Malam Anugerah Juara Lagu ke 36 berlangsung dengan begitu meriah semalam menyaksikan barisan artis berentap hebat beraksi di pentas berprestij itu. Bukan hanya sekadar susunan muzik, irama lagu serta lantunan vokal yang mantap, malah penggayaan busana yang disarungkan oleh setiap penyanyi yang berentap jua menjadi tumpuan ramai dalam menyerikan lagi AJL-36.
Antara gaya fesyen yang menjadi pilihan team Hijabista pada malam gemilang AJL-36 semalam ialah Siti Nordiana, Bunga Isme & Noraniza Idris serta Aina Abdul. Bukan sahaja susunan muzik yang mantap dan memukau, busana yang digayakan juga turut menjadikan seluruh persembahan kelihatan begitu sempurna!
Meskipun tidak membawa pulang sebarang trofi, namun Siti Nordiana tetap tampak mewah dalam sebuah persalinan gaun berwarna emas menyeliputi dirinya yang membangkitkan sedikit elemen padang pasir ataupun ‘Cleopatra’. Meskipun berhijab, namun gaya fesyen penyanyi Siti Nordiana ini sudah cukup sempurna dengan memberi efek yang begitu eksklusif apabila pancaran cahaya lampu pentas menyuluhi dirinya yang menyanyi solo di atas pentas AJL-36 itu. Auranya sendiri sudah menghantui keseluruhan pentas semalam!
Pereka fesyen yang menggalas tanggungjawab menghasilkan rekaan ini bijak dalam permainan ‘less is more’ dengan hanya memberi sentuhan perincian manik pada bahagian dalam serta di bahagian pinggang untuk memberi elemen kesempurnaan busana ini. Apa-apapun, yang paling mahal dalam rekaan ini ialah teknik ‘drapping’ nya yang kelihatan begitu cantik terbentuk terutamanya dibahagian bahu penyanyi ini.
Ternyata, netizen bersetuju untuk mengatakan penyanyi rap Bunga kelihatan begitu comel semalam dengan padanan warna ungu bersama dengan penyanyi popular Noraniza Idris. Tema warna ungu yang dipilih oleh pihak penaja dari jenama produk kecantikan, NOIR amat menyerlahkan kejelitaan kedua-dua anak seni ini serta menjadikan keseluruhan malam AJL-36 nampak lebih meriah!
Bunga yang kelihatan selesa dan santai menyarungkan busana dari fabrik songket ini tampak seperti Puteri Melayu klasik sambil ditambah pula dengan ‘headgear’ bunga menjadikan Bunga paling comel di pentas berprestij itu. ‘Headgear’ itu juga seolah menginterpretasi sinonim panggilan Bunga untuk dirinya. Rekaan yang persis kebaya itu juga amat sesuai dengan tema lagu Intan Payung yang dibawanya, yang lebih berkonsepkan pop tradisional.
Sama juga seperti penyanyi yang tidak asing lagi dalam dunia etnik kreatif ataupun tradisional, Noraniza Idris, tampil menawan dengan gaun seakan ‘princess’ dalam rona ungu gelap. Fabrik songket juga turut digunakan sebagai penyeri gaun yang digayakan untuk menaikkan lagi unsur tradisional lagu Intan Payung. Pastinya ramai yang teruja dengan kehadiran Noraniza Idris pada malam gemilang AJL-36 semalam.
Sebut sahaja nama penyanyi Aina Abdul, pasti ramai yang tertunggu-tunggu untuk melihat rekaan busana yang akan disarungkan oleh penyanyi ini apabila setiap kali membuat persembahan. Aina Abdul bukan sahaja seorang penyanyi yang bersuara lunak, malah dia berani untuk menggayakan gaya fesyen yang berbeza dan unik sehingga mencipta epik dalam karier seninya.
Berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik serta Penyanyi Pilihan Popular di AJL-36 semalam, Aina Abdul masih lagi pemenang untuk gaya fesyen terbaik di pentas berprestij itu. Lihat saja rekaan busana yang dihasilkan oleh pereka tempatan Melinda Looi untuk lagu duet bersama Khai Bahar, Nafas Cinta, itu sahaja sudah cukup untuk Aina Abdul menjadi topik utama serta menjadi tumpuan lensa kamera pada malam semalam. Biarpun sarat dengan perincian bunga, daun dan ranting, seakan-akan mencedok inspirasi dari filem fantasi Alice In Wonderland, namun rekaan avant-garde itu sudah pun menjadi sebuah simbol ikon fesyen bagi penyanyi Aina Abdul sendiri!
Malah, penampilan kedua Aina untuk lagu Sepi juga turut memukau pandangan ramai apabila busana rekaan Tengku Syahmi yang sarat dengan warna keemasan menyinari pentas AJL-36. Tiada kata yang mampu diucap kerana rekaannya begitu mewah dan eksklusif. Rata-rata peminatnya juga turut teruja dan tersenyum lebar apabila melihat artis kesayangan mereka itu sekali gus menjuarai label ikon fesyen pada malam penuh gemilang itu! Meskipun ada yang menyamakan rekaan emas itu seperti trofi Anugerah Oscar atau Grammys, namun, sudah terang lagi bersuluh, Aina Abdul ialah seorang artis yang berani bereksperimentasi untuk menjiwai diri bersama dengan nukilan lagunya sendiri! Syabas Aina!
Sumber gambar: TV3 Malaysia
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe