Gemar Buat Facial Spa, Ahli Gusti Berhijab, Nor ‘Phoenix’ Diana Kongsi Rutin Penjagaan Diri

Share

Biarpun kelihatan ayu, namun jangan sesekali cuba mencabar dirinya kerana aksinya yang lincah di gelanggang gusti boleh membuatkan sesiapa sahaja gerun apabila melihatnya.

Itulah Nor Diana atau lebih dikenali sebagai Nor ‘Phoenix’ Diana, ahli gusti berhijab pertama di dunia. Baharu sahaja berusia 20 tahun, Diana sudah melakar sejarah yang tersendiri apabila tersenarai dalam ‘Forbes Asia 30 Under 30 2020’.

Berasal dari Kuala Lumpur, siapa sangka hijabi muda ini telah melangkah setapak lagi ke dunia lakonan pula apabila bakal muncul dalam sebuah filem baharu tidak lama lagi.

BAKAL BERGELAR PELAKON

“Saya kini sedang giat menjalani latihan untuk menyiapkan diri bergusti semula. Di samping itu, saya juga terlibat dalam penggambaran filem ‘Small Town Heroes’ terbitan Lomo Pictures. Bukan itu sahaja, saya kini sedang melakukan persiapan untuk filem “Juara” terbitan Piledriver Entertainment (Asia) Sdn Bhd yang dipersembahkan oleh Quinton Group (ketika temubual dilakukan).

“Saya juga banyak mengisi masa lapang dengan melakukan temu bual bersama media tempatan serta antarabangsa,” jelasnya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik ini.

 

Ditanya mengenai rutin kecantikan dan kesihatan yang diamalkan, semestinya Diana menjadikan aktiviti gusti sebagai cara untuk mengekalkan kesihatan dan kecantikan yang dimiliki.

“Memang kebiasaannya saya akan komited terhadap latihan di gimnasium sebanyak tiga kali seminggu dan juga latihan gusti iaitu dua kali seminggu. Tiada sukan lain di dunia ini yang saya gemari selain gusti.

“Kalau dari segi kecantikan pula, saya gemar melakukan facial spa dengan cara tersendiri. Kebiasaannya akan dilakukan tiga kali seminggu. Saya juga kerap minum air kosong dan pastikan pengambilannya cukup agar sihat luar dan dalaman.

YAKIN ITU CANTIK

“Bagi saya definisi cantik ialah keyakinan. Cara seseorang itu membawa dirinya. Tetapi sejujurnya, saya percaya setiap insan di dunia ini cantik dengan cara mereka yang tersendiri,” ujar Diana.

Biarpun nampak ganas di gelanggang gusti, namun Diana mendedahkan bahawa sebenarnya dirinya merupakan seorang yang pemalu, pendiam dan introvert.

Namun apabila saya di gelanggang, saya berubah menjadi karakter pentas saya, Phoenix. ‘Dia’ benar-benar berbeza dengan keperibadian saya. ‘Dia’ yakin dan outgoing. Saya gemar bercerita di gelanggang melalui pro-gusti dan menghiburkan penonton yang menyaksikannya.

“Saya tidak pernah lagi mencuba sukan lain selain gusti tetapi jangan terkejut jika saya beritahu bahawa saya meminati dunia tarian.

“Fakta yang orang tidak tahu mengenai diri saya ialah saya berkebolehan untuk menari tarian tradisional. Bukan itu sahaja, saya juga pernah bermain violin dalam kumpulan okestra,” kata Diana yang mula jatuh cinta pada dunia gusti selepas kerap bermain permainan WWE di PSP sewaktu kecil.

 

Ingin tahu lebih lanjut mengenai Diana, langgani segera majalah Hijabista edisi terkini!

Published by
Qiss