, riba bermaksud pertambahan dan peningkatan. Manakala dari segi istilahnya pula, riba bermaksud sebarang tambahan ke atas hutang akibat tempoh dan tambahan dalam urusan melibatkan item-item tertentu (ribawi).
Item ribawi pula bermaksud item wang seperti matawang, emas dan perak dan juga makanan asasi seperti tamar, beras, garam, gandum dan barli. Daripada definisi ini, dapat difahami bahawa riba boleh terhasil daripada hutang dan juga jual-beli item ribawi.
Jenis-Jenis Riba
Jenis riba al-Duyun #1 – Riba al-Qardh
Riba al-Qardh berlaku apabila sebarang kadar atau manfaat tambahan yang lebih daripada pinjaman pokok dikenakan ke atas pinjaman tersebut dan dipersetujui semasa pinjaman dibuat, sama ada dikenakan oleh pemberi pinjam atau ditawarkan sendiri oleh peminjam.
Dalam erti kata lain, riba al-Qardh melibatkan sebarang pinjaman yang perlu dibayar melebihi pinjaman pokok. Riba jenis ini adalah yang paling popular dan banyak berlaku di kalangan masyarakat sekarang.
Bagaimana hendak elakkan riba al-Qardh?
Pastikan sentiasa berhati-hati apabila memberi pinjam atau meminjam duit atau barang dengan pihak lain.
Kalau nak meminjam dengan bank atau institusi kewangan pula, pastikan pilih pembiayaan Islamik bukan pinjaman konvensional kerana pembiayaan Islamik menggunakan kontrak jual-beli, sewaan atau sebagainya yang berbeza dengan kontrak pinjaman konvensional.
Jenis riba al-Duyun #2 -Riba Jahiliah
Riba Jahiliah berlaku apabila sebarang manfaat atau kadar tambahan melebihi pinjaman asal dikenakan apabila bayaran pinjaman dilakukan melebihi tempoh yang ditetapkan sama ada disebabkan kelewatan atau penangguhan.
Boleh juga dikatakan riba Jahiliah adalah sebarang denda atau penalti yang dikenakan apabila peminjam lambat atau menangguhkan membayar pinjaman sepertimana tempoh yang ditetapkan.
Jenis riba al-Buyu’ #1 – Riba al-Nasak atau al-Nasiah
Riba ini berlaku apabila jual-beli atau pertukaran antara item ribawi berlaku secara bertangguh atau tidak serentak.
Untuk elakkan riba al-Nasak, kena ingat perkara ini; transaksi pertukaran item ribawi mesti dilakukan serentak dalam satu masa atau majlis; kedua-dua penjual dan pembeli mesti menyerahkan item masing-masing sebelum berpisah. Tidak boleh berhutang, tidak boleh bertangguh.
Jenis riba al-Buyu’ #2 – Riba al-Fadhl
Riba ini melibatkan jual-beli atau pertukaran antara item ribawi yang sama jenis, yang mana berlaku apabila berat dan kuantiti pertukaran tersebut adalah tidak sama.
Untuk elakkan riba al-Fadhl, pertukaran bagi item ribawi sama jenis mesti dilakukan dalam berat atau kuantiti yang sama. Mungkin ada yang bertanya, bagaimana nak tukar item ribawi yang sama jenis, tetapi berlainan kualiti atau nilai dengan berat yang berbeza.
Contoh: nak tukar 10kg beras biasa dengan 5kg beras basmathi. Boleh, kena tukar dengan item ribawi lain jenis dulu seperti matawang. Jual dulu 10kg beras dengan dan dapatkan wang, kemudian beli 5kg beras basmathi dengan wang tersebut.
Keliru dengan pengaplikasian hukum riba’
Dalam konteks pinjaman berunsur riba’, mereka menyangka hukum ini hanya sabit pada pemberi pinjam yang mengenakan faedah, sedangkan hakikatnya bagi pihak yang meminjam juga haram hukumnya.
Hal ini kerana yang meminjam dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba’.
Menurut Riwayat Muslim, Rasulullah SAW ada bersabda, “Si pemberi (riba’) dan si pengambil riba’ adalah sama.”
Bagaimana pula jika pihak yang meminjam rela membayar bunga kepada pinjaman tersebut?
Jika pihak yang meminjam dengan sukarela menawarkan pembayaran semula dengan nilai tambah, hukum haram turut sabit, kerana hukuman riba’ tergolong dalam kategori hak Allah SWT dan Islam tidak menerima campur tangan redha manusia dengan hukum yang berkaitan dengan hak Allah SWT.
Rasional di sebalik penetapan ini ialah pinjaman sepatutnya menjadi suatu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar membantu mereka yang mempunyai keperluan kewangan mendesak. Jika dikenakan faedah atas pinjaman dalam keadaan terdesak itu, bukankah ianya suatu penindasan yang bersifat sebagai mengeksploitasi kesusahan pihak yang meminjam?
Kita lihat daripada aspek sosial pula, bukankah bantu membantu dalam masyarakat itu sepatutnya bersifat ikhlas hati tanpa mengharapkan balasan?
