“Fitrah Manusia Hendak Jadi Lebih Baik,” – Irma Hasmie Akui Perubahan Merangkumi Semua Aspek, Hargai Kehidupan

Share

Lama rasanya tidak bertemu dengan personaliti ini, pertemuan ketika kami melakukan penggambaran THE HIJABISTA SHOW memberi peluang kepada penulis untuk menemubual ibu kepada dua cahaya mata ini mengenai perkembangan terbaharunya dan juga sudut pandang dirinya dalam melalui perubahan dalam kehidupan.

Irma Hasmie bukanlah nama baru, kehadiran dirinya dalam industri seni cukup berkesan dengan penampilannya yang cantik dan popular sebagai pelakon, pengacara serta model. Kini lebih selesa menumpukan perhatian keppada keluarga, Irma lebih tertumpu kepada kerja-kerja mengacara dan juga menyediakan modul latihan.

Sudah berhijab sejak 2011, Irma berkongsi tentang kisah perubahan. “Fitrah manusia  hendak jadi lebih baik, tiada manusia yang hendak jadi lebih jahat. Kalau dia sudah baik pun dia mahu menjadi lebih baik. Perasaan itu sentiasa ada bagaimana kita hendak upgrade diri kita.

“Perubahan ini subjektif, bukan hanya dari bertudung kepada tidak bertudung, sebenarnya ia merangkumi semua aspek dari segi performance dan kerja, peribadi dan pendidikan. Kita sentiasa hendak jadi lebih baik,” kongsinya penuh bermakna.

Kita kebiasaannya mendengar, apabila seseorang berubah ke arah yang lebih baik pasti dikatakan mereka bertuah kerana telah mendapat hidayah. Bagi wanita anggun ini hidayah apabila dicari akan lebih dihargai kerana kita mencarinya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mummy Doakan Althea Istiqamah,” – Anak Sulung Pilih Berhijab, Nana Mahazan Sokong Semampu Mungkin

Irma bersama suami dan dua cahaya matanya.

“Ada sesetengah orang rezeki mereka sangat indah dan baik yang mana mereka tidak perlu mencari hidayah. Cumanya, kalau mereka tidak mencari hidayah, adakah mereka grab peluang itu atau tidak. Kadang-kadang kita terlepas sebab kita tak ambil peluang sewaktu Allah petunjuk dan hidayah.

“Pada orang yang berusaha pula apabila mendapat hidayah dan petunjuk mereka merangkul peluang tersebut. Bagi saya perkara itu mungkin lebih baik, mungkin kerana ada pro dan kontra dalam perjalanan kehidupan. Dalam agama pun ada mengajar kita takkan boleh ubah seseorang kecuali dia ubah diri dia sendiri. Jadi nak berjaya kita kena ubah diri kita,” ujarnya.

Untuk mendengar lebih mendalam perkongsian Irma Hasmie, saksikan video NO TURNING BACK HIJABISTA bersamanya di bawah ini ;-

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Fiezreen