‘Friendship Goals’ 5 Sahabat, Datin Norjuma Akui Selesa Luah Masalah Pada Teman Dikenali Sejak Zaman Belajar

Share

Melihat karakter personaliti ini yang juga seorang ahli perniagaan berjaya, ramai mengandaikan pasti dirinya mempunyai ramai teman rapat. Namun sebenarnya bagi Ketua Eksekutif (CEO) Aidijuma Colours Group, Datin Norjuma Habib Mohamed hanya mempunyai lima orang sahabat karib yang paling penting dalam hidupnya dikenali sejak zaman universiti lagi.

“Saya kenal mereka ini, sejak tahun 2001 lagi. Jadi bila kita sudah membina satu persahabatan yang kukuh, adakah kita masih perlu untuk beritahu tentang masalah kita pada seluruh dunia jika kita boleh selesaikannya sendiri melalui ikatan persahabatan ini (merujuk kawan-kawan baiknya).

“Selain itu, saya juga sangat rapat dengan adik perempuan saya,” tambahnya yang memberitahu turut memberitahu ahli keluarga juga menjadi penyokong kuat dalam apa juga yang dilakukan termasuk berdepan pelbagai kontroversi.

Tidak dinafikan, bukan senang untuk berjaya dan memastikan perniagaan yang dibina kekal utuh dalam pasaran. Jika tidak kena gaya memang boleh gulung tikar gara-gara pelbagai tekanan dan cabaran yang perlu dihadapi. Begitu juga situasi yang dihadapi oleh Datin Norjuma sepanjang enam tahun mengusahakan bisnes menjual tudung bawal.

Sepanjang tempoh itu tidak dinafikan pelbagai dugaan dihadapi dan paling viral hingga mencetus kontroversi tahun lalu berhubung kejadian dikatakan pernah menampar seorang pekerjanya.

Namun menurut wanita yang dikenali sebagai seorang yang komited dengan kerja ini berkata tidak adil baginya untuk membuat kenyataan sebelah pihak, sebaliknya pihak yang menuduh juga perlu membuat kenyataan.

Bagi Datin Norjuma dalam perniagaan, ada dua perkara paling penting iaitu kewangan dan budaya kerja. Dan ada masanya perkara kecil diperbesarkan dan semestinya mempunyai motif tersendiri.

“Bukan untuk saya menjawab. Menjadi jujur ada risikonya. Untuk menentusahkan benar atau tidak peristiwa itu, adakah saya yang perlu menjawab atau mereka yang membuat tudung itu perlu menjawab?

“Jadi bagi saya tidak adil untuk saya menjawab perkara itu berikutan ia memerukan jawapan dari kedua-dua pihak dan orang yang bertanggungjawab menyebarkan cerita berkenaan,” jelasnya ketika ditemui sempena Meet & Greet dan juga jamuan Aidilfiti bagi Aidijuma.

“Kalau ditanya saya, tak adil sebab saya akan cakap sudah tentu tak (tidak berlaku). Saya sangat tahu perkara itu tidak berlaku.

“Selalu saya sebut perkara ini. Kalau media sosial itu mengeluarkan cerita (khabar angin), kenapa tidak media sosial berkenaan menentusahkan cerita itu.

“Saya juga mahu menjawab persoalan media yang mengatakan saya lari dari masalah,  tidak menjawab atau tidak layan dan itu saya tegaskan ia tidak benar.

“Saya juga tidak lari dari menjawab segala persoalan dan saya telah lakukan bahagian saya,” tambahnya lagi yang mengambil masa setahun bagi mengenal pasti perkara berkenaan sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

 Datin Norjuma juga dalam majlis itu turut menjelaskan kehidupan peribadinya sangat memuaskan dan tidak perlu ditunjukkan pada orang lain.

“Kehidupan saya sebenarnya cukup ringkas dan melakukan apa yang perlu sahaja. Saya tiada media sosial. Bagi saya tak perlu pun dan saya ok saja. Malah bagi saya tiada akaun media sosial itu adalah satu kelebihan.

“Saya tidak berminat beritahu orang asing apa yang saya buat. Hari ini saya pakai kasut harga berapa, esok harga berada dan lusa saya tak pakai kasut. Saya syukur dengan kehidupan saya hari ini. Tidak perlu berselfie di dinding media sosial untuk tunjuk pada semua orang,” tambahnya yang memberitahu akaun di media sosial adalah semata-mata bagi mempromosikan jenama produknya.

Bercerita mengenai perkembangan bisnes yang beroperasi secara online, Aidijuma memberitahu akan mengembangkan perniagaan di luar negara antaranya di United Kingdom dan Jakarta.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga sendiri akan mencuba bidang baru iaitu business development bagi membukikan kemampuan Aidijuma dalam bidang diceburi.

Biarpun pernah dilabel menjual tudung lapuk dan produk kampung, namun beliau tiada masalah berkenaan hal itu dan yang pasti Aidijuma mampu menjadi pencetus industri.

KREDIT FOTO: INSTAGRAM AIDIJUMA

 

 

Published by
Siti Zurina