Setahun yang lalu viral kisah wanita ini yang diceraikan suaminya ketika anak-anak masih kecil dan perlukan perhatian. Namun itu bukan alasan untuk menoleh ke belakang mengingati kisah pahit, sebaliknya terus melangkah ke hadapan bagi memastikan masa depan lebih terjamin. Selain bergelar model Muslimah, Intan Saleh juga menggunakan platform media sosial untuk mencari rezeki. Melalui paid review yang dibuat di instagramnya, Intan berjaya memperoleh pendapatan lebih RM3 ribu sebulan.
Bersyukur dengan rezeki dikurniakan Tuhan dan baginya ini semua adalah untuk anak-anaknya yang masih kecil. Menyedari tidak bekerja sebelum ini dan tiada kebolehan lain, Intan terpaksa menggunakan cara mudah untuk mencari sumber pendapatan.
Walaupun kini sudah mempunyai followernya yang ramai iaitu mencecah lebih 350K, Intan tidak bercadang untuk bergelar instafamous atau influencer walaupun setiap perkembangannya jadi perhatian atau ikutan netizen.
“Sejujurnya Intan tidak pernah terfikir untuk bergelar selebriti atau influencer. Walaupun punya pengikut ramai tetapi tidaklah sampai nak jadi macam mereka. Intan tak yakin dan bukanlah pandai bergaya hanya biasa-biasa sahaja.
“Cuma memang Intan akui salah satu punca rezeki Intan adalah melalui paid review di laman instagram. Itupun kakak intan handle dan alhamdulillah hasilnya dapatlah Intan bayar duit rumah sewa,” ujar Intan sambil tersenyum.
Walau bagaimanapun menyedari situasi ini (paid review) bermusim, Intan turut memikirkan untuk mencuba bidang lain seperti bergelar usahawan.
“Buat masa sekarang memang tumpukan perhatian pada tugas sebagai model Muslimah atau jemputan ke sesuatu produk dan juga buat paid review. Tapi benda itu bermusim dan Intan perlu fikir cara lain untuk tambah pendapatan.
“Intan ada bercadang untuk jual barangan sendiri dan mungkin akan buat bisnes tudung satu hari nanti. Semuanya dalam perancangan dan doakan segalanya berjalan lancar,” ceritanya yang bersyukur kerana bekas semua tetap memberi nafkah kepada dua anak-anaknya.
Ternyata penampilan wanita ini cukup berbeza dengan dirinya yang pernah ditemui beberapa bulan yang lalu. Intan kelihatan lebih konfiden, murah senyuman, pandai berbicara, cantik bermekap dan paling penting sinar kegembiraan yang terpancar di wajahnya.
“Diam tak diam sudah setahun Intan lalui episod duka ini. Apa yang berlaku memang mematangkan Intan. Setiap perubahan ini Intan belajar sedikit demi sedikit dari orang sekeliling.
“Intan juga kini rasa lebih tenang dan enjoy lakukan apa sahaja yang disukai. Buat masa ini Intan hanya fikirkan diri Intan dan juga anak-anak. Biarlah apa orang nak kata, Intan tahu apa yang dilakukan.
“Malah ramai yang berpesan pada Intan agar lebih konfiden, berani bercakap kerana sampai bila kita nak orang pijak kepala. Intan juga lebih berani keluar apa jua statement kerana kita adalah diri kita sendiri. Intan buat semua ini demi anak-anak,” tambahnya yang mengakui sedikit penat memikul tanggung jawab sebagai ayah dan ibu serentak.
“Terutama sekali bila keluar pergi beli barang. Kalau dulu tiada masalah sebab ada yang menjaga budak-budak. Tapi kini Intan harus bawa kedua-duanya dan dalam masa sama membeli barangan keperluan harian.
“Namun begitu saya tidak pisahkan anak-anak dengan ayah mereka. Biasanya hujung minggu anak-anak akan diambil ayahnya untuk tinggal bersama. Anak-anak teruja sebab ayahnya akan layan mereka seperti bawa bermain di padang permainan,” cerita Intan yang tidak dapat menahan sedih setiap kali melihat wajah anak-anaknya.
“Mereka tidur di kiri kanan Intan dan setiap kali tatap wajah mereka Intan memang sedih dan akan memangis. Sehingga hari ini Intan akui setiap hari menangis mengenang anak-anak. Perasaan itu sukar untuk diluahkan kerana ia datang tanpa dipaksa,” beritahu Intan yang mengakui masih belum ada pengganti.
Walaupun kini bergelar ibu dan ayah pada anak-anaknya, wanita yang juga bekas penari ini juga turut menitik beratkan pendidikan anak-anaknya. Insya-Allah tahun depan dia akan seolahkan anaknya yang sulung dan ada kalanya mengajar sendiri mereka di rumah.
Menurutnya lagi sebelum mengakhiri perbualan dia reda dengan ketentuan dirinya yang kini bergelar ibu tunggal, tapi agak berat untuk menerima kehadiran ibu tiri di sisi anak-anaknya.
Artikel Berkaitan: Pernah Jadi Penari Tapi Kini Intan Selesa Berhijab
Intan ditemui ketika dijemput menjadi tetamu di majlis pelancaran serta penjenamaan semula produk kecantikan iFlawless di Petaling Jaya baru-baru ini. Produk yang dikeluarkan dengan jenama iFlawless Lorisa ini dihasilkan dari bahan semulajadi yang diusahakan pasangan suami isteri, Nina Nadia Sahim dan Mohd Azri diyakini sesuai untuk semua jenis kulit.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM INTAN SALEH