Sebagai ketua keluarga, seseorang lelaki yang bergelar suami dan ayah mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam memberi dan menyediakan segala keperluan untuk isteri dan juga anak-anak.
Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan ALLAH dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan ALLAH.” (Riwayat Muslim, At-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad)
Berdasarkan hadis itu, jelas menunjukkan seseorang muslim mendapat pahala yang lebih besar apabila memberi nafkah kepada ahli keluarganya berbanding dengan membelanjakan hartanya kepada orang lain.
Setiap suami dan bapa hendaklah memberikan komitmen dan bijak melaksanakan tanggungjawabnya. Nafkah tidak bersifat mutlak kerana kemampuan setiap orang tidak sama.
Keutamaan nafkah adalah untuk memastikan kebajikan dan keselesaan setiap ahli keluarga bukan kemewahan atau pembaziran yang melampau.
Setiap ketua keluarga ada caranya untuk membahagiakan keluarganya. Berikut perkongsian Pe Chey cara dia menyantuni isteri dan juga anak-anak perempuannya.
Duit moratarium, aku dah niat, nak belikan “gelang getah” untuk anak-anak dara aku. Dari bulan April hari tu lagi aku dah bagitahu orang rumah,
“Yang, abang teringin nak belikan budak-budak ni ” gelang getahlah”. Kesian, diaorang tak pernah merasa pakai “gelang getah” lagi.
Sebagai ayah, bila aku tengok diaorang togel je kat tangan, aku rasa bersalah. Kurangnya adalah seurat besar gelang getah pun jadiklah.
BAWA MASUK KEDAI BARANG KEMAS
Jadinya, tadi, aku ajaklah orang rumah dengan budak-budak jalan-jalan. Konon. Padahal aku hala ke kedai jual “gelang getah’. Bila sampai, orang rumah pun dah besarkan mata.
Aku sengih kambing.
Bila masuk kedai, budak-budak bersorak,
“Ayah nak belikan kami gelang ke yah. Uiyooo seronoknya yah.”
“Kita nak yang tu yah,” kata Qaisara.
Ecya nak ni. Keena je senang, dia tunggu je.
Ragam, 3 anak dara aku yang makin membesar.
ADEGAN PENUH SENTIMENTAL
Bila gelang dah terlekat di tangan, ketiga- ketiganya peluk aku, siap cium. Pekerja di kedai dan pelanggan yang lain menyaksikan adegan penuh sentimental itu.
“Ayah tak banyak duit. Ayah dapat belikan yang kecik ni je ye. Kalau ayah ada banyak duit, ayah belikan yang besar sikit. Korang suka tak?”
“Suka yah. Terima kasih.”
Serentak suara ketiga anak dara aku menjawab. Aku sebak di dada bila mereka nampak ketara gembiranya siap terus pakai. Tangan masing-masing dah rupa tangan patah. Kekok bila ada “gelang getah” di tangan.
Kesiannya anak-anak dara aku. Salah aku sebab tak belikan untuk mereka dahulu lagi.
BELIKAN RANTAI TANGAN UNTUK ISTERI
Orang rumah senyum tengok anak-anaknya.
Aku tanya,
“Ayang nak tak? Carilah satu yang lebih kurang macam bebudak punya. Abang takdelah banyak bajet, tapi kalau kena harga, abang belikan. Nak tak?”
Terus bercahaya matanya. Orang rumah pun jarang aku belikan. Silap aku, sebagai seorang suami yang tak memahami psikologi wanita.
“Abang biar betul. Cukup ke duit? Tak payahlah. Belikan je untuk budak cukup. Orang takde tak apa.”
Orang rumah aku, memang tak menyusahkan. Aku nak belikan, dia tetap begitulah soalannya.
“Dik, kau carikan untuk akak ni satu, yang designnya sama dengan budak-budak, yang harganya sama macam budak-budak punya.”
“Baik bang”.
Laju budak tu buat kerja, tau-tau di tangan orang rumah, terpasang seutas gelang getah baru. Aku suka tengoknya. Suka tengok dia senyum. Senyum bahagia sebab tak sangka kot aku belikan seutas untuk dia.
Inilah kisah seorang ayah dan suami yang berwajah bengis. Petang ini dia kalah dengan anak dara dan isterinya. Jauh di hatinya,
“Kalau aku mati, taklah aku ralat sebab tak belikan untuk diaorang seutas gelang getah yang mungkin jadi kenangan abadi sepanjang usia mereka di dunia ini.”
SEBAK HATI SEORANG AYAH
Sebak dada aku bila tengok kebahagiaan yang terpancar di wajah mereka berempat petang ini. Semoga rezekiku melimpah ruah.
“Ayah, bole tey titey patai gelang ni masey tido nanti? Keney butak tey ayah?”.
“Pakailah Cya, Ecya sukey tan pakai tu?”
Kami pun berpelukan. Bahagia.
Begitulah antara caranya seorang suami dan ayah membahagiakan isteri dan anak-anak perempuannya. Sesungguhnya tiada yang membahagiakan apabila dapat membahagiakan insan-insan yang tercinta.
Melihat insan-insan tersayang tersenyum gembira, ia umpama vitamin pengubat jiwa.
Sumber kredit: Pe Chey