Jika kita mengamalkan pinjaman berunsur faedah ini, secara tidak langsung kita turut menyokong amalan mengharapkan dan mengenakan balasan apabila membantu orang lain, yang seterusnya bakal menghasilkan masyarakat yang hilang sifat tolong-menolong mereka.
Banyak lagi rasional di sebalik pengharaman riba’ bukan sahaja dalam urusan pinjaman tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan. Bagi yang ingin melakukan pinjaman, cuba semampu boleh untuk tidak meletakkan diri anda dalam posisi ditindas, ditekan dan dieksploitasi.
Maknanya, elakkan meminjam daripada pihak yang mengenakan faedah ke atas anda jika anda mempunyai pilihan lain.
Bagaimana pula jika kita dalam keadaan yang begitu terdesak dan terpaksa mendapatkan pinjaman wang berdasarkan riba’ kerana tiada pilihan lain?
Sekiranya kita amat memerlukan wang itu untuk perkara yang dibenarkan Syara’ dan kita telah berusaha sehabis daya untuk mendapatkan pinjaman tanpa riba mengikut hukum Syara’ tetapi gagal, maka adalah harus untuk mengambil pinjaman yang berdasarkan riba.
Contohnya, sekiranya seseorang pelajar itu tidak mampu menyambung pelajaran tanpa mengambil pinjaman berunsur faedah dan dia telah berusaha untuk mendapatkan pinjaman tanpa faedah, dia dikira dalam keadaan darurat yang membolehkannya mengambil pinjaman berdasarkan riba’ berkenaan.
Jadi persoalan yang timbul bagi yang telah dan sedang mengambil pinjaman riba ini ialah perlukah faedah yang dikenakan hasil daripada pinjaman ini dilangsaikan memandangkan jelas hukumnya haram?
Jika perkara ini yang menjadi kerisauan anda, bertenanglah kerana Islam itu agama yang syumul, lengkap dan mudah. “Sesungguhnya Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Baqarah: 286).
Terdapat tiga pilihan kaedah menguruskan pinjaman berunsur riba’ bagi pihak yang meminjam, seperti berikut:
Kaedah 1: Batalkan terus pinjaman berunsur riba’ jika mampu.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan (jangan menuntut lagi) saki baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Baqarah : 278).
Jelas riba’ itu haram, dan kita dilarang untuk meneruskan pinjaman riba’.
Oleh itu, jika kita mampu dan boleh membatalkan pinjaman sebegini, maka kita wajib membatalkan terus pinjaman berunsurkan faedah tersebut.
Kaedah 2: Selesaikan jumlah bayaran pinjaman asal dan batalkan faedah jika mampu.
Jika tiada cara untuk kita membatalkan pinjaman sebegini, kita perlu membayar pinjaman itu semula cukup sekadar jumlah asal pinjaman tanpa membayar faedah yang dikenakan.
Kaedah ini terpakai hanya jika kita mampu menghapuskan liabiliti pembayaran faedah tersebut tanpa sebarang kesan negatif melalui perbincangan dengan pemberi pinjam. Pinjaman asal itu wajib dibayar namun faedah dikenakan ke atasnya merupakan riba’ yang haram dan perlu dielakkan jika mampu.
Kaedah 3: Teruskan pembayaran pinjaman dan faedah jika tidak mampu, batalkan.
Jika tidak mampu untuk mengelakkan diri daripada pinjaman serta pembayaran faedah berkenaan, maka bayarlah pinjaman pada kadar asal termasuk dengan faedah itu sekali. Syaratnya ialah kita perlu telah mencuba sehabis daya terlebih dahulu untuk mengelakkan diri daripada membuat pinjaman berunsur riba’.
Setelah itu, bertaubat dan menyesallah atas apa yang kita lakukan.
“Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Asy-syuura: 25)
Elakkan daripada meminjam atau berhutang.
Walaupun begitu tidak dapat dinafikan keperluan dunia masa kini kadangkala menekan kita untuk melakukan pinjaman, maka pilihlah pinjaman tanpa unsur riba’. Jika telah atau terpaksa mengambil pinjaman dengan unsur riba’, ketahuilah syarat dan kaedah pembayarannya.
“Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53).
Riba boleh wujud dalam banyak keadaan dan situasi, dan kita sendiri boleh terjerumus dengan amalan dosa besar ini jika kita tidak berhati-hati dan kurang ilmu tentangnya.
Pada setiap apa yang diharamkan dalam Islam pasti ada kebaikannya dan mencegahkan kita dari sesuatu yang buruk.
Disclaimer: Artikel ini telah diterbitkan dalam Akuislam dan disumbang oleh Dg Roziekah Binti Ussin. Penulis seorang mahasiswa Fakulti Undang-Undang UKM. Semoga apa yang dikongsikan memberi manfaat kepada pembaca.
Sumber:JOM URUS DUIT
DAPATKAN MAJALAH HIJABISTA EMAG , DENGAN MUAT TURUN APLIKASI EMALL DI GOOGLE PLAY DAN APPS STORE.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI