Gaya Kasual OOTD Dato’ Sri Siti Nurhaliza Yang Boleh Kamu Cuba Ketika ‘Work From Home’. Lebih Santai Dan Selesa!

Share

Penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza antara figura yang seringkali menjadi perhatian lensa kamera tidak kira dimana beliau berada. Terutamanya di acara karpet merah, beliau seringkali hadir dengan rekaan busana yang mewah, sopan dan semestinya menawan.

Namun, kita tolak ketepi tentang gaya glamour penyanyi terbaik ini. Kita fokuskan pula tentang gaya OOTD beliau yang dimuatnaik di laman Instagramnya. Jujurnya, Dato’ Sri tidak kekok untuk bergaya saat menangkap gambar OOTD, malah keseluruhan gayanya sangat kasual, manis dan semestinya sopan! Team Hijabista berminat untuk berkongsi kepada kamu semua tentang pilihan terbaik gaya kasual OOTD penyanyi kesayangan negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza!

Tampak ayu dan manis dalam padanan rona warna putih dan hijau ‘pastel’, Dato Sri bijak dalam mengenakan hiasan aksesori yang tidak lari ronanya dengan keseluruhan gaya. Lebih segar dan bersih! Padanan ‘handbag’ menjadi pelengkap kepada keseluruhan gaya Dato Sri untuk OOTD ini. Percaya atau tidak, gaya solekannya yang tidak terlalu ‘heavy’ dan tidak bersungguh juga menjadikan figura ini lebih muda dari usia! Jadi kamu tidak harus risau untuk mengenakan rona putih dalam gaya kamu! Semestinya warna putih ini sesuai dipadankan dengan apa-apa warna, tidak kira terang ataupun kuat, jika kena gayanya pasti menjadikan keseluruhan gaya ‘work from home’ kamu sempurna persis Dato’ Sri ini! Tetapi ingat, usah gayakan aksesori yang lebih dari dua warna ya! Jika tidak, gaya kamu akan tampak sedikit pelik! Kekalkan konsep ‘less is more’ dalam gaya fesyen kamu.

Alahai, sopan sungguh gaya OOTD Dato’ Sri! Ringkas dan mudah. Bagi kamu yang inginkan gaya yang senang untuk digayakan, sarungkan sahaja ‘cardigan’ potongan panjang untuk menaikkan aura personaliti kamu! Jika dilihat dari gaya OOTD ini, Dato’ Sri bijak dalam mengenakan padanan rona warna yang tidak terlalu menonjol. Gabungan warna nude dan juga keperangan menyerlahkan lagi nilai eksklusif dalam gaya fesyen ini. Biarpun nampak kasual dan bersahaja, namun istilah ‘bersiap’ itu masih boleh dilihat dari atas hingga ke bawah. Tambahan pula Dato’ Sri bijak dalam mengenakan hijab yang bercorak, maka gaya OOTD ini tidak bosan malah ia secukup rasa!

Persis anak muda! Warna hitam menaikkan lagi nilai mahal dalam stail Dato’ Sri walaupun ia hanya sekadar OOTD biasa. Ganya cukup mudah, hanya sarungkan ‘cardigan’ potongan pendek bersama-sama dengan helaian dalam berona terang seperti warna hijau yang disarungkan oleh Dato’ Sri ini. Ringkas, bukan? Jika kamu tiada ‘cardigan’ jenis ini, sarungkan sahaja kemeja bersaiz ‘oversized’ untuk dijadikan sebagai outerwear. Untuk gaya ini, solekan yang sedikit tebal menjadi kunci utama dalam menaikkan seri keseluruhan gaya.

Padanan rona biru dan hitam ini sememangnya mudah untuk kamu miliki. Seperti gaya kasual Dato’ Sri ini, kamu hanya perlu padankan jaket atau ‘blazer’ potongan pendek bersama-sama dengan ‘blouse’ panjang untuk menghidupkan gaya fesyen yang sopan. Sudah pasti dua pilihan warna ini sudah tersedia ada dalam ‘wardrobe’ kamu kan? Jadi, tidak perlu buntu untuk fikir gaya yang ingin disarungkan untuk stail ‘work from home’ kamu. Sehelai jaket ataupun ‘blazer’ mampu untuk menaikkan gaya formal seseorang! Kamu semestinya sudah bersedia untuk menghadiri ‘meeting’ secara online!

Selesa dan bersahaja. Jika sebelum ini, rekaan ‘cardigan’ labuh ini dipadankan dengan warna nude, apa kata kita padankan pula dengan warna hitam? Seperti warna putih, warna hitam juga ialah warna asas yang sesuai dipadankan dengan apa-apa warna sekalipun. Untuk OOTD ini, Dato’ Sri tampak anggun dan mewah dalam gaya kasualnya. Hanya diserikan dengan pilihan akseseori ‘handbag’ serta corak hijab yang sesuai, pastinya menjadikan keseluruhan penampilan kamu ‘perfect’! Jadi apa tunggu lagi? Ayuh kemaskan ‘wardrobe’ kamu dan gayakan fesyen persis Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Selamat mencuba!

Sumber gambar: Instagram Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Published by
Putra