Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran dan bintang kepada 107 penerima pada Istiadat Penganugerahan / Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena menyambut ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-72 di Istana Alam Shah.
Pada majlis itu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dianugerahkan darjah kebesaran Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K), yang merupakan Darjah Kebesaran yang paling tinggi di negeri ini.
Antara penerima adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Kassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membolehkan kedua-duanya memakai gelaran Dato’ Seri.
Artikel Berkaitan:107 Terima Darjah Kebesaran Sultan Selangor
Sehari sebelum itu telah diadakan Majlis Jamuan Teh Diraja di Padang Mahkota, Istana Alam Shah. Seramai lebih 3,000 warga Selangor turut hadir memeriahkan majlis ini bersempena sambutan Hari Keputeraan ke-72 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda tiba pada kira-kira jam 3.30 petang, diiringi Duli Yang Maha Mulia, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Acara dimulakan dengan persembahan tarian tradisional, Tarian Menjunjung Duli selepas lagu Negeri Selangor dimainkan.
Ia disusuli dengan Upacara Menjamah Pulut Kuning, upacara majlis santapan sambil diiringi dengan beberapa persembahan tarian dan nyanyian.
Sultan Sharafuddin kemudian bermesra dengan rakyat dengan orang ramai berpusu-pusu bersalaman dan berswafoto dengan baginda sekeluarga.
Artikel Berkaitan: Lebih 3,000 Hadir Jamuan Teh Diraja Sultan Selangor
Sebelum itu juga pada 8 Disember lalu, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diraikan dalam satu Majlis Makan Malam oleh Ahli Dewan Diraja Selangor di Istana Selangor, Kuala Lumpur.
Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Juga turut diadakan sebelum itu sempena sambutan Hari Keputeraan ke-72 ini adalah majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Turut berangkat ke majlis berkenaan adalah DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Admin paling suka melihat penampilan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin yang begitu anggun dan jelita sekali. Di kesempatan ini admin dan seluruh warga Selangor mendoakan kesejahteraan baginda berdua.
DAULAT TUANKU
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE
KREDIT FOTO: FACEBOOK & INSTAGRAM SELANGOR ROYAL OFFICE